Sunday, March 29, 2015

RAFIZI

Aku mengenali Rafizi seperti juga mengenali ‘anak-anak’ yang lain yang telah berjaya dalam lapangan masing-masing. Ramai yang telah berjaya menduduki jawatan penting dalam bidang masing-masing di negara ini, namun tidak kurang juga yang telah mengambil jalan dan langkah sepertimana yang dilakukan oleh Rafizi.

Rafizi telah datang ke rumah aku pada suatu malam pada tahun 1997 di Prothero Gardens, Hendon, London untuk diperkenalkan kepada aku oleh seorang kawan rapatnya, Adelan Benan Omar (Almarhum) yang pada ketika itu merupakan Presiden (UKEC) United Kingdom Executive Council). Isu yang diperbincangkan ialah mengenai kesinambungan kepimpinan UKEC setelah Adelan pulang ke Malaysia setelah berjaya menamatkan pengajiannya di University Cambridge. Dan Adlan Benan telah memberikan jaminan sepenuhnya kepada aku yang Rafizi akan dapat menjalankan tugas berkenaan dengan jayanya.

Malangnya Adlan Benan tidak lama dapat bersama dengan kita. Beliau meninggalkan kita dalam usia yang begitu muda. Arwah telah menunjukkan bakat kepimpinan yang luar biasa ketika berada di University Cambridge ataupun ketika memimpin UKEC. Bukan itu saja, beliau telah bekerjasama dengan Jabatan Penuntut Malaysia UK &Eire dalam menganjurkan berbagai forum dan seminar bertaraf antarabangsa demi untuk menggilap bakat anak-anak Malaysia yang sedang menuntut di UK &Eire ketika itu. Sayangnya beliau tidak lama untuk bersama-sama dengan kita. Tuhan lebih sayangkan dia.

Rafizi adalah pemimpin pelapis. Tepat sebagaimana yang dikatakan oleh Adlan bahawa Rafizi akan dapat menjalankan tugas sebagaimana yang telah dilakukannya. Dan secara bergurau Adlan memberitahu aku bahawa, ‘inilah orangnya (Rafizi) yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti…”

Kini Rafizi berada dalam tahanan polis atas kesalahan yang dianggap bersalah dibawah Akta Hasutan. Bukan tugas aku untuk mempersoalkan samada Rafizi bersalah atau tidak. Namun sekiranya ditanya aku samada Rafizi itu bersalah atau tidak, maka terus terang aku katakan dia tidak bersalah. Tetapi itu bukan isunya. Hakim yang menetukan salah betulnya.

Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato’ Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbong adalah pejuang-pejuang yang mempertahankan kebenaran tetapi dianggap sebagai pengkhianat oleh Inggeris. Lantas mereka dipersalahkan dan dijatuhkan hukuman oleh Inggeris. Tok Janggut dihukum gantung dengan kakinya di atas dan kepalanya ke bawah. Bukan itu saja, malah mayatnya diarak dikeliling Kota Baharu untuk dipertontonkan kepada rakyat bahawa itulah cara dan balasannya sekiranya ada pihak yang menentang Inggeris.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat dan majoriti pengundi di Pandan akan tetap mengatakan yang Rafizi tidak bersalah. Bermati-matian mereka pasti akan mengatakan yang Rafizi tidak bersalah tetapi bagi pihak kerajaan dan khususnya pihak polis pula akan mengatakan sebaliknya. Dengan sebab itulah mereka mengambil tindakan menahan Rafizi apatah lagi mendapat kebenaran pula daripada mahkamah.

Sebagaimana aku katakan sebelum ini bahawa bukan tugas aku untuk memperkatakan salah betul Rafizi ditahan. Dalam kes Saudara Anwar Ibrahim misalnya, ramai yang merasakan bahawa beliau tidak sepatutnya dijatuhi hukuman sedemikian kerana pada anggapan ramai beliau tidak melakukan perkara terkutuk sedemikian. Tetapi mahkamah dunia telah mengatakan yang beliau telah melakukannya. Lantas dipersalahkan. Lalu merengkoklah beliau di penjara walaupun sebahgian besar rakyat Malaysia mengatakan yang beliau tidak bersalah.

Dalam hal Rafizi aku yakin ramai malah sebahgian besar rakyat Malaysia merasakan bahawa ‘budak baik’ ini tidak bersalah. Dan yang paling menyedihkan ramai orang juga ialah apabila melihat wajah yang ‘tidak bersalah’ ini berkaki ayam dan digari tangannya seperti pesalah yang telah melakukan kesalahan yang amat besar kepada negara. Hati mana yang tidak sedih dan perasaan mana yang tidak tersentuh melihatkan ‘layanan’ yang diberikan kepadanya.

Mulalah orang bertanya.
Apa salah dia sehinggakan sampai begitu diperlakukan kepada beliau?
Berapa ratus jutakah wang negara yang telah dilesapkannya sehinggakan rakyat menderita akibat daripada tindakannya?
Pernahkah beliau melakukan pembunuhan sehinggakan beliau dilayan sedemikian?
Apakah pernah beliau menjalankan usaha untuk mengkhiananti negara ini dengan melakukan kerjasama dengan pihak tertentu?
Apakah pernah beliau ‘menipu’ pihak kerajaan dengan mengemukakan projek ternakan sehinggakan kerajaan rugi ratusan juta ringgit wang rakyat.

Kini Rafizi dalam tahanan. Rafizi dikatakan bersalah mengikut akta-akta tertentu kerajaan yang memerintah kini sepertimana  jugalah Tok Janggut, Dato’ Bahaman dipersalahkan oleh Inggeris yang menjadi pemerintah di negeri Kelantan dan Pahang pada suatu ketika dahulu.

Apakah Rafizi juga akan diberikan pengiktirafan sebagai wira negara seperti Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Dato Maharajalela atau Haji Abdul Rahman Limbong oleh rakyat Malaysia satu ketika nanti?

Hanya keadaan yang menetukan….

abuhassanadam
29 Mac 2015





2 comments:

  1. uan Abu Hasan Adam,jikalau mengikutkan kejadian kejadian yg Sdg berlaku di negara Malaysia,saya sebagai rakyat sangsi, adakah negara Kita ini sebuah negara yang demokrasi. Hak untuk bersuara telah dilupuskan.sesiapa yang bersuara mengatakan ketidakadilan akan ditangkap di dipenjarakan.saya berharap sangat rakyat Malaysia sedarkan diri dari lena dan tunjukkan kuasa sebenar rakyat pada pilihanraya yang akan datang.jangan terikut ikut dengan promosi promosi yang kerap diberikan oleh parti politik apabila pilihanraya sudah hampir.fikir sebelum undi, jangan fikir selepas undi.Hidup Malaysia

    ReplyDelete
  2. uan Abu Hasan Adam,jikalau mengikutkan kejadian kejadian yg Sdg berlaku di negara Malaysia,saya sebagai rakyat sangsi, adakah negara Kita ini sebuah negara yang demokrasi. Hak untuk bersuara telah dilupuskan.sesiapa yang bersuara mengatakan ketidakadilan akan ditangkap di dipenjarakan.saya berharap sangat rakyat Malaysia sedarkan diri dari lena dan tunjukkan kuasa sebenar rakyat pada pilihanraya yang akan datang.jangan terikut ikut dengan promosi promosi yang kerap diberikan oleh parti politik apabila pilihanraya sudah hampir.fikir sebelum undi, jangan fikir selepas undi.Hidup Malaysia

    ReplyDelete