PAS PERLU MENGENALI SIAPA RAKAN
SEBENAR…
Mungkin PAS ‘melatah’ ekoran daripada ‘geletek’
UMNO yang mahu bekerjasama dalam menegakkan hukum Hudud di Kelantan. Dan
telahpun dibuktikan oleh BN (UMNO) tentang hakikat demikian apabila kesemua
ADUN UMNO menyokong cadangan PAS. Samada sokongan BN (UMNO) itu tulin atau
hanya mainan politik hanyalah mereka yang terlibat sahaja yang tahu. Ataupun
mungkin mereka telahpun awal-awal mendapat ‘arahan’ daripada Puterajaya supaya
‘berlakon’ sedemikian rupa demi untuk melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat.
Mungkin.
Kepimpinan UMNO sedar dan amat faham bahawa
‘Hudud’ adalah merupakan ‘soft spot’ parti PAS terutamanya kepimpinan ulama
mereka. ‘Hudud’ adalah merupakan perjuangan ‘hidup mati’ parti PAS dan mungkin
‘perjuangan hidup mati’ ahli PAS itu dianggap sesuatu yang tulin. Namun
mengenali UMNO yang penuh dengan tektik politk dan strategi, ramai yang merasa
sangsi tentang ketulinan kerjasama yang dijalinkan demi untuk melaksanakan
Hudud itu. Dan sehingga kini DS Najib atau kepimpinan tertinggi UMNO lain belum
pun membuat apa-apa keputusan dan pendirian mengenai Hudud ini. Dan sekirannya
berdasarkan kepada keputusan UMNO yang telah lalu sememangnya mereka belum
bersedia menerima Hudud.
Satu hal yang amat jelas yang berkemungkinan
tidak akan dapat dilaksanakan hukum Hudud di negara ini ialah jika ditinjau
dari segi kedudukan perlembagaan negara. Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan
menyatakan bahawa undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya. Maknannya
perlu mendapat kelulusan di peringkat parlimen terlebih dahulu. Maknanya
tentulah tidak mudah untuk mendapat persetujuan kesemua anggota parlimen
terutama wakil bukan Islam.
Sepatutnya sebelum ucapan yang ‘berapi-rapi’ dan
‘ratap tangis’ di DUN Kelantan (baru-baru ini) apabila membahaskan tentang
Hukum Hudud, ADUN seeloknya terlebih dahulu mengkaji implikasi keputusan yang dibuat
di DUN berkenaan. Mentadbir negeri atau negara bukan boleh merupakan langkah
‘syok sendiri’ berdasarkan sentimen dan emosi kerana negara kita mempunyai
perlembagaan dan undang-undang yang telah dirangka dengan penuh berhati-hati
oleh pemimpin kita yang terdahulu.
PAS pernah dikecewakan oleh UMNO dalam tahun
1977. Mungkin pemimpin muda dalam PAS tidak tahu ‘penangan’ UMNO ketika
mengadakan kerjasama dengan PAS pada tahun berkenaan. TG Nik Aziz amat tahu dan
faham hal sebegini. Dan dengan sebab beliau benar-benar tahu ‘perangai’ UMNO
itulah yang telah menyebabkan arwah TG Nik Aziz seolah-olah ‘berkerat rotan dan
berpatah arang’ dengan UMNO. Dan kemungkinan munculnya keghairahan yang luar
biasa untuk bekerjasama dengan UMNO oleh kepimpinan PAS (khususnya golongan
ulama) kini berpunca daripada ‘kejahilan’ mereka tentang tektik dan tindak
tanduk politik UMNO.
Yang jelasnya kini ialah apa yang dilakukan oleh
PAS itu sudah dapat dilihat oleh rakan dalam Pakatan Rakyat sebagai ‘mata
berpandangan budi kedapatan’. Apa tidaknya segala kenyataan yang dikeluarkan
oleh para pemimpin PAS berkaitan dengan Hudud sudah boleh ‘menusuk ke jantung
hati’ siapa yang termakan cili dan akan terasa pedasnya.
Kenyataan TG Haji Hadi yang merasakan bahawa dia
lebih mementingkan wawasan akhirat daripada wawasan dunia sudah melambangkan
bahawa tindakannya itu ibarat ‘membujur lalu melintang patah’. Ditambah pula
dengan kenyataan daripada YAB Menteri Besar Kelantan yang terang-terang
menyatakan bahawa sesiapa yang tidak menyokong Hudud adalah golongan yang tidak
beriman. Dan jelas juga ditujukan kepada rakan dalam Pakatan ia itu PKR dan DAP
khususnya dan rakyat yang beragama Islam umumnya.
Dengan tindakan yang dilakukan oleh PAS
seolah-olah sudah jelas ‘sekilas ikan diair sudah diketahui jantan betinanya’.
Kelihatan dengan jelas juga bahawa seolah-olah PAS tidak begitu peduli ‘hati
dan perasaan’ rakan dalam Pakatan. Seolah-olah rakan dalam Pakatan tidak begitu
penting berbanding dengan ‘rakan baru’ yang menampakkan lebih akrab. Lagipun
apa yang telah berlaku berkaitan dengan kenyataan dan tindakan TG Haji Hadi
‘melukakan’ hati dan perasaan Dr Wan Azizah ketika berlaku kemelut politik
Selangor masih segar dalam ingatan rakan-rakan dalam Pakatan. Dan tindakan yang
mirip sebagai sabotage kepada calon tajaan PKR ( Dr Nasir ) di ADUN Subang
dalam PRU 13 yang lalu juga masih segar dalam ingatan juga. Kesemua ini
menampakkan seolah-olah ‘langkah-langkah awal’ kepimpinan PAS terutama Presidennya
sendiri untuk tidak begitu ‘mementingkan menjaga hati kawan’. Seolah-olah
beliau berkata,’ apa nak jadi, jadilah…” Mungkin aku tersilap.
Isu hubungan DAP-PAS adalah merupakan isu ‘duri
dalam daging’. Dan sekiranya dilihat dalam konteks parti Pakatan Rakyat pula ia
merupakan isu yang membabitkan Pakatan Rakyat juga terutama setelah Anwar
Ibrahim tidak berada bersama-sama. Sepanjang kewujudan Pakatan Rakyat kelihatan
PAS hanya akan bersama dan ‘berbaik-baik’ dengan komponen dalam Pakatan
sekiranya ‘prsahabatan’ demikian menguntungkan mereka. Tetapi sekiranya mereka
merasakan bahawa ‘persahabatan’ itu
tidak menguntungkan mereka, maka tindakan mereka tidak seperti ‘cubit peha
kanan, peha kiri terasa sakitnya’.Nampak semacam begitu.
Aku tidak mempunyai bukti jelas tetapi umumnya sebagaimana
yang dapat aku lihat kepimpinan ulama dalam PAS sememangnya tidak secocok
dengan perjuangan Pakatan Rakyat khususnya DAP. Aku tidak pula menyalahkan
mereka yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Ada sebab-sebab tertentu
yang menyebabkan mereka merasa ‘terasing’ dengan rakan-rakan dalam Pakatan
Rakyat, terutamanya dengan DAP. Seolah-olah ‘Persahabatan’ yang dijalinkan buat
sementara waktu itu hanya untuk kepentingan untuk memenangi pilihanraya
semata-mata. Boleh juga diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.
Namun begitu telah terbukti bahawa dengan adanya
kerjasama antara PKR,DAP dan PAS telah sedikit sebanyak memberikan harapan
untuk menumbangkan BN pada pilihanraya akan datang. Telah dibuktikan kejayaanya
pada PRU 13 yang lalu. Atas perkiraan sedemikian jugalah agaknya maka BN
bersungguh-sungguh benar untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat itu walau
dengan apa cara sekalipun.
Dan PAS kena berfikir panjang-panjang untuk
memilih ‘rakan’ seperjuangan. Kepada kepiminan PAS (terutama kepimpinan
ulamanya) “Tepuk dada tanya iman’. Orang tua-tua kata,’ tepuk dada tanya
selera’.
abuhassanadam
21 Mac 2015
No comments:
Post a Comment