Tuesday, August 20, 2013

KAPAL TERBANG PENUH TAPI MAS RUGI

KAPAL TERBANG PENUH TAPI MAS RUGI

Aku terpaksa ‘tumpang sekaki’ menulis mengenai kisah syarikat penerbangan MAS. Kini sudah timbul  semacam ‘perbalahan’ antara Tun Mahathir dengan DS Najib. Tun Mahahir cadang agar MAS diswastakan. Dato’ Najib kata ‘ tak payah’. Ini perbalahan ‘orang besar-besar’. Janganlah ‘pandai-pandai’ nak ‘kacau daun’ nanti ‘orang kecil’ akan tersepit ditengah-tengah. Apabila gajah sama gajah bertempur, takut pelanduk mati tersepit di tengah-tengah.

Walau bagaimanapun aku nak ‘kacau daun’ juga. Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tun Mahathir pun tidak…DS Najib pun tidak. Aku tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak disebabkan aku tak tau ‘biji buah’ yang diperkatakan. Aku tidak ada alasan yang konkrit untuk menyokong atau pun menentang. Sekiranya aku kata MAS patut diswastakan, aku tak dapat nak mengemukakan hujjah mengapa aku kata demikian. Begitu jugalah sebaliknya.

Cuma yang aku dapat tuliskan di sini, ialah pemerhatian aku sebagai penumpang dan juga cerita-cerita yang aku dengar mengenai syarikat MAS. Nak kata aku selalu menaiki kapalterbang MAS, tidak juga. Dan sememangnya aku suka menaiki MAS kerana layanan yang cukup baik dan mesra. Payah syarikat lain di dunia menandingi ‘sopan-santun’ pekerja MAS. Tanyalah siapa pun. Ketika aku berada di negara yang tidak terdapat pesawat MAS, aku terpaksa menaiki pesawat syraikat yang bukan MAS. Memang tidak dapat menandingi MAS.

Yang aku nak jelaskan di sini ialah jarang sangat aku menaiki pesawat MAS yang ‘kosong’. Maknanya yang tidak ramai penumpang. Kebiasaannya akan penuh sarat dengan penumpang, terutamanya penerbangan ke London. Sentiasa penuh. Penerbangan domestik pula begitu juga keadaannya. Ke Penang misalnya. Jarang sangat yang tak penuh. Jadi tentulah boleh menyebabkan aku terfikir. Jikalau sentiasa penuh, mestilah untung. Jikalau sudah untung mengapa sentiasa dikatakan rugi?

Ini yang aku tak faham. Ramai yang tak faham. Dan dulu ketika dibawah pentadbiran Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, syarikat penerbangan ini sentiasa untung. Pekerja-pekerjanya pernah dapat bonus ‘berbulan-bulan’. Malangnya selepas Tan Sri Aziz digantikan dengan Tajuddin Ramli, syarikat ini terus rugi. Mengapa? Orang kampung seperti aku pasti bertanya dan terus bertanya sampai kini ia itu mengapa ‘orang baik’ seperti Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang sentiasa membawa keuntungan kepada MAS digantikan dengan orang lain yang terus menerus membawa kerugian pada MAS. Mungkinlah kegagalan MAS bukan disebabkan secara langsung oleh Pengerusi barunya. Namun dalam masa pentadbiran beliaulah MAS mengalami kerugian.

Kadang-kadang aku terfikir bahawa pengurusan sesebuah syarikat GLC tidaklah memerlukan sangat tokoh-tokoh yang cerdik dan pintar dalam ilmu perniagaan. Tak payah. Yang pentingnya bagi aku ialah ‘manusia’ yang jujur, ikhlas, bertimbang rasa akan kesusahan manusia lain, sentiasa memikirkan kemajuan dan kesejahteraan negara. Maknanya tak perlulah orang yang pandai-pandai.

Aku teringat pula kata-kata Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran. Beliau pernah mengatakan bahawa ‘pelajar-pelajar yang akan dilahirkan dalam sistem pendidikan kita adalah pelajar yang cerdik dan pintar, tetapi bukan pelajar yang ‘pandai dan pintar’ memecah bank, menipu akaun, memutar-belitkan undang-undang negara dll.

Untuk menguatkan hujah aku yang mengatakan bahawa kepimpinan MAS memerlukan manusia yang ikhlas dan jujur, elok kita tinjau pandangan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU), Encik Abdul Malek Arif pernah menjelaskan kepada Malaysia Chronicle bertarikh 29 September 2011 berkaitan dengan penggabungan MAS dengan Air Asia. Katanya

            “MASEU memang tidak setuju dengan penggabungan tersebut kenapa MAS yang mempunyai banyak aset perlu bergabung, ini menjadi satu kemusykilan dan persoalan…..Secara jelas saya katakan dalam penggabungan ini, kita hanya nampak Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia, Tan Sri Tony Fernandes hanya di hadapan sedangkan yang memainkan peranan di belakang masih ada lagi tangan-tangah ghaib……Kita tahu Tony tidak akan dapat berbuat apa-apa jika tiada mereka yang mempunyai pengaruh di belakang. Tony datang di bawah arahan pihak tertentu dan ini diketahui oleh kakitangan MAS” Malaysia Chronicle bertarikh 29 September 2011

Sudah agak lama kita berhadapan dengan keadaan yang sebegini. Sudah berbilion ringgit wang negara ‘hangus’ dan ‘lesap’ disebabkan ‘jatuh’ ke tangan golongan ‘bijak pandai’ yang hanya pandai dan bijak untuk menjahanamkan negara seperti mana yang eprnah diucapkan oleh Pak Lah. Dan kini keadaan sedemikian masih terus berlaku agaknya. Rakyat tahu keadaan itu terus berlaku tetapi untuk membuktikannya tentulah amat sukar sekali kerana pihak yang melakukannya adalah orang pintar dan cerdik ( dalam melakukan penyelewengan dan penipuan)

Kini isu MAS sudah panas semula. Walau apa pun terjadi aku ingin merujuk kata-kata Setiausaha Agung MASEU  lagi. Katanya,

“MAS adalah hak rakyat dan kerajaan adalah pemegang amanah, kalau ada mana-mana orang dalam kerajaan mahu memberi MAS kepada individu sepatutnya ia dibentang di Parlimen bukannya dibuat mengikut kuasa yang dimiliki oleh mereka,”

Maknanya apa-apa keputusan yang hendak dibuat mengenai MAS perlu dibincangkan di parlimen kerana MAS adalah milik rakyat dan bukan milik sesiapa. Bukan hak individu.

MAS adalah milik rakyat Malaysia…..

Abuhassanadam
20 Ogos 2013


No comments:

Post a Comment