Sunday, March 1, 2015

MASIH MISKINKAH ORANG MELAYU KINI?

Terserampak aku dengan tajuk dalam Malaysiakini berjodol,’ PM: Agenda Bumi selagi ada bulan dan bintang”. Teringat pula aku kepada Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh JWW Birch dengan Sultan Perak pada tahun 1874 yang merupakan saat bermulanya orang Melayu kehilangan maruah di tanah tumpah darahnya. Kononnya ‘Perjanjian Pangkor’ itu juga telah bersaksikan bulan dan bintang sebagaimana ikrar yang dibuat oleh DS Mohd Najib itu.

Tetapi persoalannya ialah, masih miskinkah orang Melayu di Malaysia kini?

Mengikut ‘lengguk dan lentuk’ ucapan DS Mohd Najib itu seolah-olah orang Melayu masih belum maju lagi. ‘"Sebagai perdana menteri, saya beri jaminan kerajaan pimpinan saya akan terus membantu orang Melayu Bumiputera untuk berjaya…Maka kita akan terus menggubal dasar, program dan tindakan yang sesuai dengan hakikat ini…..Selagi ada bulan dan bintang, selagi darah Melayu ini mengalir, selagi itu wadah umat ini akan terus diperjuangkan," katanya sewaktu berucap pada Majlis Himpunan Melayu di Kuala Lumpur tadi.

Aku merasakan ucapan yang sedemikian telah ‘berkumandang’ semenjak tahun-tahun 1920an lagi. Yang membezaknya ialah penyampainya sahaja yang berbeza. Ada yang benar-benar ikhlas dan bersusaha berdungguh untuk memajukan orang Melayu dan tidak ketinggalan juga yang hanya menyampaikan untuk meleoaskan batuk ditangga. Dan ada yang hanya bertujuan untuk mendapatkan tepukan gemuruh dari pendengarnya, supaya dia dikatakan hebat dalam menyampaikan ucapan. Dan para pendengar setia akan ‘lena tidurnya’ selepas mendengar ucapan yang ‘berapi-api’ walaupun mereka masih berada ‘di takuk lama’ setelah puluhan tahun mendengar ucapan yang hampir serupa.

Aminuddin Baki betul-betul menangis mengenangkan nasib orang Melayu yang seperti ayam yang mati dikepuk padi dan seperti itik kehausan di air tenang.

Ungku Umar pun begitu juga. Amat sedih mengenangkan nasib orang Melayu yang miskin.

Berpuluh dan beratus sajak Usman Awang yang membayangkan tentang penderitaan orang Melayu.

Keris Mas, Shahnon Ahmad dan beberapa penulis lain sentisa mengenangkan nasib orang Melayu yang miskin.

Za’ba menerusi majalah Al-Ikhwan bertarikh 1 Mac 1927 ( genap 88 tahun yang lampau) telah menulis mengenai kemiskinan orang Melayu. Katanya,

“ Orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifat yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannya dan ialah juga sebenar-benar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan. miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia – jadilah mereka tak dapat tiada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa” Petikan dari Adnan Haji Nawang,” Za’ba – Patriot dan Pendeta Melayu”

Keadaan orang Melayu seperti yang digambarkan oleh Za’ba itu masih lebih kurang sama kini jika dibandingkan dengan orang lain. Tentulah ada perbezaan sekiranya dibandingkan orang Melayu zaman Za’ba dengan orang Melayu zaman DS Najib. Ringkasnya orang Melayu masih mundur. MUNDUR DAN MISKIN…….

Mengapa begitu?

Aku tak tahu entah berapa ribu seminar dan simposium diadakan untuk membincangkan tentang orang Melayu miskin dan orang Melayu mundur. Kadang-kadang semacam ‘mengabihkan bogaigh’ (menghabiskan beras ) sahaja.

Pada hakikatnya secara umumnya orang Melayu kini masih miskin dan ketinggalan (berbanding dengan bangsa lain di Malaysia). Ada orang Melayu yang kaya. Segelintir. Mungkin golongan yang istimewa yang dapat menikmati hidup secara istimewa di negara tercinta ini. Golongann sedemikian sememangnya kaya raya.

Golongan yang mendapat kedudukan istimewa ini juga sentiasa mengharapkan ikhsan pihak tertentu untuk meneruskan ‘kekayaannya’. Tanpa bantuan dan ‘pertolongan’ pihak tertentu golongan orang Melayu yang sebegini juga akan ketinggalan. Tidak ramai orang Melayu yang memiliki kekayaan tulin hasil dari titik peluh mereka yang sebenar tanpa pertolongan pihak-pihak tertentu.Oleh itu dapat dikatakan bahawa kekayaan yang dinikmati oleh kebanyakan orang Melayu kini bukan merupakan kekayaan tulin.

Aku harap pandangan aku tidak rasional dan pemerhatian aku juga tidak tepat mengenai orang Melayu kini.

abuhassanadam

1 Mac 2015

1 comment:

  1. PM pertama sehinga PM sekarang Melayu masih miskin nak bulan dan bintang , nak salah kat sipa? Malu lah..........57 tahun err !

    ReplyDelete