KEMERIAHAN IALAH KETIKA ‘MENGGOLEK’
Bulan Januari dikatakan sebagai bulan ‘kerat
kepala’ apabila padi hampir menguning. Emak kata Ngah Lauh akan berkeliaran
memotong kepala kanak-kanak ‘untuk buat jambatan’. Bukan emak aku seorang yang
kata begitu, hampir seluruh orang kampung aku kata begitu. Dan kami kanak-kanak
pada ketika itu ‘percaya’. Namun tidak pula kedengaran ada kanak-kanak dari kampung aku yang dipotong
kepalanya oleh Ngah Lauh. Begitu juga dari kawasan lain. Tak pernah dengar
berita kematian kanak-kanak disebabkan kepala dipotong oleh Ngah Lauh. Tapi
setiap tahun, setiap kali sampai bulan Januari akan ‘muncul’lah cerita Ngah
Lauh potong kepala. Mungkin sekarang sudah tidak kedengaran lagi disebabkan
orang kampung aku sudah tidak ke sawah lagi. Sawah padi sudah bertukar kepada
kebun sayur-sayuran diusahakan oleh petani Cina.
Setelah padi dituai dan disimpan di kepuk
(beromban kata orang kampung aku), maka kawasan sawah padi di kampung aku
seolah-olah ‘direhatkan’ buat seketika menunggu musim menanam padi seterusnya.
Kebiasaannya waktu rehat adalah selama enam bulan. Tidak ada apa aktiviti
pertanian yang dijalankan di sawah padi di kampung aku. Rehat
‘sungguh-sungguh’. Dan ketika inilah penduduk kampung aku mengharapkan padi/beras
dari musim sebelumnya yang cukup menampung bekalan selama setahun.
Apabila musim tengkujuh bermula, maka
pesawah-pesawah di kampung aku mulalah turun ke bendang. Membajak sawah. Kebanyakannya
menggunakan tenggala dengan bantuan kerbau untuk membajak sawah. Sudah tidak kelihatan
lagi tenggala digunakan untuk membajak sawah. Kini sudah tidak kelihatan lagi.
Awal tahun 1950an hampir semua orang kampung aku menggunakan tenggala sebagai
langkah awal membajak sawah mereka. Yang agak menarik perhatian ialah tentang
‘terpelajar’nya kerbau di kampung aku yang tahu ‘cakap Melayu’. Walaupun hanya
tiga patah perkataan sahaja ( ‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’) yang difahaminya,
tetapi sekurang-kurangnya kerbau dikampung aku termasuk dalam golongan yang
‘educated’ juga ler……
Peringkat kedua selepas membajak ialah ‘menyikat’
dengan menggunakan sikat dengan bantuan kerbau juga untuk menarik sikat
berkenaan. Tujuan menyikat ialah untuk menghancurkan tanah selepas dibajak
dengan tenggala. Sikat yang dimaksudkan itu adalah seperti sikat rambut tetapi
tentulah besar bentuknya. “Gigi’ sikat berkenaanlah yang boleh berperanan
menghancurkan tanah menjadi selut. Proses menyikat dilakukan selepas beberapa
hari selepas di tenggala untuk memberikan peluang tanah yang ditenggala
terendam dan lembut untuk disikat.
Selepas disikat, tibalah masanya untuk
‘menggolek’. Kanak-kanak di kampung aku (tentunya termasuk aku) hanya menunggu
masa dan ketika untuk sama-sama terlibat dalam proses menggolek. Pada ketika
ini kami perlu sentiasa ‘pasang telinga’ dan memerhatikan di sawah mana ada
‘upacara “Menggolek’ untuk dihadiri bersama ‘upacara’ berkenaan. “Menggolek”
juga menggunakan tenaga kerbau tetapi tidaklah sepayah mana tugasan kerbau
berkenaan berbanding dengan menarik tenggala.
Yang menyeronokkan kami mengekori ‘golek’ di
sawah ialah sementara golek berpusing di sesuatu petak sawah padi , kanak-kanak
berpeluang menangkap ikan yang tersadai selepas proses menggolek itu. Dan apa
lagi. Tangkap sajalah. Dan pada ketika itu, seingat aku memang terdapat banyak
ikan walau di sawah mana sekali pun. Ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan, ikan
keli. Dan tentulah ada sawah-sawah yang mempunyai banyak ikan berbanding dengan
yang lain. Kami tahu. Telah dikenalpasti saban tahun. Sayangnya kini sudah
tidak ada lagi…..
Kebiasaannya waktu ‘menggolek’ bolehlah dianggap
sebagai satu pesta di sawah berkenaan. Pemilik sawah membenarkan kanak-kanak
mengekori goleknya kerana kaki kami juga berperanan untuk melembutkan tanah
sawahnya yang memudahkannya menanam semaian padi kemudiannya.
Pada masa cuti sekolah maka kami akan berada di
sawah sepanjang hari. Kami akan berpindah dari satu sawah ke sawah yang lain.
Mengekori golek untuk menangkap ikan. Yang menyeronokkan lagi ialah bukan
sahaja menangkap ikan tetapi kegiatan bermain selut ketika berada dalam lumpur
juga amat mengembira. Pendek kata antara kerbau dengan kami, diukur dari segi
rupa paras, tidak banyak perbezaan. Dari rambut sampai ke kaki dipenuhi dengan
selut kecuali mata yang masih tidak diselaputi oleh selut dan lecah.
Menyeronokkan!!......
Namun begitu kebimbangan tetap ada terutama
apabila pulang ke rumah nanti dan ‘bertemu’ dengan arwah emak yang sudah sedia
menanti dengan ranting kayu ditangan……..
Itulah bentuk permainan dan santai yang dapat
diperolehi oleh anak kampung pada ketika itu. Kami tak tahu dan tidak pernah
kenalpun apa dia ‘shopping mall’. Kami tak pernah berpengalaman mencuba roller
skate atau skate board. Yang kami tahu ialah menaiki upeh pinang yang ditarik
secara bergilir-gilir oleh rakan. Kami tidak tahu bagaimana rupa air yang ada
dalam Swimming Pool di hotel-hotel di bandar. Jernih ke. Biru ke airnya. Cuma
yang kami tahu ialah Sungai Sauk yang juga merupakan Swimming Pool’ tempat kami
belajar berenang.
Rupanya Allah tidak mengenepikan anak kampung
yang bersalut lecah. Ada juga yang berjaya sampai mendaki ke menara gading……
abuhassanadam
7 Mac 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam. Mohon izin blog tn dipautkan ke http://spotthebloggers.blogspot.com. Email ke spotthebloggers@gmail.com sekiranya ada bantahan. TK
ReplyDeleteSaudara,
DeleteTiada halangan
abuhassanadam