Monday, March 23, 2015

AHLI PARLIMEN DAN ADUN KITA KURANG MEMBACA !....

Aku tak kata semua ahli parlimen dan ADUN (selepas ini disebut sebagai Wakil Rakyat) tidak membaca. Ada. Tetapi aku yakin tidak ramai yang memperdalami ilmu mereka melalui bacaan. Malah ramai yang menghadirkan diri di parlimen atau DUN Negeri hanya untuk ‘memanaskan kerusi’ supaya kelihatan mereka ‘bekerja’. Tetapi jika dikaji dari segi sumbangan mereka terhadap usaha memajukan negara mungkinlah amat berkurangan.

Yang menyebabkan aku ‘terpanggil’ untuk menimbulkan isu ini adalah berpunca dan ekoran daripada isu ‘Hudud’ yang baru sahaja dibincangkan di DUN Kelantan baru-baru ini. Isu itu hanya merupakan ‘catalyst’ bagi aku untuk menyentuh soal yang sebegini. Malah sudah banyak isu lain yang hanya sebagai ‘air lalu’ sahaja di parlimen tanpa mendapat perhataian dan perbincangan secara kritikal oleh ahli parlimen.

Dan yang menyebabkan aku berminat untuk menyentuh isu ini juga adalah  ekoran daripada ucapan yang disampaikan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Parliemn baru-baru ini. Terus terang aku katakan bahawa aku ‘terpegun’ mendengar ucapan beliau. Seolah-olah cara penyampaiannya mirip kepada keadaan parlimen tahun-tahun 1980an dan awal 1990an. Berperadaban. Cara penyampaian yang sungguh tertib dan beradab dengan hujah-hujah yang bernas. Tidak perlu menjerit-jerit dan melolong untuk menyampaikan ucapan dan hujah dan tidak sepertimana yang  dilakukan oleh setengah ahli parlimen.

Aku merasakan rakyat Malaysia amat merindui keadaan sedemikian untuk dilakukan oleh ahli parlimen kita, apatah lagi apabila tingkah laku mereka itu diperhatikan juga oleh anak-anak sekolah yang kadang-kadang hadir menyaksikan perbahasan di parlimen itu. Ada terdapat keadaan di mana ahli parlimen yang merasa ‘bangga’ mempamerkan ‘kelakuan’ mereka di hadapan anak-anak sekolah, seolah-olah untuk menunjukkan ‘kehebatan’ mereka berhujah sedangkan apa yang disampaikan adalah ‘jeritan’ dan ‘maki hamun’. Tentulah amat malang bagi parlimen kita yang merupakan institusi paling mulia, merangka undang-undang negara.

Jarang sekali kita melihat dan mendengar ucapan yang bernas yang disampaikan oleh ahli parlimen kita. Dan aku yakin keadaan ADUN di negeri-negeri tentulah lebih ‘menyedihkan’. Aku tidak menafikan tentang adanya ahli parlimen atau menteri kita yang mengeluarkan hujah bernas ketika membahaskan sesuatu ekoran dari pembacaan luas mereka. Namun pada umumnya ‘modal’ yang dikeluarkan oleh setengah ahli parlimen adalah merupakan modal ‘kitaran semula’ ataupun ‘modal’ yang dikutip dari perbincangan kedai kopi yang dihadiri oleh mereka sebelum itu.

Justeru tentulah tidak dapat hasil yang betul-betul jitu dan ‘solid’ daripada perbincangan ahli parlimen kita sebagaimana yang biasa kita lihat berlaku di Parlimen British misalnya. Seharusnya wakil rakyat kita melengkapkan diri selengkap-lengkapnya sebelum menghadiri sidang parlimen supaya setiap isu dan perkara yang dibahaskan dapat ‘diuli selumat-lumatnya’ sebelum ‘dihidangkan’ kepad rakyat dan menjadi undang-undang negara.

Dalam hal sebegini, aku kadang-kadang terfikir juga apakah para menteri juga bersikap begitu ia itu tidak membaca atau membuat sebarang rujukan sebelum menghadiri mesyuarat kabinet mereka pada setiap hari Rabu itu. Sekiranya begitulah keadaannya, maka tentulah amat malang nasib rakyat yang mengharapkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan dari mereka. Sekiranya pembuat dasar di peringkat tertinggi juga tidak membuat rujukan yang jitu sebelum sesuatu keputusan diambil memberikan tanggapan bahawa negara Malaysia akan menuju kehancuran lambat laun.

Aku sentiasa mengharapkan agar apa yang aku rasakan itu tidak berlaku kepada wakil rakyat kita. Dan sebagaimana yang selalu disebut oleh guru-guru agama bahawa keadaan sedemikian berlaku ‘di tempat lain’ dan bukan di Malaysia.

Harapnya begitu….

abuhassanadam
23 Mac 2015




2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Sepatutnya anak-anak muda di Malaysia harus menganjakkan pemikiran mereka bersesuaian dengan perkembangan dunia kini seperti yang anda miliki.

    Pak Abu

    ReplyDelete