Tuesday, March 24, 2015

KEMELUT DAP-PAS : BERKISAR ANTARA ISU ‘RELEVANCE’

Aku merasakan isu kemelut DAP-PAS adalah seperti cerita Sang Kancil dengan gajah. Izinkan aku menceritakan ringkasan ceritanya semula. Pada suatu hari sedang Sang Kancil berjalan-jalan dalam hutan mencari makan, dia telah terjatuh dalam sebuah lubang yang dalam yang menyebabkan sukar baginya untuk keluar dari lubang itu. Tiba-tiba lalu seekor gajah. Sang Kancil telah memberitahu (menipu) gajah supaya masuk ke dalam lubang bersamanya kerana kononnya langit akan runtuh. Dan gajah pun masuk ke dalam lubang berkenaan.

Tindakan Sang Kancil seterusnya ialah memikirkan bagaimana untuk keluar dari lubang itu. Lalu dia mendapat ‘ilham’. Ketika gajah sedang tidur, Sang Kecil menjentik ‘anu’ gajah jantan itu. Tentulah gajah marah diatas perbuatan Sang Kancil itu. Gajah memberi amaran sekiranya dilakukan sekali lagi maka gajah akan melimpar keluar Sang Kancil dari lubang itu. Itu yang diidamkan oleh Sang Kancil. Maka sekali lagi dijentiknya ‘anu’ gajah itu. Dan tindakan gajah seterusnya ialah melimpar Sang Kancil keluar dari lubang itu. Sang Kancil ketawa berdekah-dekah.

Sebenarnya begitulah harapan sebilangan kecil pemimpin PAS (yang sudah tidak begitu ‘relevance’ lagi dalam parti berkenaan) agar DAP keluar dari Pakatan. Dan harapan sedemikian juga ‘dikongsi’ oleh UMNO yang mengharapkan sangat agar DAP meninggalkan Pakatan Rakyat ekoran daripada tindakan PAS mengusulkan Hudud di Kelantan.

Kini keadaan sudah agak ‘terbalik’. Ibarat kata orang Perak, UMNO dan PAS sudah ‘kacau-kena’, ‘lintang– pukang’ disebabkan strategi yang kurang menjadi. ADUN UMNO yang menyokong pindaan undang-undang mengenai Hudud di Kelantan sudah ‘garu’ kepala. Mungkin sudah berlaku salah-menyalah dan tuding-menuding jari antara satu sama lain. Dan dalam UMNO juga sudah kelihatan kecelaruan yang amat sangat. DS Najib selaku presiden UMNO belum berani memberikan kata putus tentang isu Hudud ini.

Tun Musa Hitam selaku orang lama dalam UMNO telah mendesak agar kepimpinan UMNO segera membuat keputusan dan menetapkan pendirian samada menyokong atau menentang pelaksanaan Hudud ini. Mungkin beliau takut ahli UMNO akan keliru dan menuduh kepimpinan UMNO tidak tegas dalam menangani sesuatu isu kritikal sebegini.

Jikalau mengikut YB Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai latar belakang pendidikan undang-undang mengatakan bahawa ‘hanya orang bodoh bincang hudud di Malaysia’. Beliau menambah lagi dengan mengatakan,’ "Jangan bincang sesuatu yang tidak akan berlaku, ini bodoh, sesiapa sahaja yang bincang hudud…….Pernah kita nampak Mahkamah Syariah bicarakan kes pembunuhan, bicara kes kecurian?......Kalau mahu gugurkan bahagian yang mengatakan jenayah itu di bawah mahkamah persekutuan, kita perlu dua pertiga majoriti Parlimen, tetapi kita tiada sekarang…….Ini soal agama, kita tidak boleh guna 'whip', ahli Parlimen akan mengundi menggunakan pegangan dan suara hati mereka." Petikan dari ‘Malaysian Insider’ bertarikh 23 Mac 2015.
Dengan kenyataan YB Datuk Seri Nazri ini pastinya akan terus membuat DS Mohd Najib lagi serba salah untuk menentukan sikap. Dan apatah lagi pemimpin UMNO yang lain. Pasti mereka akan mendiamkan diri dan terus ‘membenamkan kepala ke dalam lumpur’. Pastinya rakyat sedang memerhatikan ‘drama’ yang agak menarik ini.
DAP pula telah membuat keputusan sebulat suara yang mereka tiidak akan keluar dari Pakatan Rakyat. Bermakna DAP begitu yakin bahawa tidak ada cacat cela yang serious berlaku dalam pakatan ini. Bermakna mereka faham bahawa rakyat terlalu mengharapkan kepada Pakatan Rakyat untuk membetulkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh pentadbiran negara kini. Bermakna juga bahawa yang menimbulkan masalah dan sedikit ketegangan dalam Pakatan Rakyat adalah berpunca dari sikap segelintir pemimpin PAS yang dirasakan sudah tidah begitu relevan dengan perkembangan politik semasa khususnya dalam suasana dunia yang telah banyak berubah ini.
Mungkin juga agaknya DAP menangguhkan dulu sebarang pendirian yang akan diambilnya tentang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat sehingga PAS sendiri menentukan arah tuju kepimpinanannya. Mungkin dalam pemilihan PAS yang akan datang ahli PAS boleh membuat keputusan yang jelas samada parti berkenaan mahu berubah daripada keadaan sebelumnya atau terus berada ditakuk lama dengan mengekalkan kepimpinan yang mereka rasakan masih relevan kepada perjuangan mereka.
Rakyat pada keseluruhannya masih mengharapkan sesuatu perubahan berlaku.

abuhassanadam
24 Mac 2015


No comments:

Post a Comment