MENGAPA RAKYAT TIDAK MENGIBARKAN ‘JALUR
GEMILANG’
Tahun 1990an ( sebelum 1998),
‘Jalur Gemilang’ sentiasa di bibir rakyat Malaysia. Seolah-olah rasa amat
bersalah bagi seseorang rakyat Malaysia sekiranya tidak mengibarkan ‘Jalur Gemilang.
Hampir setiap kereta yang meluncur di jalan Lebuhraya Persekutuan pasti
tercacak di keretanya ‘Jalur Gemilang’ yang berkibar dengan megah. Dan pemandu
kereta berkenaan memandu dengan megah ‘memikul’ ‘Jalur Gemilang’ di keretanya.
Rakyat Malaysia
berkejar-kejar untuk mendapatkan “Jalur Gemilang’ menjelangnya bulan Ogos
setiap tahun. ‘Jalur Gemilang’ terpaksa dibeli dengan harga RM 10.00. Rakyat
rela dengan penuh ikhlas mengeluarkan wang untuk membeli ‘Jalur Gemilang’. Dan
kebanyakan rakyat Malaysia pada ketika itu membeli bukan saja satu tetapi lebih
dari satu ‘Jalur Gemilang’ untuk di letakkan di kereta, di rumah dan di pintu
pagar.
Itu dulu. Tahun 1990an. Masih
segar dalam ingatan ku. Amat bahagia dan gembira melihatkan gelagat rakyat
Malaysia yang betul-betul cintakan Malaysia. Bukan buat-buat. Bukan lakunan.
Bukan disuruh. Bukan dipaksa melalui undang-undang dan peraturan yang
dikenakan. Bukan untuk mendapatkan sesuatu imbuhan dari kerajaan sekiranya
memacakkan bendera ‘Jalur Gemilang’.
Awal Kurun ke 21, keadaan
sedemikian sudah tiada lagi di Malaysia. Seolah-olah sudah hilang dan lenyap.
Masih ada yang memacakkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta mereka. Tidak ramai yang
berbuat demikian. Satu trend yang aku perhatikan ialah kebanyakan yang
mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di kenderaan mereka ialah pemandu-pemandu lori
yang telah uzur dan pemilik kereta sewa. Aku tidak tahu apa motif mereka
memacakkan ‘Jalur Gemilang’. Mungkin mereka begitu ‘bersemangat’ dan
‘patriotik’ sekali sebagai rakyat Malaysia ataupun ada sesuatu yang hendak
disorokkan oleh mereka dengan berselindung disebalik “Jalur Gemilang’.
Apakah rakyat Malaysia kini
sudah tidak patriotik dan sayangkan negara ini? Aku tak fikir begitu. Malah aku
amat yakin bahawa kecintaan rakyat kepada negara ini amat tinggi berbanding
dengan tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga dengan soal perpaduan kaum. Keadaan
sedemikian dapat diukur daripada beberapa
peristiwa perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih tidak berapa lama
dulu. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat sanggup berhimpun berama-ramai
menyatakan sesuatu yang tidak kena yang telah dilakukan oleh kerajaan. Maknanya
merka merasakan bahawa ada sesuatu yang perlu diperbetulkan berkenaan dengan
negara yang mereka cintai ini.
Ini menunjukkan bahawa rakyat
sangat peka dengan keadaan negara mereka – Malaysia. Mereka amat sayangkan
negara ini. Mereka tidak mahu negara ini jahanam dan musnah oleh
kumpulan-kumpulan pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Mereka mahu membetulkan
kepincangan sedemikian. Bagi aku kesanggupan rakyat untuk menunjuk perasaan
secara aman memberikan erti bahawa mereka adalah golongan rakyat yang patriotik
dan bertanggungjawab, sedar akan peranan mereka dalam negara yang tercinta. Dan
pastinya kesayangan kepada negara bukan diukur dari segi pengibaran bendera sahaja.
Kini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kementerian
Komunikasi dan Multimedia, telah amat sedar bahawa masih banyak premis dan bangunan terutama
milik swasta tidak mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di premis-premis mereka. Ini
membayangkan seolah mereka tidak peka akan kepentingannya sebagai melahirkan
rasa menghargai dan kecintaan kepada negara.
"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela…..Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian,"
"Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela…..Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respon yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian,"
Bagi aku tidak salah pihak kerajaan merangkakan
satu undang-undang dan peraturan untuk ‘memaksa’ rakyat mengibarkan ‘Jalur
Gemilang’. Cuma aku merasa ‘tidak berapa kena’ langkah sedemikian sekiranya
dilakukan. Pihak Kerajaan septutnya mengkaji apakah puncanya rakyat tidak
berminat mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Persoalan itu amat penting untuk dibuat
kajian mendalam kerana melibatkan soal kecintaan dan penghayatan rakyat kepada
pemerintahan kerajaan yang ada juga.
Menteri berkenaan seharusnya menggerakkan
Kementeriannya untuk mengkaji apakah punca yang menyebabkan keadaan sedemikian
dengan membandingkan keadaan-keadaan pada tahun 1990an dulu yang mana rakyat begitu
bahagia dan gembira sekali mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Tanpa paksaan. Tanpa
memperkenalkan undang-undang. Dan perlu juga ditinjau keadaan di negara jiran,
Indonesia misalnya yang telah begitu berjaya menanamkan semangat kecintaan
kepada negara oleh rakyatnya.
Aku tidak melakukan kajian mengenai hal ini.
Hanya pemerhatian. Dan dengan demikian kajian aku tidak ‘authentic’. Namun
begitu boleh juga dijadikan renungan akan kesahihannya. Aku perhatikan yang
mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta mereka adalah terdiri dari
pemandu-pemandu lori ( yang aku agak ‘berselindung’ disebalik ‘Jalur
Gemilang’), pemandu-pemandu teksi ( yang mungkin terpaksa memamacakkan ‘Jalur
Gemilang’), kereta-kereta milik kerajaan ataupun kereta-kereta yang mempunyai
sticker tertulis ‘ UMNO, Kini dan Selama-lamanya’ pada cermin belakang
keretanya.
Aku tidak menafikan tentang ada juga
kereta-kereta lain yang juga mengibarkan ‘Jalur Gemilang’, namun bilangannya
tidaklah ramai. Boleh dibilang dengan jari ketika berselisih di
lebuhraya-lebuhraya atau pun di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur.
Persoalannya mengapa terjadi keadaan yang amat
menyedihkan ini?
Aku merasakan ini merupakan cara rakyat Malaysia
ingin menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan. Tunjuk
perasaan secara halus dan terhormat. Kuputusan PRU 13 jelas menunjukkan bahawa
majority rakyat tidak menyokong Barisan Nasional. Ini bermakna bahawa rakyat
terbanyak tidak menyokong kerajaan yang ada berdasarkan keputusan PRU 13.
Tentulah banyak isu-isu yang menyebabkan mereka menentang dan tidak puas hati.
Mereka telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui berbagai-bagai cara.
Namun tidak mendapat jawapan positif dari kerajaan walaupun ada juga yang
‘dijawab’ oleh kerajaan.
Oleh itu bagi menunjukkan kekecewaan mereka terhadap
pihak-pihak tertentu, mereka menunjukkan dengan cara yang paling terhormat dan
tidak sebagaimana yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir dan Syria.
Lantas rakyat Malaysia yang berbudi bahasa hanya
tidak mahu mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Mungkin…..
Abuhassanadam
24 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment