Sunday, March 15, 2015

ANWAR TELAH BERTAPAK DI HATI DAN PERASAAN BANGSA MALAYSIA

Pihak kerajaan mengatakan bahawa keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Saudara Anwar Ibrahim adalah keputusan mahkamah yang tidak boleh dipersoalkan. Betul. Terdapat juga sebahagian kecil masyarakat di Malaysia menyokong pendapat ini. Namun persepsi rakyat terbanyak di Malaysia dan di luar negara pula mengatakan bahawa Anwar tidak bersalah dan beliau ‘dihantar’ ke penjara adalah atas keputusan politik.

Bukan aku untuk mempersoalkan isu sedemikian. Yang ingin aku sentuh ialah kesan daripada tindakan memenjarakan Anwar. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa itu merupakan tindakan yang tepat yang boleh meredakan keadaan penentangan terhadap kerajaan yang ada di Malaysia kini. Anwar dilihat sebagai penggerak rakyat untuk mempersoalkan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh kerajaan yang dianggap sebagai bercanggah dari amalan biasa.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa dengan adanya Anwar Ibrahim telah dapat menyatukan parti-parti pembangkang di Malaysia yang terdiri dari DAP, PKR dan PAS. Dan berkemungkinan besar apabila Anwar dipenjara maka parti-parti berkenaan akan ‘bercerlaru’ dan membawa kepada perpecahan. Mungkin betul juga pandangan sedemikian kerana pada pandangan umum hanya Anwar sahaja yang mempunyai bakat kepimpinan yang boleh menyatukan dan boleh ‘duduk semeja’ parti-parti yang berlainan ideologi antara PAS dan DAP misalnya.

Peribahasa mengatakan, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kita sama-sama lihat kebenarna peribahasa ini.

Ketiadaan Anwar sememangnya dirasakan ketiadaannya secara fizikal tetapi jangan dilupakan bahawa Anwar berada di mana-mana. Anwar sudah bertapak di hati dan perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia dari berbagai keturunan dan agama. Anwar telah berjaya ‘memikat’ hati golongan bukan Melayu di Malaysia berbanding dengan pihak pemerintah yang dilihat agak ‘renggang’ dengan golongan bukan Melayu akibat daripada beberapa tindakan negatif NGO yang jelas kelihatan anti golongan bukan Melayu dan Islam.

Justeru kedudukan Saudara Anwar d hati golongan bukan Melayu sememangnya kukuh dan golongan bukan Melayu telah meletakkan sepenuh harapan kepada Anwar untuk menjadi pemimpin mereka menerajui negara ini pada suatu ketika nanti. Mereka tetap yakin bahawa suatu hari nanti Saudara Anwar tetap akan menjadi pemimpon mereka. Mereka tidak putus asa.

Seingat aku tidak ramai pemimpin Melayu di negara ini yang mendapat simpati dan sokongan golongan bukan Melayu sebagaimana yang dinikmati oleh saudara Anwar Ibrahim. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa tindakan golongan bukan Melayu yang sanggup melakukan berbagai tindakan dan tunjuk perasaan melambangkan bahawa mereka ‘cintakan’ Anwar Ibrahim. Kesanggupan mereka untuk bersama-sama menunjuk perasaan dijalanan, kesanggupan pemimpin bukan Melayu membotakkan kepala mereka adalah ‘gesture’ yang menunjukkan bahawa mereka amat bersimpati dengan penderitaan yang dialami oleh Anwar.

Disamping itu kelihatan keadaan dalam negara kita agak ‘sibuk’, disibukkan dengan keadaan yang tidak diundang. Isi IMDB sudah semakin besar dan semakin serious jadinya. Jika sebelum ini hanya merupakan sebagai  kudis kecil yang boleh diubati dengan menyapu dengan ‘daun Malialam’ sahaja namun kini sudah menjadi tokak yang besar yang terlalu sukar untuk diubati dengan bau busuknya sudah dapat dihidu di seluruh negara. Pihak polis juga agak sibuk kini dengan tangkapan demi tangkapan ke atas golongan yang menunjuk perasaan saban minggu ekoran daripada pemenjaraan Anwar Ibrahim.

Persoalannya sekarang ialah apakah pihak polis akan terus menerus menangkap penunjuk perasaan itu terus menerus? Dan aku yakin selagi Anwar Ibrahim berada dalam penjara, penunjuk perasaan ini akan terus menerus mengadakan tunjuk perasaan itu.Anwar Ibrahim adalah ‘pemangkin’ kepada tindakan-tindakan mereka itu. Mereka agak teransang dengan tindakan memenjarakan Anwar itu.

Bagi aku ini bukan merupakan salah Anwar. Sememangnya Anwar tidak melakukan apa-apa untuk menghasut penunjuk perasaan itu. Anwar tidak memberi ‘arahan’ untuk ahli ahli parlimen untuk membotakkan kepala mereka. Anwar tidak juga memberi arahan agar Rafizi dan Tony Pua terus menerus mendedahkan penyelewengan dalam IMDB. Sebenarnya ‘Anwar Ibrahim’ itu adalah merupakan ‘ilham’ bagi golongan yang tidak puas hati untuk terus menerus melakukan sesuatu demi keadilan. Dan percayalah keadaan sebegini tidak akan berhenti.

Sesuatu bangsa hanya ‘dikurniakan’ oleh Tuhan hanya seorang atau berdua sahaja untuk menjadi pemimpin bangsanya. Di India telah lahir Mahatma Gandhi, di South Africa telah lahir Nelson Mandela, di Filipina lahirya Jose Rizal, di Indoensia lahirnya Soekarno. Dan begitulah seterusnya. Dan mungkin agaknya di Malaysia ‘dilahirkannya’ Anwar Ibrahim yang merupakan pemimpin bangsa Malaysia. Mungkin…..

abuhassanadam
15 Mac 2015





1 comment: