Monday, April 13, 2015

MENEBUS MARUAH DAN WAWASAN 2020

Aku masih merasakan ‘suasana’ di Malaysia kini agak ‘sepi’ dan kehilangan sesuatu berbanding dengan suasana yang aku dapat rasakan pada tahun-tahun 198an dan 1990an. Mungkin itu hanya merupakan persepsi aku seorang. Mungkin orang lain tidak berpandangan sedemikian. Aku berkata demikian kerana aku merasakan suasana kini agak berbeza dengan suasana sebagaimana yang aku alami pada tahun-tahun yang aku katakan tadi.

Walaupun rakyat Malaysia sedar bahawa kita adalah sebuah negara yang sedang membangun namun bangsa Malaysia pada ketika itu tidak mahu ketinggalan dalam mengejar arus pembangunan pada ketika itu. Cerita tentang kejayaan Jepun dan Korea Selatan selalu didendangkan dan dibisikkkan ke telinga rakyat Malaysia sehinggakan rakyat begitu terpengaruh dengan hasrat untuk memajukan bangsa. Rakyat ‘mengigau’ dan ‘bermimpi’ untuk menjadi sebuah bangsa yang bermauah.

Segenap lapisan masyarakat Malaysia pada ketika itu merasakan bahawa merupakan tugas mereka untuk menebus maruah bangsa.’Spearheading’ ke arah perjuangan untuk menebus maruah bangsa ini tentulah tidak lain dari Tun Mahathir sendiri yang dibantu dari belakang oleh timbalannya Tun Musa Hitam dan kemudiannya saudara Anwar Ibrahim. Dan seolah-olah pada ketika itu rakyat Malaysia dari semua lapisan tidak lagi menoleh ke belakang dalam usaha yang murni itu.

Yang aku masih ingat dan dapat aku rasakan bahawa negara Malaysia agak dihormati dan ada ketikanya ‘ditakuti’ oleh pemimpin-pemimpin negara lain. Tindakan Dr. Mahathir yang tidak mahu menyertai Persidangan Komanwel di Cancun pada awal tahun 1980an mungkin ada yang menganggap satu tindakan yang luar biasa yang pernah dilakukan oleh seorang pemimpin negara Komanwel. Dan tambahan pula belum ada lagi pemimpin dari negara Malaysia yang agak ‘berani’ untuk tidak hadir di persidangan berkenaan. Kesan yang ditimbulkan oleh keengganan beliau untuk tidak hadir itu amat besar sekali kepada hati dan perasaan rakyat Malaysia pada ketika itu. Pastinya tindakannya itu ‘membuka mata’ rakyat di negara ini supaya berfikiran rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Keberanian yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir telah memberikan inspirasi kepada rakyat supaya bertindak bijak dan rasional dalam menangani sesuatu isu.

Dengan beberapa dasar yang ‘luar biasa’ yang diperkenalkan oleh Dr.Mahathir seperti ‘Memandang ke Timur’, ‘Buy British Last’  betul-betul menyedarkan setengah rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya rakyat berfikiran secara rasional dan tidak harus membuta tuli mematuhi apa juga perintah yang boleh dianggap oleh bangsa lain bahawasanya bangsa kita ‘boleh dicucuk hidung’.

Pendek kata pada ketika itu Dr. Mahathir sedang berusaha untuk menebus maruah bangsa Malaysia. Dan usaha Dr. Mahathir itu tidak dilakukan keseorangan, malah telah dibantu oleh barisan menteri kabinetnya yang berwibawa seperti Tun Musa Hitam, Saudara Anwar Ibrahim, TS Rafidah Aziz dan lain-lain. Kehadiran mereka di persidangan antara bangsa bukan sahaja sebagai ‘memanas kerusi’ tetapi betul-betul memberi sumbangan fikiran ke arah memajukan sesuatu organisasi.

Nama Malaysia begitu harum di persada dunia. Nama Dr. Mahathir Mohammed sentiasa mendapat sanjungan di merata-rata persidangan yang dihadirinya. Malah ke mana sahaja  pergi beliau telah ‘mencuri’  perhatian peserta persidangan. Malaysia sentiasa ‘walking tall’ ketika menghadiri persidangan di Majlis Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dan ditambah pula dengan isu yang diperjuangan adalah merupakan isu isu lapuk yang saban tahun diperbincangkan tanpa penyelesaian.

Peranan Malaysia dalam mendesak pembebasan Nelson Mandela tetap dihargai oleh masyarakat Afrika Selatan. Peranan Dr. Mahathir dalam menyuarakan kebimbangan tentang Antartika diterokai dan dibahagi-bahagikan oleh negara maju dunia mendapat perhatian seluruh dunia. Boleh dikatakan bahawa ‘suara’ Malaysia didengari oleh masyarakat dunia ketika itu. Dan pada ketika itu jugalah masyarakat Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

Kejayaan Saudara Anwar Ibrahim menjadi Presiden Pertubuhan UNESCO menewaskan calon Australia ( bekas Timbalan Perdana Menteri Australia) merupakan kejayaan yang juga meningkatkan maruah bangsa Malaysia. Para guru di Malaysia terutamanya merasakan begitu bangga mendengarkan berita tentang kehebatan Menteri Pendidikan (Anwar Ibrahim) menerajui pertubuhan dunia itu. Berita berkenaan juga menaikkan semangat para guru dan anak-anak untuk belajar dan bergerak sama dengan Menteri Pendidikan mereka.

Seolah-olah dua dekad berkenaan ( 1980an dan 1990an) merupakan dekad paling sibuk bagi bangsa Malaysia yang berusaha menebus maruah bangsa yang tertinggal. Malah telah ada pihak tertentu yang mengatakan bahawa Malaysia telah tergolong dalam kumpulan harimau ekonomi Asia seganding dengan Jepun dan Korea Selatan. Ada yang merasakan begitu.

Pada awal tahun 1990an Dr. Mahahthir telah melancarkan ‘The Way Forward’nya yang kemudiannya diberikan nama jolokan Wawasan 2020 yang merupakan ‘blueprint’ untuk diikuti oleh bangsa Malaysia menuju sebuah negara maju pada tahun 2020.
Tahun keramat yang dijanjikan itu amat hampir dan dengan ‘kesepian’ dan ‘kesunyian’ yang dialami kini, bangsa Malaysia meragui tentang kejayaan kita untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang diharapkan.

Maknanya maruah bangsa Malaysia semacam tidak tertebus…

abuhassanadam

13 April 2015

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Bentuk barisan anda untuk menebus maruah bangsa. Mulakan.

    Pak Abu

    ReplyDelete