MENGAPA DITANGKAP….. MENGAPA TIDAK BERDEBAT?
Aku tidak mengatakan bahawa pihak berkuasa
seharusnya berlembut setiap masa apabila berhadapan dengan tugas untuk
memelihara keamanan dan menegakkan undang-undang negara. Aku tak kata begitu.
Ada masa dan ketikanya pihak polis terutamanya kena berkeras dan tegas dalam
menjalankan tugas mereka terutama apabila bertindak terhadap pihak yang
sememangnya menggugat keamanan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
Rakyat Malaysia umumnya akan memberikan sokongan
padu kepada pihak yang menjaga keamanan negara sekiranya dapat bertegas dalam
menjalankan tugas memerangi penyeludupan dadah ke negara ini misalnya. Pihak
polis akan sentiasa disanjungi sekiranya kes-kes ragut dapat dikurangkan.Rakyat
akan ‘tabik spring’ kepada pihak polis sekiranya keadaan seperti ‘war zone’ di
setengah kawasan perumahan dapat dikurangkan ataupun dapat dihapuskan supaya
keadaan aman seperti yang pernah berlaku sebelum ini dapat diwujudkan semula.
Jangan dikatakan rakyat tidak menghargai sumbangan
pihak yang menjaga keamanan di Malaysia khususnya pihak polis. Cuma rakyat agak
terkilan apabila ada segelintir yang menjalankan tugas keamanan ini
kadang-kadang kelihatan seperti ‘lebih sudu daripada kuah’. Rakyat merasa
kurang selesa melihatkan perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini apabila
ramai wakil-wakil rakyat pembangkang ditangkap dan ditahan dibawah Akta
Hasutan. Yang menggusarkan ramai orang ialah tentang cara wakil rakyat ini
‘diperlakukan’. Misalnya apabila melihatkan YB Rafizi Ramli digari dan berkaki
ayam memberikan gambaran bahawa pihak tertentu seolah-olah tidak tahu
menghormati dan menilai seseorang pesalah.
Satu hakikat yang perlu disedari ialah bahawa
Ahli Parlimen seperti YB Rafizi atau YB Khalid Samad atau YB Tien Chua adalah
wakil rakyat. Mereka menang dalam pilihan raya diatas sokongan rakyat di
kawasan tertentu. Mereka adalah semacam ‘lidah’ penyambung antara rakyat yang
diwakili dengan pihak kerajaan. Mereka bukan sebagai wakil sesuatu parti ( UMNO
misalnya) tetapi adalah wakil rakyat disesuatu kawasan yang diktiraf. Lantas
mereka perlu dihormati apatah lagi isu yang diperjuangkan oleh mereka adalah
isu yang membabitkan masalah negara. Dan sekiranya mereka dipersalahkan
mengikut akta-akta tertentu maka cara mereka diperlakukan seharusnya sesuai
dengan pangkat dan taraf mereka sebagai ahli parlimen dan bukanlah sepertimana
yang pernah disarankan oleh setengah pihak supaya mengenepikan prinsip-prinsip
beradab dan meneruskan ‘kebiadaban’ sebagaimana yang telah dilakukan.
Aku merasakan satu cara jalan keluar yang boleh
diamalkan di Malaysia bagi meredakan kemelut yang berlaku kini ialah dengan
jalan mengadakan perdebatan dan perbahasan. Sesuatu isu yang dibangkitkan oleh
pihak pembangkang yang menimbulkan kerunsingan kepada mereka sepatutnya
‘dibuka’ untuk dibahaskan samada di parlimen atau di majlis-majlis forum yang
dianjurkan. Dan aku pasti ramai penganjur yang sudi dan bersedia untuk menganjurkan
majlis sedemikian.
Lagi pun perdebatan atau pertukaran fikiran
secara bebas adalah merupakan ‘pasak’ kepada kesuburan prinsip demokrasi. Dan
aku perhatikan kegiatan berdebat amat kurang dijalankan di negara ini samada di
parlimen atau pun di majlis-majlis forum berbanding dengan negara-negara maju
lain yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti USA dan Great Britain.
Diperhatikan hampir setiap hari David Cameron (
Perdana Menteri Britain) akan berdepan dengan ahli parlimen untuk membincangkan
sesuatu isu. Di Malaysia amat kurang dilakukan perbahasan di parlimen
sebagaimana perbahasan dalam ertikata yang sebenarnya ( bukannya menjawab
soalan). Perbahasan tidak semestinya antara Perdana Menteri dengan pihak
pembangkang sahaja. Para Menteri sepatutnya berbahas dan mempertahankan sesuatu
dasar yang dikemukakannnya. Mengenai GST misalnya tidak nampak ‘pertentangan’
atau ‘penjelasan’ yang jitu antara Menteri berkenaan dengan pembangkang.
Mungkin ada.
Mungkin ada jawapan yang telah diberikan di
parlimen berkaitan dengan GST. Dan rakyat tahu bahawa jawapan-jawapan parlimen
berkenaan disediakan oleh pegawai-pegawai dari kementerian tertentu. Dan
Menteri yang berkaitan hanya perlu membaca apa yang ditulis oleh para pegawai
di kementerian berkenaan. Yang diharapkan oleh rakyat ialah kemampuan seseorang
menteri untuk berhujah dan mempertahankan hujahnya mengenai sesuatu dasar yang
hendak diperkenalkan. Hal yang sebegini yang amat berkurangan seolah-olah
menandakan yang seorang menteri kurang arif dengan dasar yang diperkenalkan
oleh kementeriannya.
Berkemungkinan juga para pembangkang di parlimen
kini ‘merindui’ suasana parlimen sepertimana yang parlimen yang wujud dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an dimana
parlimen jarang sunyi dengan perdebatan. Aku masih ingat suasana ketika itu
dimana Dr. Mahathir akan terus berdepan dengan apa saja isu yang ditimbulkan
oleh pembangkang pada ketika itu. Bukan sahaja Dr Mahathir yang lantang
bersuara tetapi suara-suara lain seperti dari Saudara Anwar Ibrahim ( masih
dalam kerajaan), TS Rafidah Aziz telah menambahkan gema di parlimen Malaysia
ketiak itu. Mungkin suasana yang sedemikian yang diharapkan oleh pemimpin
pembangkang kini. Kelihatan kini agak sunyi dengan perbincangan dan perbahasan
yang bermakna ( dan bukan maki hamun seperti yang dilakukan oleh anak-anak).
Dan sekiranya begitulah harapan para pembangkang
maka sudah sampai masanya DS Najib menunjukkan taringnya untuk mengambil sikap
‘confrontational’ terhadap sebarang isu yang dibangkitkan oleh pihak
pembangkang. Perdana Menteri bukan sahaja boleh menggunakan parlimen sebagai
saluran menjelaskan sesuatu isu tetapi pihak kerajaan boleh menggunakan TV dan
akhbar arus perdana juga untuk menyampaikan maklumat berguna kepada rakyat.
Mungkin keadaan dan cara demikian agaknya yang
diharapkan oleh rakyat. Mungkin rakyat mahu melihat dengan jelas kehebatan DS
Najib sebagai pemimpin negara ini.
Mungkin……
abuhassanadam
30 Mac 2015
No comments:
Post a Comment