Friday, March 13, 2015

AYAM KAMPUNG

Dikhabarkan bahawa Prince Charles atau keluarga Diraja England akan memilih ayam kampung sekiranya mereka memakan daging ayam. Begitu juga sekiranya mereka memilih telur ayam untuk dimakan. Mesti “Free Range’, maknanya telur ayam yang tidak dikurung tetapi sentiasa berkeliaran mencari makan. Macam ayam kampung. Dan pastinya harga ayam kampung agak mahal berbanding dengan ayam belaan di London. Begitu juga harga telur ayam kampung.

Teringat pula aku suasana di kampung aku dalam tahun-tahun 1950an dahulu. Tidak ada sebuah rumah pun di kampung aku yang tidak membela ayam. Mesti bela ayam. Sekurang-kurangnya lima ekor.Ayam kampung pastinya. ‘Untuk memakan nasi sejuk’, kata Opah aku. Maknanya dengan adanya ayam yang dibela oleh mereka itu dapatlah ayam-ayam berkenaan memakan lebihan nasi ataupun makanan yang sesuai untuk dimakan oleh ayam. Tidaklah membazir.

Jadi apabila aku renungkan semula kenyataan Opah aku itu dan juga ‘pandangan’ orang lain di kampung aku nampak jelas bahawa tujuan mereka membela ayam hanyalah untuk ‘menghabiskan nasi sejuk’ dan seolah-olah tidak terlintas di kepala mereka untuk membela ayam secara besar-besaran yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Dengan sebab itulah tidak ada seorang pun yang menjadikan menternak ayam sebagai salah satu pekerjaan yang boleh meningkatkan kehidupan mereka.

Bagi orang kampung aku pada ketika itu seolah-olah tidak ada seorang pun yang mahu berusaha untuk menjadi kaya. Masing-masing berpuas hati sekiranya dapat hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Apa tidaknya. Jikalau mereka menternak kerbau misalnya, paling banyak yang dipelihara mereka adalah sebanyak empat ekor. Itu sudah dikira banyak. Paling banyak kambing yang dipelihara oleh mereka adalah sebanyak lima ekor. Begitu jugalah dengan peliharaan ayam atau itik sedangkan kawasan untuk menternak binatang-binatang berkenaan terlalu luas dan amat sesuai untuk menternak secara besar-besaran.

Orang Melayu pada ketika itu ‘tidak nampak’ peluang-peluang yang sedemikian. Dan ‘peluang’ sedemikian digunakan sepenuhnya oleh orang Cina yang ‘menumpang’ tanah orang Melayu pada ketika itu untuk bertanam sayur-sayuran. Dan yang anihnya ramai pula orang Melayu yang bekerja sebagai buruh upahan di kebun sayuran kepunyaan kaum Cina berkenaan. Tentulah agak pelik apabila mengenangkan keadaan sedemikian.

Hanya pada awal tahun 1980an barulah muncul seorang anak muda ‘usahawan’ yang menjalankan penternakan ayam secara ‘besar-besaran’ di kampung aku. Lebih kurang seratus ekor. Ayam telur. Tidak lama ‘umur’ perusahaan yang dilakukan oleh anak muda itu. Tutup. Mengikut katanya ialah tentang pemasaran telur-telur ayamnya. Maksudnya bukan tidak ada yang mahu membeli tetapi dengan harga murah sehinggakan tidak dapat menampung perbelanjaannya untuk membeli makanan ayamnya. Kononnya beliau ada mengadu masalahnya kepada jabatan pertanian tetapi tidak begitu diambil perhatian oleh pihak berwajib. Akhirnya pengusaha muda itu ‘kembali’ semula kepada pekerjaan lamanya. Menoreh getah….

Seingat aku, ketika aku masih kanak-kana, jarang sekali aku menikmati lauk ayam, samada gulai ayam atau goreng ayam atau apa saja yang berkaitan dengan daging ayam. Bukan lah aku seorang yang mengalami keadaan begitu. Aku merasakan semua orang kampung begitu. Menikmati lauk ayam hanya apabila ada tetamu (sanak saudara) dari Kuala Lumpur datang ke rumah ataupun apabila ada majlis khenduri kahwin di kampung ataupun ketika menyambut Hari Raya. Itulah keadaan dan masa yang ‘bertuah’ bagi kami untuk menikmati makanan yang berlaukkan daging ayam.

Orang kampung aku membela ayam bukan untuk dimakan dagingnya ataupun telurnya untuk dimakan. Mereka membela ayam untuk dijual untuk menampung perbelanjaan harian ataupun untuk membeli pakaian baru menjelang Hari Raya. Telur ayam juga untuk dijual sebagai pendapatan tambahan untuk membeli ikan kering sebagai lauk waktu makan malam. Hampir tidak pernah kedengaran pada waktu itu, orang kampung aku makan telur separuh masak ketika menikmati sarapan pagi.

Apabila aku mula belajar di sekolah orang putih, dan kawan-kawan sentiasa memperkatakan tentang ‘morning breakfast’. Kadang-kadang aku bernasib baik juga kerana Cikgu tidak menyoal aku tentang makanan yang aku makan waktu ‘morning breakfst’. Nasib aku agak baik kerana cikgu tidak menyoal aku. Rakan sedarjah aku yang berketurunan Cina dan India masing-masing menceritakan ‘breakfast’ mereka yang terdiri dari telur separuh masak, roti dengan jam dan lain-lain.

Sekiranya aku ditanya, maka tentulah teragak-agak bagi aku untuk menyatakan ‘breakfast’ yang aku makan. Mungkin ramai rakan-rakan aku yang agak terpinga-pinga kalau aku katakan breakfast aku terdiri dari pisang rebus atau ubi rebus atau nasi sejuk berlaukkan ikan Belanak bakar…….

abuhassanadam

13 Mac 2015

No comments:

Post a Comment