NAMA TS MUHYIDDIN DISEBUT-SEBUT
Sebagaimana yang biasa aku lakukan, sebulan
sekali atau tiga minggu sekali aku panggil kawan-kawan lama yang pernah
sama-sama ‘berjuang’ pada suatu ketika dahulu. Bertanya khabar. Sihat ker,
sakit ker?. Berapa orang cucu. Bila nak buat Umrah. Atau bila nak buat khenduri
kahwin lagi. Dan kebiasaannya jawapan yang diterima ialah si anu masuk
hospital, si anu dah tak ada lagi, si anu tinggal bersama anaknya di London, si anu dah pakai kerusi
roda…….
Jawapan yang aku terima kali ini dari seorang
rakan aku , seorang pemimpin UMNO Bahagian lain macam bunyinya. Marah-marah.
Walaupun dalam nada bergurau tetapi aku faham bahawa dia dalam ‘kesusahan’. Dia
menyoal aku samada aku faham atau tidak keadaan yang menyelubungi UMNO
sekarang. Terus terang aku katakan bahawa sebagai ‘orang luar’, manalah aku
tahu tentang keadaan ‘dalaman’ yang berlaku dalam UMNO. Cuma yang aku tahu
melalui berita (media sosial bukan akhbar arus perdana yang sudah lama aku
tidak membacanya) bahawa DS Najib telah memanggil ketua-ketua bahagian UMNO ke
Kuala Lumpur untuk menjelaskan sesuatu mengenai 1MDB. Dan aku mendapat khabar
juga bahawa TS Muhyiddin tidak ada bersama dalam perjumpaan itu. Dan ada
beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO lain juga turut tidak hadir.
“ Ini yang aku runsingkan….” jawapan tegas dari
rakan aku.
Sekilas ikan di air aku sudah tahu jantan
betinanya. Inilah isu yang merunsingkan rakan aku itu. Memang tak boleh tidur
sebab isu sebgini bagi mereka adalah merupakan isu ‘hidup mati’. Isu ‘periuk
nasi’. Mereka sebagai ketua bahagian UMNO terpaksa membuat perhitungan dan
membuat keputusan yang betul, takut-takut tersilap membuat keputusan ‘periuk
akan dipenuhi pasir’. Mereka sudah dapat merasakan bahawa keadaan dalam UMNO
akan menjadi kelam kabut. Akan berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Dan
sebagaimana biasa golongan seperti rakanku itu tidak peduli siapa yang akan
menjadi pemimpin. Yang pasti mereka akan dapat kontrek, ‘poket’ mereka sentiasa
penuh dan seolah-olah mereka tidak peduli apa akan terjadi kepada negara dan
bangsa. Itulah sifat dan perangai rakan karib ku itu. Aku tak tahu perangai
pemimpin lain.
Teringat aku tentang peristiwa ‘the changing of
the Guard’ suatu ketika dulu. Bukan ‘Changing of the Guard’ dekat Buckingham
Palace di London tu. Bukan. Ini peristiwa yang berkaitan dengan pemecatan
Saudara Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan
Presiden UMNO pada tahun 1998. Aku masih ingat dan masih segar dalam ingatan
aku tentang berbagai-bagai peristwa yang berlaku pada malam selepas Saudara
Anwar Ibrahim di pecat.
Hari Rabu malam Khamis. Hari Rabu mesyuarat
Kabinet dan pada malamnya Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Pada malam itulah
Saudara Anwar dilucutkan semua jawatannya. Pada malam berkenaan berkumpullah
ribuan manusia di rumah Timbalan Perdana Menteri tidak jauh dari Seri Perdana.
Dan pada malam itu juga saluran letrik ke rumah berkenaan sudah diputuskan dan
aku dah lupa samada air juga sudah diberhentikan.
Dalam kegelapan malam itu yang hanya ditemankan
lampu bertenagakan generator, puluhan ribu rakyat memberikan sokongan simpati
di atas ‘malang’ yang menimpa Anwar Ibrahim. Aku masih ingat ‘muka-muka’
pemimpin UMNO yang hadir pada malam itu. Malah aku ingat antara ‘dialog’ yang
diungkapkan oleh mereka pada malam itu. Pendek kata semuanya akan tetap bersama
Saudara Anwar dalam keadaan senang dan susah. Akan sehidup semati dengan beliau
memperjuangkan nasib bangsa. Malah ada Ketua Bahagian UMNO dari Utara yang
memberitahu aku akan ‘berkampung’ di rumah Anwar sehinggalah nasib Anwar
terbela.
Kesemuanya omong kosong. Lihatlah apa yang telah
terjadi kepada Saudara Anwar sekarang. Betul dan tepat kata-kata orang tua-tua
dahulu, ‘yang ketawa ramai dan yang menangis keseorangan’. Perbezaannya dengan
nasib Saudara Anwar ialah yang menangis masih ramai, tetapi bukannya golongan
pemimpin UMNO yang sama-sama ketawa bersamanya ketika beliau berkuasa. Yang
sanggup menangis bersamanya kini ialah golongan marhaen, orang kampung yang
miskin, buruh kasar yang kais pagi makan pagi, para pegawai kerajaan
berpendapatn rendah dan rakan-rakan lama yang betul-betul seperjuangan dalam
membela bangsa dan negara yang tercinta.
Rakan-rakannya yang kononnya sama-sama berjuang
dalam UMNO hampir kesemuanya ‘lari’ betempiaran mencari ‘perlindungan’ untuk
meneruskan kehidupan yang mewah. Hanya yang tinggal adalah beberapa orang rakan
yang betul-betul menepati ertikata sebagai rakan yang sehidup semati.
Kini menampakkan seolah-olah akan berlaku lagi ‘the
changing of the Guard’ dalam UMNO sepertimana yang pernah berlaku dulu-dulu.
Dan apabila ramai yang menyebut nama TS Muhyiddin Yassin menampakkan yang ‘perubahan’
sebegini akan berlaku dengan pantas. Mungkin dengan sebab itulah rakan yang aku
telefon ini sedang ‘berkira-kira’ dan ‘menghitung-hitung’ agar keputusan yang
dilakukannya nanti tidak menyebabkan ‘periuknya dipenuhi pasir’. ‘Keselamatan’
dirinya terjamin.
Yang penting kepada golongan seperti ini ialah ‘kontrek’
yang mengatasi perjuangan untuk memajukan bangsa, negara dan agama yang
merupakan tunggak perjuangan UMNO.
abuhassanadam
11 Mac 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteRakyat perlu membuat pilihan bijak pada PRU 14 nanti.
Pak Abu