Friday, March 20, 2015

MEREKA MEMPERALATKAN AGAMA

Kegiatan memperalatkan agama bukan sahaja berlaku dikalangan pemimpin agama Islam tetapi telah berlaku semenjak zaman berzaman terutamanya dilakukan oleh pemimpin agama Kristian juga. Sejarah telah membuktikan bahawa gereja Katolik di Eropah pada Kurun ke 16 telah melakukan berbagai penyelewengan dengan memperalatakan penggunaan agama Kristian sebagai pelindung pemimpin agama melakukan penyelewengan.

Antara penyelewengan yang telah berlaku secara berleluasa di Eropah pada Kururn ke 16 ialah kegiatan penjualan ‘sijil Indulgence”. Kegiatan penjualan sijil berkenaan merupakan surat pengampunan kepada penganut agama Kristian yang telah melakukan dosa. Bagi sesiapa yang ingin menebus dosanya perlulah membeli sijil berkenaan untuk diampunkan dosa yang telah dilakukan. Kegiatan berkenaan telah berleluasa dan dipercayaai oleh penganut agama Kristian Katolik pada ketika itu. Pemimpin gereja telah mempergunakan ‘kepercyaan’ yang diberikan oleh penganut Kristian itu untuk kepentingan diri mereka dengan sepenuhnya.

Di negara kita Malaysia, sehingga kini terlalu banyak kedengaran tentang usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memperalatkan agama Islam untuk kepentingan peribadi ataupun institusi yang didokong oleh mereka. Golongan yang memperalatkan agama ini berselindung disebalik agama Islam yang boleh merupakan perisai ghaib yang boleh melindungi diri mereka untuk terus bermaharajalela melakukan ‘penipuan’.

Kenyataan YAB Menteri Besar Kelantan baru-baru ini yang telah melabel seseorang sebagai ‘tidak beriman’ sekiranya menentang Hudud adalah amat tidak kena rasannya. Label yang sebeginilah yang telah digunakan oleh setengah guru-guru agama semenjak zaman dahulu lagi untuk terus mempengaruhi dan ada ketikanya boleh dilihat sebagai memperbodohkan orang Melayu/Islam di Malaysia. Disebabkan tidak begitu arif dalam bidang agama telah menyebabkan ramai yang hanya mendiamkan diri dan terus mengamalkan sikap ‘ada mata tengok ada telinga dengar’ tentang apa sahaja yang ingin dilakukan oleh golongan agama yang kononnya amat arif dalam hal berkenaan.

Rakyat yang beragama Islam amat takut untuk mempersoalkan tentang hukum Hudud yang dikatakan hukum Allah ini. Namun ada juga hal-hal tertentu yang menyebabkan rasa ingin tahu itu melonjak-lonjak hendak tahu apakah sudah dibincangkan secara terpeinci tentang pelaksaannya dan apakah pihak-pihak yang meluluskan undang-undang berkenaan betul-betul faham dan arif tentang peraturan yang akan dilaksanakan nanti kepada rakyat.

Orang Melayu Islam sudah begitu lama diperalatkan oleh golongan agama sehinggakan majority orang Melayu amat terpengaruh dengan ajaran-ajaran tok guru yang terus menerus melemahkan orang Melayu dalam berbagai bidang. Memanglah bukan hanya guru agama sahaja yang patut dipersalahkan, tetapi sekurang-kurangnya guru agama berperanan besar (secara tidak langsung) dalam usaha melemahkan orang Melayu Islam pada awal kurun ke20.

Hal ini aku dasarkan pada pandangan Pendeta Za’ba dalam buku,”ZA’BA PATRIOT dan PENDETA MELAYU’  oleh Adnan Haji Nawang. Kata Za’ba, dalam tahun 1920, “Umat Islam pada zaman ini….sedang dalam kejatuhan dan kemunduran dan kelemahan dan….pada serba serbinya….Walhasil tiadalah nampak jaya agama yang diperagamkan oleh mereka itu”(Utusan Melayu 18.2.1920)

Selanjutnya Za’ba membuat beberapa kesimpulan.

  • ·  Menurut Za’ba faktor terpenting yang mewujudkan keadaan tersebut berpunca daripada kelemahan ajaran ulama Kaum Tua di serata dunia Islam termasuk di Tanah Melayu. Ajaran mereka dikatakan tidak sesuai lagi dengan tuntutan kemajuan zaman ….

  • ·    Kebanyakan orang Melayu pula dipercayai hanya biasa mengikuti telunjuk orang alim sahaja walaupun ajaran mereka dikatakan salah.

  • ·      Kata Za’ba, “….pelajaran di pondok tidaklah tinggi ilmunya. Kelulusan dari pondok hanya melayakkan anak-anak Melayu menjadi ‘Lebai’  ia itu layak untuk membaca satu dua doa sahaja….”

  • ·      Orang Melayu menyangka bahawa kesenangan dan keamanan hidup di dunia tidak kena mengena dengan ajaran Islam. Anggapan mereka dikatakan,“…kesenangan di dunia sebenar-benar dalil bagi kejatuhan dan kebinasaan (masuk neraka). Kalau hina dan miskin dan sengsara didunia tanda Allah Taala kasihkan kita dan akan dapat rahmatnya di akhirat dan dapat masuk syurga”(Utusan Melayu 19.2.1920).

 ·      “Ayat-ayat  al Quran dibaca dengan tujuan mencari pahala atau         berlagu atau menjadi tangkal penawar dan zikir-zikir sahaja. Itulah yang dianggap oleh kebanyakan orang Islam sebagai amalan baik untuk bekalan ke akhirat…….Persoalan maju mundur masyarakat Islam dalam kehidupan di dunia tidak pernah dibincangkan..”

Aku mengharapkan sudah sampai masanya golongan intelektual Islam yang betul-betul sedar tentang kelemahan bangsa Melayu beragama Islam di negara ini supaya tampil ‘membuka jalan’ dan ‘memerangi’ pemikiran lapuk yang masih menguasai pemikiran setengah ulama dinegara ini.

abuhassanadam
20 Mac 2015



No comments:

Post a Comment