Tuesday, August 27, 2013

APABILA KEPUTUSAN HAKIM DIPERSOALKAN

APABILA KEPUTUSAN HAKIM DIPERSOALKAN
KE MANA AKHIRNYA ARAH TUJU NEGARA

Isu ‘Altantuya’ hangat dibincangkan, terutamanya dikalangan media sosial. Rata-rata mempersoalkan bagaimana Ketua Inspektor Azial Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar boleh ‘terlepas’. Bagi mereka kes-kes yang sebegini jarang berlaku. Berbagai tuduhan dan persepsi dilemparkan dan diutarakan dalam blog-blog, tweeter, facebook dan sebagainya. Pada umumnya merasakan bahawa mereka merasa ‘hairan’ dan tidak puas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh hakim.

Aku tak mahu mempersoalkan keputusan hakim. Aku sedar bahawa diriku ‘siapa’ untuk mempersoalkan keputusan hakim. Namun begitu banyak sangat komen-komen yang negatif berkaitan dengan isu berkenaan. ‘Hakim-hakim’ diluar memang mempersoalkan keputusan hakim sebenar. Ini bukan soal betul salah tetapi soal persepsi masyarakat. Rakyat merasakan ada perkara-perkara yang tidak kena berkaitan dengan penghakiman dalam isu Altantuya itu.

Melalui media sosial ramai yang mempersoalkan. Misalnya.

·      Mengapa muka Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar  Umar sentiasa tertutup. Sehingga kini tidak pernah lagi kita melihat wajah-wajah mereka. Rakyat tentu musykil. Mengapa ditutup, sedangkan pesalah-pesalah lain tidak pernah pun berkelakuan sedemikian. Jadi rakyat tentu hairan. Dan rakyat juga bertanya mengapa Hakim membenarkan keadaan sedemikian. Apakah ada peruntukan undang-undang yang memboleh pesalah berkelakuan beguitu? Mungkin ada peruntukan undang-undang yang membenarkan. Bagaimana pula sekiranya ada pula pesalah-pesalah yang mahu mengikut jejak langkah kedua-dua pesalah ini pada perbicaraan akan datang….

·      Dengan keputusan hakikm-hakim ini telah menunjukkan bahawa tidak ada siapa yang membunuh Altantuya. Jadi bagaimana pula Altantuya boleh mati dan dihancurkan mayatnya. Andaiannya ialah bahawa Altantuya telah pergi bersendirian ke tengah-tengah hutan di Puncak Alam. Dan di suatu tempat yang sesuai telah menembak dirinya sendiri dan masih sedar untuk meletupkan dirinya dengan C4…… Kebanyakan blog memberikan komen sedemikian. Itu ‘perli’ namanya.


·      Rakyat membuatkan andaian dan ‘kesimpulan’ demikian berasaskan peristiwa malang yang menimpa DS Anwar Ibrahim beberapa tahun lampau. Ada yang mengatakan DS Anwar Ibrahim telah menumbuk dirinya sendiri ataupun menghantuk-hantukkan kepalanya pada dinding…….Dan yang mengemukakan ‘teori’ demikian bukan calang-calang…..pemimpin tinggi negara. Sekiranya begitu tafsiran mereka mengenai kes DS Anwar Ibrahim, maka tidak salahlah rakyat akan berfikrian sedemikian, mengkut jejak langkah pemimpin yang begitu.
·      Rakyat juga mempersoalkan tentang motif pembunuhan Altantuya. Orang kampung mempersoalkan tentang motif pembunuhan Altantuya oleh Azilah Hadri dan Sirul Azhar. Kedua-dua anggota polis ini tentulah masih siuman dan tentunya mereka tidak akan membunuh sesuka hati. Jadi orang kampung membuat andaian,’ …mesti ada orang lain yang suruh bunuh Altantuya…..mungkin mereka mendapat upah yang lumayan…Tapi soalnya siapakah orang berkenaan…” Persoalan ini tentu sekali tidak dapat dijawab dan akan terus menghantui pemikiran seluruh rakyat Malaysia dalam tahun-tahun yang akan datang sehinggalah kes ini ‘terjawab’.

·      Yang hairannya ialah tidak ada pihak samada pihak pendakwa atau pun pembela yang mahu mencari penyelesaian tentang ‘motif’ pembunuhan Altantuya. Masing-masing ‘ buat dak ‘ saja apabila berhadapan dengan isu ‘motif’ pembunuhan. Orang kampung bertanya juga. “Mengapa begitu?......macam ada sesuatu yang hendak disembunyikan…..’ Namun begitu, percayalah orang tua-tua pernah berkata,’ Bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru’. Orang tua juga ada berkata,’ sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’. Masa saja yang akan menentukan.

Mengenai kes Altantuya ini, biarlah para bijak pandai dan pengamal undang-undang untuk menentukan kesudahannya. Tetapi yang merunsingkan ramai orang ialah tentang persepsi rakyat terhadap sistem kehakiman di negara kita. Semacam rakyat merasa ragu-ragu tentang sistem kehakiman di negara kita. Kasdang-kadang ada dikalangan rakyat yang sudah berani memomokkan sistem kehakiman di negara ini. Maknanya sudah hilang hormat mereka pada hakim-hakim. Kita sedang ‘bergelumang’ dengan persoalan persepsi.

Negara kita adalah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Maknanya kuasa pemerintahan dibahagikan kepada  tiga cabang ia itu badan perundangan, badan pelaksana dan badan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini wujud berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa. Dengan jelas menunjukkan bahawa setiap badan mempunyai identiti tersendiri dan tidak boleh diganggu gugat oleh badan-badan lain. Maknanya Badan Perundangan (Parliemen) hanya bertanggungjawab menggubal undang-undang, sedangkan Badan Pelaksana melaksanakan apa saja yang diputuskan oleh Parlimen. Badan Kehakiman pula hanya bertugas untuk mentafsir dan mengadilkan sebarang kes yang berkaitan dengan undang-undang.

Lebih kurang begitulah. Aku menggunakan bahasa ‘orang kampung’ yang tidak pernah terlibat dalam pengajian undang-undang. Mengikut fahaman aku, Badan Pelaksana ( Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Pegawai kerajaan lain ) tidak boleh campur tangan dalam urusan  Badan Perundangan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Mereka bebas dari campurtangan mana-mana pihak. Dengan demikian barulah rakyat akan mempunyai keyakinan yang begitu tinggi terhadap pemerintahan dan pentadbiran negara.

Tun Sufian Hashim, Tun Salleh Abbas, DYMM Sultan Azlan Shah adalah antara Ketua Hakim Negara yang amat disegani dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia, disebabkan mereka menjalankan tugas menepati erti kata yang sebenarnya. Itu persepsi rakyat. Tan Sri Harun Hashim pasti juga diingati oleh rakyat Malaysia disebabkan ketegasan dan keberaniannya mengharamkan pertubuhan UMNO yang menyebabkan UMNO Baru ditubuhkan menggantikan UMNO asal.

Begitulah hebatnya hakim-hakim terdahulu……

abuhassanadam
27 Ogos 2013


No comments:

Post a Comment