IMDB – PERSOALAN ‘SURVIVAL’ BANGSA DAN NEGARA
Bagi aku sesiapa yang mengatakan bahawa
membangkitkan isu IMDB sebagai satu mainan politik sebenarnya boleh disifatkan
sebagai pengkhianat bangsa dan negara. Apabila Tun Mahathir sudah tampil
kehadapan dan menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pihak-pihak
tertentu demi menyelamatkan kedudukan kewangan negara, maka dengan sendirinya
membayangkan keadaan negara kita dalam keadaan yang amat membimbangkan.
Tetapi yang menghairankan ialah pihak-pihak yang
berkaitan dengan 1MDB masih lagi mahu menegakkan benang basah mereka. Masih
mempertahankan bahawa 1MDB seolah-olah masih ‘ok’ dan tidak apa yang perlu
dibimbangkan. Dan media milik kerajaan juga dengan penuh ‘bangga’ menyatakan
bahawa 1MDB sentiasa dipolitikkan dan sentiasa menuding jari ke arah YB Rafizi
dan YB Tony Pua yang memperlihatkan seolah-olah tokoh-tokoh ini berhasrat untuk
merosakkan bangsa dan negara dengan pendedahan yang dibuat oleh mereka. Malah
ada Menteri dan Timbalan Menteri yang sentiasa terpekik dan terlolong
mempertahankan ‘kehebatan’ IMDB.
Orang kampung tidak tahu selok belok IMDB. Orang
UMNO juga tidak faham tentang selok belok IMDB. Malah hampir kesemuanya
pemimpin bahagian UMNO tidak tahu apa sebenarnya IMDB dan tentulah tidak dapat
mereka menjelaskan kepada pengikut mereka tentang IMDB dalam ertikata yang
sebenarnya. Dan apabila dijemput ke PWTC oleh beberapa ‘orang suruhan yang
berkepentingan’ untuk mendengar penjelasan daripada DS Mohd Najib maka berduyun-duyunlah
mereka datang menyahut panggilan seperti yang digambarkan dalam puisi lama
orang Melayu,
Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh
Maka ‘meriahlah’ PWTC dengan tepuk sorak
kegembiraan mendengarkan penjelasan yang disampaikan oleh Perdana Menteri.
Alangkah gembiranya pihak yang menganjurkan perjumpaan itu memandangkan bahawa
program IMDB mendapat sokongan ketua bahagian UMNO seluruh negara. Sokongan
mereka adalah penting. Seolah-olah persetankan pandangan rakyat yang lain.
Seolah-olah rakyat Malaysia yang bukan ahli UMNO seperti sampah yang tidak
mempunyai sebarang nilai.
Ramai pemimpin UMNO yang datang tidak tahu menahu
tentang IMDB. Mereka ada mendengar tentang IMDB disuarakan oleh pihak
pembangkang. Mungkin mereka merasakan apa yang disuarakan oleh pembangkang itu
merupakan mainan politik, apatah lagi media arus perdana semacam mengatakan
begitu. Lantas pemimpin UMNO seluruh negara tidak peka dengan keadaan negara
yang sudah berada diambang yang amat membimbangkan.
Tambah membimbangkan mereka apabila Tun Mahathir
mengatakan melalui blognya ‘Che Det”
- Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.
- 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan.
- Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.
- Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?
- Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.
- Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.
Rakyat hanya mampu berdoa agar negara dan bangsa
Malaysia dilindungi Allah.
abuhassanadam
14 Mac 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteYang pentingnya itu merupakan pengajaran kepada anak-anak supaya jangan menjejak langkah sedemikian.
Pak Abu