MENGAPA TEMPUA KU BERSARANG RENDAH
Aku rindu sangat nak balik kampung. Bukan lah pulak aku tak
pernah balik ke kampung. Selalu. Tetapi sekejap. Sehari. Kadang-kadang dua
hari. Tak pernah sampai seminggu pun tinggal di kampung. Kali ini aku berhasrat
nak tinggal sekurang-kurangnya dua minggu. Seorang. Anak isteri tak perlu ikut.
Aku mahu mengembalikan semula nostalgia aku. Mahu menghayati semula zaman
kanak-kanak ketika mandi Sungai Sauk, ketika bermain lecah ketika mengekori Pak
Anjang Dahaman menggolek sawah di bendangnya, dan berbagai-bagai kenangan manis
yang pernah aku alami.
Memang aku merindui kesunyian kampung pada waktu malam yang
hening. Aku nak dengar semula bunyi keredik (jengkerik) ‘ menyanyikan’ lagu
malam untuk menemani tidurku, sepertimana aku pernah ‘didendangkan’ sewaktu aku
masih kecil-kecil dulu. Aku nak merasakan suasana kesejukan pagi ketika
tidur tanpa berhawa dingin. Aku mahukan kesejukan pagi di kampung bukan
kesejukan yang diselubungi salji. Aku tak mahu sejuk salji. Aku merindui dingin
di kampung.
Aku mahu tidur hanya berpakaian kain sarung tanpa baju dan
seluar dalam. Bolin ( kata orang Perak ). Aku tidak memerlukan tilam empuk. Tak
perlu. Hanya tikar mengkuang yang masih ada peninggalan arwah ibuku. Cukup
untuk melapik tubuhku. Selimut pun kadang-kadang tak perlu kerana kain sarong
boleh berperanan ‘ dua dalam satu’. Boleh dijadikan sarong dan boleh juga
dijadikan selimut sekiranya perlu.
Aku sudah lama benar tidak pernah melihat kabus pagi
membalut kampung ku. Terus terang aku katakan entah macam mana akhir-akhir ini
aku lebih kerap melihat salji daripada melihat kabus pagi di kampung ku. Aku
agak bertuah dari satu segi tetapi agak merasa bersalah dari segi yang lain.
Aku sudah bertekad benar ia itu sesampai sahaja aku di kampung
nanti aku akan terus pergi ke tengah sawah berdekatan dengan rumah aku. Aku
akan pergi ‘melawat’ brurung tempua yang bersarang bergantungan di pohon buluh
seperti mana yang pernah aku lihat dan lakukan semasa aku kecil-kecil dulu.
Dijangka aku akan sampai pada waktu petang. Aku jangkakan
aku akan sampai di kampungku pada pukul lima petang. Sedang elok dan sesuai.
Sedang elok untuk aku menikmati angin petang melihat keindahan alam disamping
menunggu matahari terbenam. “Tak perlu sampai ke Pantai Kute di Bali
semata-mata untuk melihat matahari terbenam pada waktu senja’ kata hati
kecilku. Di kampung aku lebih cantik dan indah suasana matahari terbenam pada
waktu senja.
Tidak
kurang tarikan yang membakar hasratku untuk pulang ke kampung kali ini ialah
untuk melihat burung tempua yang bersarang di pohon buluh di tengah bendang,
sepertimana yang aku jelaskan itu. Perdu buluh tempat tempua bersarang itu
ialah di Kampung Pulau (kami panggil Pulau Hawaii kerana kecantikannya, dengan
phon nyiornya yang melambai..). Di bawah pohon buluh inilah aku dan adik ku
pernah bermain-main sementara menunggu emak dan bapak menuai padi di situ. Dan
di pohon buluh inilah burung tempua bersarang. Bergayutan sarang-sarang temupa
itu. Tetapi tempua-tempua itu tidak bersarang rendah. Pepatah Melayu kata, “
Jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah..”. Memang dipucuk pohon
buluh lah tempat tempua bersarang.
Benakku sering bertanya, Masih ada
lagikah pohon buluh di tepi sawah itu?
Masih ada lagikah sarang-sarang burung tempua bergayutan
dipohon-poho buluh itu?
Jikalau sudah tiada, ke mana perginya tempua-tempua itu.
Merajukkah dia?
Ke mana berkelananya dia?
Masih adakah lagi pohon-pohon buluh tempat tempua bersarang?
Apa yang
aku sangkakan tepat sekali. Pohon buluh ditepai sawah sudah tiada lagi. Dan
tentulah sudah tiada juga tempua yanng bersarang. Aku pergi ke sungai tempat
aku dan adikku dulu bermain. Di bawah pohon buluh berkenaan. Sudah tiada
semuanya. Aku dongakkan kepalaku membayangkan yang aku sedang memerhatikan sarang
burung tempua yang bergayutan. Telingaku seolah-olah mendengar bunyi
burung tempua ‘ bercengkerama’ dalam sarang-sarang yang mereka anyam sendiri
dengan menggunakan paruh mereka.
Sudah tiada rupanya tempuaku sayang.
Tetapi peribahasa Melayu “ jikalau tidak ada-ada takkan
tempua bersarang rendah’ masih digunakan sehingga kini. Peribahasa ini jugalah
yang membuat orang berfikir bahawa tentu ada sesuatu yang disembunyikan oleh
seseorang dengan bertindak dalam keadaan yang sepatutnya tidak sedemikian.
Mesti ada sesuatu yang tak kena dan disembunyikan………
abuhassanadam
9 Mac 2015
No comments:
Post a Comment