Thursday, March 19, 2015

SIKAP ‘ADA MATA TENGOK, ADA TELINGA DENGAR’ AMALAN RAKYAT MALAYSIA

Agak keterlaluan sekiranya dikatakan semua rakyat Malaysia kini bersikap ‘ada mata tengok,ada telinga dengar’. Namun begitu kebanyakannya begitulah. Hanya ada beberapa ‘kerat’ sahaja yang terus menerus menyuarakan rasa hati dan ketidakpuasan terhdapa sesuatu tanpa memikirkan rasa takut dan bimbang ekoran daripada ketidakpuasan yang disuarakan.

Dalam keadaan suasana di negara kini kita masih dikira bernasib baik kerana masih ada tokoh-tokoh seperti Tun Mahathir, Tengku Razali Hamzah yang masih lantang bersuara menyatakan sesuatu yang tidak kena mengenai sesuatu yang pada pandangan mereka. Dan dikalangan anak muda pula kita masih dianggap bertuah kerana masih ada tokoh-tokoh seperti YB Rafizi, Tony Pua, Nurul Izzah yang berani menyuarakan sesuatu yang bertentangan dengan pendapat dan pandangan mereka. Ini tidaklah pula bermakna bahawa hanya tokoh-tokoh ini sahaja yang sedar akan kepincangan yang berlaku kini. Agak ramai juga anak-anak muda yang berani menyuarakan tetapi suara mereka masih ‘samar-sama’ dan ‘sayup-sayup’ disebabkan mereka masih dianggap ‘ budak-budak masih belajar’.

Pada umumnya masyarakat Malaysia kini mengamalkan ‘ada mata tengok ada telinga dengar’. Masing-masing mahu ‘menyelamatkan’ diri masing-masing. Masing-masing tidak mahu kehidupan mereka terganggu. Masing-masing tidak mahu perjalanan hidup mereka terjejas dengan ‘campurtangan’ mereka ‘menjaga tepi kain’ orang lain. Dan keadaan sedemikian pastinya amat menguntungkan pihak-pihak tertentu yang sedia menggunakan ‘kesempatan’ yang ada demi untuk melakukan apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka.

Dikalangan para pemimpin  diperingkat kebangsaan pasti ada perkara-perkara yang dilakukan oleh pihak kepimpinan yang dirasakan tidak menguntungkan rakyat. Mesti ada. Tetapi disebabkan oleh sikap ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar ‘ itu maka segala penyelewengan yang keilhatan itu didiamkan sahaja. Tambahan pula sebagaimana yang dikatakan oleh YM Tengku Razali, masing-masing sudah pun mendapat habuan masing-masing. Mereka sudah menjadi kaya raya dan amat takut dan bimbang sekiranya ‘periuk’ mereka akan dipenuhi ‘pasir’. Amat takut!

Yang peliknya ada perkara-perkara yang amat jelas kelihatan menyalahi undang-undang yang telah dilakukan oleh seseorang pemimpin masih ‘dirahsiakan’. ‘Biar pecah di perut jangan pecah di mulut’. Dan yang anihnya juga ialah apabila seseorang tidak berani menyatakan sesuatu akan diikuti oleh kumpulan yang lain. Maknanya  ‘herd mentality’ yang diamalkan oleh golongan sedemikian pastinya amat sesuai dengan amalan ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’.

Mungkin dengan sebab tidak mengamalkan amalan ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’ itulah agaknya Saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan. Selagi beliau berada di luar maka selagi itulah keadaan di negara ini ‘tidak aman’. Akan ada saja isu-isu yang dibangkitkannya yang dilihat bertentangan dengan amalan biasa dan merugikan rakyat dan negara. Lantas mulut Saudara Anwar Ibrahim perlu ‘ditutup’.

Dan apakah dengan beberapa siri penangkapan golongan yang sentiasa ‘membuat bising’ ini juga merupakan usaha ‘menutup mulut’ kerana golongan ini adalah merupakan golongan yang sentiasa ‘menjaga tepi kain’ orang lain dan bukan pengamal ‘ada mata tengok dan ada telinga dengar’.

Tidak ramai pemimpin-pemimpin yang rela dan merasa bahagia apabila ditegur atau dikritik. Itu sudah merupakan lumrah manusia. Namun sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat seharusnya setiap pemimpin itu perlu sedia mendengar apa sahaja kritikan yang dilepmparkan kepadanya. Si pemimpin seharusnya berani mendengar apa saja yang disuarakan oleh rakyat dan bersedia pula memberikan jawapan dan  penjelasan dan bukannya berdiam diri. Sekiranya  seseorang pemimpin itu bersikap demikian maka belum layak diri sesorang itu bergelar pemimpin.

Ketika YBM Tengku Razali menyampaikan ucapan di parlimen baru-baru ini, aku perhatikan kerusi ‘pemimpin-pemimpin’ kerajaan agak kosong seolah-olah menandakan bahawa mereka tidak bersedia untuk menerima keritikan yang disuarakan oleh Tengku Razali itu sedangkan apa yang disampaikan oleh beliau amat bernas dan berguna kepada arah tuju kepimpinan negara. Tidak ramai pemimpin di pihak kerajaan yang hadir untuk mendengar menandakan bahawa mereka seolah-oleh tidak bersedia untuk mendengar kritikan.

Keadaan sedemikian telah berlaku buat beberapa lama. Yang amat jelas ialah apa bila ketua pembangkang (dulu), Saudara Anwar Ibrahim menyampaikan hujah-hujahnya. Tidak ramai pemimpin di pihak kerajaan yang hadir. Mungkin telinga mereka terlampau ‘nipis’ sehingga tidak tahan mendengar kritikan yang dilemparkan atau mungkin disebabkan mereka sengaja tidak mahu mendengar sebarang kritikan. Tetapi yang nampak jelas kepada pemimpin-pemimpin sedemikian ialah golongan ini ‘bermuka tebal’.

abuhassanadam
19 Mac 2015



No comments:

Post a Comment