Monday, March 2, 2015

MASIH ‘RELEVAN’ KAH KEPIMPINAN ULAMA PAS?

Keadaan perkembangan politik dalam parti PAS kini seolah-olah sama dengan keadaan yang berlaku kepada Muhammadiyah di Indonesia dalam tahun-tahun 1960an. Terdapat suatu keadaan di mana rakyat merasakan bahawa pertubuhan Muhammadiyah lebih memerlukan intelektual Islam yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat (dan fasih berbahasa Belanda) berbanding dengan golongan ulama yang semata-mata berasaskan pendidikan Islam dan hanya tahu berbahasa Arab.

Walaupun pada awal penubuhannya golongan agama berpendidikan timur tengah yang menonjol dalam kepimpinan Muhammadiyah tetapi dengan perkembangan zaman, rakyat sudah merasakan bahawa kepimpinan ulama sudah tidak begitu relevan lagi. Ini tidak bermakna bahawa golongan agama hilang peranan mereka dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam. Golongan ini masih berperanan begitu besar. Hanya dalam bidang politik dan pentadbiran dirasakan bahawa golongan berpendidikan Barat (Belanda) dapat melakukannya dengan berkesan.

Lantas kepimpinan ulama dalam Muhammadiyah menyedari hakikat ini dan bermulalah usaha untuk ‘memikat’ golongan intelektual Islam berpendidikan Barat menerajui Muhammadiyah. Tentulah tidak ramai yang menyahut seruan ini. Namun lama kelamaan golongan ini semakin membesar dalam menerajaui Muhammadiyah terutama selepas penubuhan  “ Jong Islamieten Bond’ (JIB) dalam tahun 1924 oleh Haji Agus Salim yang bertujuan untuk menyuburkan pengertian kepada agama Islam dikalangan intelektual Islam berpendidikan Barat.

Pengalaman yang dialami oleh parti Muhammadiyah di Indonesia boleh juga dijadikan pedoman dan contoh bagaimana terdapat sedikit ‘pertembungan’ antara golongan intelek Indonesia pendidikan Belanda dengan golongan ulama dalam menerajui pertubuhan Muahmmadiyah. “ Intelektual Islam yang jumlahnya tidak banyak inilah yang menceburkan diri ke dalam perjuangan Islam yang lalu, sehingga dapat duduk sama rendah tegak sama tinggi dengan intelektual yang lain dalam menegakkan Republik Indonesia….” HAMKA,” Dari Hati Ke Hati’.

Perkembangan mutakhir kini di MAlaysia, menampakkan bahawa telah muncul golongan dalam PAS yang sudah tidak segan silu menyuarakan hasrat hati dengan tidak memikirkan adab dan tata susila yang sudah sekian lama di pegang dan ‘dianuti’ oleh PAS. Terdapat golongan yang merasakan apa sahaja yang dilakukan oleh  mereka sebagai tindakan yang betul dan tepat dalam tindak tanduk mereka sementara sentiasa melihat tindakan golongan lain sebagai salah dan tidak betul. Persepsi yang sebegini adalah amat bahaya dalam perjuangan sesuatu pertubuhan.

Kadang-kadang ternampak semacam peristiwa ‘pertembungan’ Kaum Muda dan Kaum Tua sudah muncul semula dalam parti PAS. Golongan ulama masih yakin yang perjuangan mereka adalah masih ‘relevan’ dan masih diterima oleh rakyat di negara ini. Mungkin betul juga anggapan sedemikian berdasarkan kepada sejarah lampau apabila Tuan Guru Nik Aziz (yang mewakili golongan ulama) berjaya mengenepikan Dato Asri Haji Muda ( yang condong kepada nasionalis Melayu ) dalam menerajui kepimpinan PAS.

Dan jangan dilupakan juga bahawa tewasnya Datuk Asri mungkin juga disebabkan penglibatannya dalam mengusahakan kerjasama dengan UMNO…..Dibawah kepimpinan Dato’ Asri, PAS telah menjadi anggota Barisan Nasional antara tahun 1973- 1978. Dan pernah juga Dato Asri menjawat jawatan Menteri Tanah dan Pembangunan Luar Bandar peringkat pusat pada ketika itu.

Sejarah sebegini mungkin juga berulang kini apabila ada khabar-khabar angin yang mengatakan ada antara kepimpinan PAS kini yang sudah berjinak-jinak untuk bekerjasama dengan UMNO (Barisan Nasional), apatah lagi dengan ketiadaan lagi TG Nik Abdul Aziz yang semenjak dulu lagi memang menentang  kerjasama PAS dengan UMNO.

Jikalau dahulu kepimpinana Ulama yang beria-ia menentang kerjasama PAS dengan UMNO tetapi kini menampakkan keadaan sebaliknya pula berlaku walaupun tidak ‘dijelmakan’ secara terang-terangan. Dari tindak-tanduk golongan ini menampakkan bahawa mereka sudah agak ‘termakan’ dengan ‘umpan’ yang disediakan oleh UMNO untuk mewujudkan perpaduan dikalangan orang Melayu.

Dan yang bersungguh menentang kerjasama demikian adalah golongan bukan ulama dalam PAS, dan golongan ini dikatakan sebagai penentang kepimpinan presiden. Apakah ini sebagai satu tektik untuk mengalihkan pandangan ahli kepada isu yang lebih besar yang sedang dalam perancangan golongan tertentu yang matlamatnya ke arah ‘perpaduan Melayu’ itu.

Berbagai tuduhan dan tohmahan telah dilemparkan oleh golongan ulama terhadap golongan progresif dalam PAS. Dan yang paling ketara ialah tohmahan yang mengatakan bahawa golongan progresif mahu menggulingkan kepimpinan tertinggi dalam PAS terutama TG Haji Hadi Awang. Berbagai tuduhan dilemparkan.

Namun mereka mungkin lupa bahawa TG Nik Aziz pernah menggugat Dato Asri Haji Muda ( sebagai Presdien PAS) apabila majoriti ahli merasakan kepimpinan beliau sudah tidak relevan dan tidak diperlukan pada ketika itu.

Atas prinsip yang sama jugalah maka kedudukan TG Haji Hadi boleh diketepikan sekiranya dianggap tidak relevan dengan perjuangan rakyat masa kini. Mungkin…….

abuhassanadam
2 Mac 2015


2 comments: