APABILA ANWAR IBRAHIM DILUCUTKAN KEAHLIAN PARLIMEN
Bagi mereka yang sentiasa ‘sakit hati’ terhdap
apa saja tindakan yang dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim akan merasa begitu
‘lega’ apabila mendapat khabar yang Saudara Anwar tidak lagi menjadi ahli
parlimen. Dilucutkan keahlian parlimennya. Tidak ada lagi Ketua Pembangkang
yang akan mempersoalkan isu-isu yang boleh menyebabkan ‘sesak nafas’ pihak-pihak
tertentu untuk menjawabnya. Bermakna akan ada pilihan raya kecil kawasan
Permatang Pauh tidak lama lagi untuk memilih wakil parlimen yang baru.
Dengan pengumuman yang dibuat oleh Speaker Dewan
Rakyat tentang Saudara Anwar itu bermakna akan ‘nyenyak’lah tidur golongan yang
sentiasa ‘takut dan bimbang’ terhadap beliau. Akan ‘berselera’lah golongan ini
apabila menikmati apa juga ‘hidangan’ dan tentunya akan ‘berselera’ jugalah
agaknya apabila berhadapan dengan sogokan dan wang rasuah yang dihulurkan.
Sebenarnya hanya segelintir sahaja rakyat Malaysia
yang begitu gembira dengan ketiadaan Anwar di parlimen berbanding dengan peratusan
rakyat Malaysia yang jauh lebih ramai
menangisi nasib malang yang menimpa beliau. Bagi golongan majoriti ini, mereka
tetap mengatakan Anwar tidak bersalah. Walaupun seribu tuduhan dilemparkan
terhadap Anwar mereka tetap mengatakan Anwar tidak bersalah walaupun keputusan
hakim mengatakan yang Anwar bersalah. Mereka menaruh harapan yang pada suatu
ketika nanti Anwar akan keluar dari penjara dan akan menjadi pemimpin mereka
juga pada suatu hari nanti sepertimana yang berlaku kepada Nelson Mandela,
pemimpin Afrika Selatan itu. Hanya masa dan takdir yang menentukan.
Sememangnya begitu agaknya nasib seseorang
pemimpin tulin yang betul-betul mahu mengabdikan dirinya kepada masyarakat yang
dipimpinnya. Terlalu banyak menempuh ujian dan halangan. Ini dapat dilihat dan
terbukti apabila dikaji sejarah perjuangan pemimpin besar dunia yang jatuh dan
bangun demi untuk kepentingan rakyat dan negara.
Mungkin ada yang merasakan bahawa dengan
ketiadaan Anwar parlimen akan menjadi ‘sepi’ berbanding dengan keadaan apabila
beliau ‘wujud’. Tetapi yakinilah bahawa keadaan di parlimen tidak akan banyak
berubah dengan kehadiran tokoh-tokoh muda yang baru muncul seperti Rafizi,
Nurul Izzah, Tony Pua, Khalid Samad dii.
Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa apakah ketiadaan
Saudara Anwar ini merupakan satu hikmah yang terselindung. Apakah mungkin
ketiadaan Saudara Anwar ini untuk memberi peluang kepada tokoh-tokoh muda untuk
muncul di arena kepimpinan negara yang bersesuaiann dengan Kurun ke 21, kurun
anak muda. Mungkin begitu kehendak yang maha kuasa. Kehadiran Anwar di arena
berkemungkinan sentiasa membayangi kemunculan tokoh-tokoh muda untuk
menyerlahkan bakat-bakat mereka sebagai pemimpin.
Sehubungan dengan situasai ini, apakah tidak
terfikir di kepala kepimpinan Pakatan Rakyat untuk melantik Rafizi atau Nurul
Izzah atau Tony Pua sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Saudara Anwar
Ibrahim. Memang tidak berapa lojik dan tidak wajar syor yang aku kemukakan itu.
Jikalau mengikut pertimbangan dan pemikiran golongan lama sememangnya cadangan
yang aku kemukakan itu tidak masuk akal disebabkan cara berfikir mereka masih
bergantung dan berpaut kepada berfikir cara lama, cara berfikir Kurun ke 20
sedangkan kita berada dalam Kurun ke 21.
Dan tentulah bersesuaian pula agaknya sekiranya
Saudara Khairy Jamaluddin diketengahkan sebagai pengganti DS Mohd Najib sebagai
Perdana Menteri Malaysia. Alangkah ‘seronok’ apabila melihat orang muda ‘bertempik
sorak’ dan ‘bersepak-terajang’ di gelanggang parlimen Malaysia, menggantikan
‘orang tua’ yang sudah letih dan tidak bermaya. Lagi pun sememangnya hasrat
yang pernah diucapkan dan diidamkan oleh Saudara Khairy Jamaluddin untuk
menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam usia yang masih muda.
Samada berjaya atau tidak beliau menjadi Perdana
Menteri tentulah keadaan yang menentukan. Berkemungkinan juga Saudara Rafizi Ramli
yang mendahuluinya melihatkan keadaan perkembangan cara berfikir masyarakat
kini, terutamanya cara berfikir masyarakat Melaysia yang terlalu inginkan
perubahan daripada yang lama kepada yang baru dan progresif.
Walau macam mana pun senario yang akan ditempuhi
semasa ketiadaan Anwar, nama Anwar Ibrahim tidak akan luput dari ingatan bangsa
Malaysia. Saudara Anwar Ibrahim telah menjadikan dirinya idola dan icon bagi
bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan sahaja ‘dimiliki’ oleh
orang Melayu tetapi disayangi dan dipuja-puji oleh orang Cina, India, Iban,
Kedazan dan seluruh rakyat Malaysia.
Ketiadaannya mungkin mengembirakan segelintir
manusia di Malaysia tetapi masih ramai (dan terlalu ramai) yang akan menunggu
(dan tetap menunggu) ‘kemunculannya’.
Kuasa Tuhan menentukan segala-galanya.
abuhassanadam
2 April 2015
No comments:
Post a Comment