TERAWIKH dan MOREH DI BRYANSTON SQUARE LONDON
Aku
tak pernah terfikir bahawa suasana hening malam di Bryanston Square bertukar
menjadi malam yang dipenuhi dengan gema suara shalawat Terawih pada setiap
malam dalam bulan Ramdhan pada tahun-tahun 1995 hingga 1998. Aku tak lupa
peristiwa itu. Seolah-olah ia berlaku hanya semalam. Apatah lagi pada bulan
Ramdhan yang sebegini, ingatan akan kembali menerpa pada zaman itu.
Pada
ketika itu, Pejabat Penuntut Malaysia di London terletak di 44 dan 45 Bryanston
Square London. Lebih dikenali dengan MSD ( Malaysian Students Department). Dan
disitulah terletaknya Dewan Malaysia ataupun yang lebih dikenali dengan
Malaysia Hall. Tempat pelajar-pelajar Malaysia dari semua keturunan ‘melepak’
sambil menonton filem P.Ramlee ( pada hari Sabtu malam Ahad akan
ditayangkan filem P.Ramlee). Di Malaysia
Hall jugalah tempat pelajar-pelajar dapat menikmati nasi lemak abang ‘ad (
Saad) yang dijual dari kantin Malaysia Hall.
Aku
mula ditugaskan di situ sebagai ‘penjaga’ pelajar-pelajar Malaysia yang
menuntut di United Kingdom & Eire. Begitu luas kawasan yang
dipertanggungjawabkan kepada aku. Ada lebih kurang 35,000 pelajar Malaysia
ketika itu yang terpaksa ‘dijaga’. Ramai. Tetapi tentulah tidak semua dapat
‘dimanjakan’ kecualilah yang berada di London atau pun di kawasan berdekatan.
Namun sekiranya timbul masalah yang memerlukan perhatian, maka dengan sedaya
upaya akan diberikan pertolongan. Terutama mengenai biasiswa dan bantuan
kewangan.
Secara
kebetulan pada tahun berkenaan ( 1995), bulan Ramadhan jatuh pada musim sejuk.
Winter, kata orang Putih. Amat beruntung
dari segi menjalankan ibadat puasa. Imsak pada pukul 6.00 pagi dan berbuka puasa
pukul 3.45 petang. Sekiranya ada yang tidak dapat melakukan ibadat puasa
sememangnya betul-betul tidak beriman ( sebagaimana yang selalu disebut oleh Pak
Haji Sulaiman ketika aku belajar mengaji padanya ketika kecil-kecil dulu). Apa
tidaknya. Bersahur adalah seperti ‘breakfast’ dan berbuka puasa seprti ‘late
lunch’. Waktu Isyak dan terawih pula ialah pada pukul 5.00 petang.
Malam
pertama Ramadhan aku sembahayang terawih di Malaysia Hall. Lebih kurang 30
orang jemaah hadir. Petugas MSD dan juga beberapa orang Arab dan Pakistan. Pada
keesokan malamnya masih sama. 30 orang. Aku tak nampak walau seorang pun
pelajar Malaysia sembahayang di situ. Mungkin mereka sembahayang terawih di
rumah masing-masing. Mungkin.
Mulalah
aku terfikir. Surau yang terletak di tingkat pertama Malaysia Hall itu
sebenarnya untuk kemudahan pelajar Malaysia. Dan apa yang dapat aku lihat pada
waktu itu, tidak kelihatan pun seorang pelajar yang hadir untuk sembahayang terawih.
Lantas aku mula memikirkan tentang cara bagaimana untuk ‘menarik’
pelajar-pelajar yang tinggal berdekatan untuk datang ke Malaysia Hall,
menunaikan solat terawih.
Jawabnya
ialah mengadakan MOREH. Dan bermulalah aktiviti mengadakan Moreh pada Ramdhan
berkenaan walaupun sudah masuk ke malam keenam atau ketujuh. Walaupun tidak
terancang, namun Moreh dapat juga diteruskan sehingga malam yang ke 29
Ramadhan. Masalah pembiayaan mengadakan Moreh tidak langsung menimbulkan
masalah walaupun pada mulanya aku agak bimbang tentang punca kewangan.
Peruntukan pengurusan MSD tentu sekali tidak boleh digunakan. Namun berkat
bulan Ramdhan yang mulia itu, sumbangan kewangan datang ‘mencurah-curah’
sehinggakan hasil kutipan sudah berlebihan dan terpaksa dibawa untuk ke bulan
Ramdhan tahun seterusnya ( 1996).
Memang
seronok mengenangkan peristiwa ‘Terawih dan Moreh’ di bulan Ramadhan di MSD
London. Memang seronok betul. Itulah yang merupakan ‘bekalan’ ingatan yang
paling menyeronokan untuk aku dan yang akan aku bawa sehinggalah aku
menghembuskan nafasku terakhir. Apa tidaknya.
Jemaah
yang hanya berjumlah 30 orang itu telah berkembang menjadi 200 orang lebih
kurang. Ruang surau yang ada di Malaysia Hall hanya boleh menampung seramai
lebih kurang 80 orang. Paling ramai 100 orang. Aku terpaksa membuka ruang-ruang
yang boleh menampung jemaah yang mencecah 200 orang. Setiap malam adalah
merupakan pesta Ramadhan. Dihadiri oleh sebahagian besar oleh pelajar Malaysia
dan petugas-petugas dari Suruhanya Tinggi Malaysia di London. Jumlah orang luar
sudah amat berkurangan, ‘ditenggelami’ oleh pelajar-pelajar Malaysia.
Juadah
Moreh selepas sembahayang terawih sangat mewah. Hampir setiap malam disediakan
nasi Beriani. Aku menggalakkan para pelajar datang supaya mereka dapat
menikmati makanan yang disediakan dan dengan demikian dapat memnjimatkan
perbelanjaan mereka pada bulan Ramadhan itu. Aku tahu memang ‘sempit’ kehidupan
mereka di London. Biasiswa/ pinjaman yang diberika oleh kerajaan sememangnya
tidak mencukupi. Untuk mengharapkan bantuan ibu bapa di kampung maklum saja lah. Oleh itu sememangnya hasrat
aku mengadakan jamuan Moreh yang agak ‘terada’ adalah semata-mata untuk
membantu anak-anak pelajar berjimat supaya dapat mereka berbelanja lebih
sedikit pada hari raya nanti.
Peruntukan
mengadakan Moreh aku perolehi dari para dermawan yang berada di London dan juga
dari para dermawan yang berada di Malaysia. Seingat aku, tidak langsung
membebankan untuk mencari ‘sponsor Moreh’. Berlebihan. Ramai para Menteri dan
Menteri Besar dari Malaysia yang menghantarkan sumbangan. Tidak dapatlah nak dituliskan nama-nama
mereka itu. Dan hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Dan tidak ketinggalan
juga para dermawan Malaysia yang tinggal di London yang turut memberikan
sumbangan.
Aku
tidak tahu samada kegiatan terawih dan moreh sebegini masih dijalankan di MSD
London lagi. Yang aku pastinya pejabat MSD itu sudah tidak berada di Bryanston
Square lagi. Sudah berpindah ke tempat lain walaupun masih berada di kota
London. Aku hanya berharap agar tradisi terawih dan moreh itu berterusan,
kerana kesan yang ditinggalkannya amat berkesan di hati para pelajar sekalian.
Aku
mengambil kesempatan melalui ruangan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA
kepada anak-anak pelajar yang pernah bersama-sama menunaikan solat sunat
Terawih dan Moreh di Malaysia Hall pada tahun-tahun
1995 sehingga 1998 dan juga kepada ‘anak-anak’ yang pernah belajar di UK
&Eire sekitar tahun-tahun 1995 sehingga 1998. Dan yang pastinya mengenali
diri aku. PAK ABU.
Sekiranya
tiada halangan, teringin benar rasanya aku untuk mengadakan perjumpaan dengan ‘anak-anak’
( kini sudah pun menjadi ‘bapak-bapak’ dan ‘emak-emak’) yang pernah bersama-sama ‘bergelumang’ ketika di
perantauan. Email Pak Abu: abuhasanadam@gmail.com.
Abuhassanadam
1Ogos
2013
No comments:
Post a Comment