KE MANA HILANGNYA TARING UMNO
Jauh
sangat bezanya UMNO dulu dan UMNO sekarang. Maksud aku antara UMNO tulin dengan
UMNO (Baru). Tidaklah aku mahu menyentuh berbagai aspek dalam UMNO itu yang
menyebabkan aku berkata demikian. Tinjauan aku tentunya sepintas lalu sahaja
berikutan dengan kenyataan DS Hishamuddin Tun Hussein Onn yang sudah sepakat,
bersatu hati bahawa tidak ada pemilihan dalam pucuk pimpinan tertinggi dalam
UMNO. Maknanya Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan.
Kekal. Maknanya mereka berdua sudah cukup serasi dan berkesan dalam menjalankan
pentadbiran parti dan kerajaan. Maknanya tidak ada calon lain yang lebih layak
dalam UMNO yang boleh menandingi DS Najib dan TS Muhyiddin Yassin.
Mungkin
betul anggapan sedemikian. Mungkin juga sudah tidak ada pemimpin lain yang
boleh menggantikan mereka berdua. Bukan sahaja tidak ada pemimpin lain yang
boleh bertanding, malah untuk menawarkan diri sebagai calon pun tidak muncul
tokoh-tokoh yang berani menawarkan diri. Dan anggapan masyarakat yang bukan ahli
UMNO pun begitu. Persepsi masyarakat terhadap UMNO ialah parti itu sudah hilang
taringnya. Sudah tidak ada pemimpin yang kredible, yang berwibawa sebagaimana
pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu. ‘Solid’.
Mungkin
persepsi aku yang salah apabila aku mengatakan bahawa UMNO zaman Tunku Abdul
Rahman/ Tun Abdul Razak dulu sememangnya ‘solid’. Kebal. Hebat…..Berbanding
dengan keadaan sekarang adalah seperti ‘langit dan bumi’. Mungkin persepsi aku
agak keterlaluan. Mungkin….Lihat sahaja tokoh-tokoh yang ‘mewarnai’ UMNO pada
zaman itu. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Sardon
Zubir dan banyak lagi adalah merupakan tokoh-tokoh yang berwibawa, tegap dengan
prinsip perjuangan dan lantas mendapat penghormatan yang cukup tinggi daripada
orang Melayu dan bukan Melayu juga pada ketika itu, kini dan selama-lamanya.
Ahli biasa
dalam UMNO pada ketika itu juga merupakan ‘manusia’ yang berperinsip walaupun
taraf pendidikan mereka tidak seberapa. Rata-rata berkelulusan ‘sekolah atap’.
Jikalau ada pun yang boleh bergelar ‘intelek’ adalah dari golongan guru lepasan
SITC Tanjung Malim berbanding dengan keadaan sekarang yang kebayanyakan
mempunyai degree yang berjela tetapi tidak ‘kukuh’ prinsip perjuangannya
berbanding dengan kaum guru.
Ramai
yang bersetuju bahawa UMNO mula menuju ke zaman ‘kemunduran’nya apabila kaum
guru tidak lagi berperanan dalam UMNO. Maksud aku ialah UMNO masih ‘hebat’ dari
segi ‘perjuangan’ untuk hal-hal lain dan bukan memperjuangkan apa yang
sepatutnya diperjuangkan seperti mana yang diperjuangkan oleh ahli UMNO zaman dulu ketika UMNO duterajui oleh
kaum guru. Misalnya kegiatan ‘politik wang’ mula bermaharajalela apabila kaum guru mula disisihkan. Sedikit
demi sedikit kaum guru ‘mengundurkan’ diri dari arena perjuanagan UMNO. Dan
sedikit demi sedikit jugalah perjuangan asal UMNO itu luntur. Mungkin juga
kelunturan perjuangan UMNO itu disebabkan oleh peredaran zaman yang menuntut
agar UMNO itu berubah seperti mana yang dikehendaki oleh pendokongnya. Mungkin.
Kehebatan
ahli UMNO zaman sebelum kemerdekaan memang hebat dan amat teguh memperjuangkan
prinsip perjuangan mereka. Mereka sanggup menentang Dato’ Onn Jaafar selaku
Presiden UMNO berasaskan prinsip. Perwakilan UMNO pada persidangan agung UMNO
pada awal 1950an telah menentang Presiden kerana cadangan Dato Onn Jaafar untuk
membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu. Cadangan itu tidak direstui
oleh ahli UMNO. Ekoran daripada peristiwa itu lah Dato Onn Jaafar mengundurkan
diri dari UMNO dan kemudiannya digantikan oleh Tunku Abdul Rahman.
Peristiwa
ini amat menarik perhatian aku. Apa tidaknya.
·
Walaupun ahli UMNO ketika itu amat sayang
kepada Dato Onn Jaafar, pengasas UMNO namun disebabkan untuk mempertahankan
prinsip perjuangan UMNO mereka sanggup menolaknya. Maknanya pada anggapan
mereka UMNO lebih penting daripada pemimpinnya. Pemimpin boleh diganti namun
UMNO amat sukar ditukar ganti. Itu prinsip mereka.
·
Dato Onn Jaafar juga adalah tokoh yang
berprinsip. Konsep 1 Malaysia sebenarnya telah mula disemai oleh Dato Onn
apabila buat julung kalinya beliau bersama Tan Cheng Lock menubuhkan
Communities Liaison Committee ( CLC ) di Pulau Pinang pada tahun 1949 yang
bertujuan untuk mengeratkan perpaduan kaum di Tanah Melayu. Tujuannya untuk
membuka keahlian UMNO kepada semua kaum itu adalah untuk merealisasikan
hasratnya menyatukan kaum-kaum di Tanah Melayu ke dalam satu parti. Hasrat itu
ditentang oleh ahli UMNO ( orang Melayu). Dan Dato Onn mengambil keputusan
meletakkan jawatan dan keluar dari UMNO. Apakah tindakan sedemikian itu bukan
‘HEBAT’ namanya?....
·
Kemasukan Tunku Abdul Rahman ke dalam UMNO
juga aku anggap hebat. Beliau tidak ‘mengada-ngada’ menawarkan diri untuk
dicalonkan sebagai Presiden UMNO. Sekiranya betul fakta sejarah yang aku baca,
Tunku menyertai UMNO adalah atas jemputan Tun Abdul Razak yang merasakan bahawa
Tunku sajalah yang boleh memimpin UMNO setelah Dato Onn Jaafar meletakkan
jawatan sebagai Presiden. Ini yang dikatakan kehebatan UMNO pada zaman dulu.
Tidak seperti sekarang. Begitu ramai yag ‘terhegeh-hegeh’ mahu jadi calon Ketua
Bahagian ( mungkin Ketua Cawangan pun ) walaupun jelas tidak memiliki bakat
kepimpinan.
Ahli
UMNO kini, terutamanya golongan muda yang berminat untuk jadi pemimpin
seharusnya tahu dan memahami perjuangan tokoh-tokoh seperti Tun Dr. Ismail,
Syed Jaafar Albar, Harun Idris, Sulaiman Palestin dll . Mereka adalah manusia
hebat dalam lapangan masing-masing. Merekalah sebenarnya pemimpin Melayu dalam
ertikata yang sebenarnya. Mereka tidak mendabik dada mengatakan ‘ akulah
pemimpin’. Jauh sekali. Tetapi jasa dan sumbangan mereka terhadap negara dan bangsa Melayu adalah amat besar sekali.
Walaupun mereka memperjuangkan orang Melayu namun kaum bukan Melayu tetap
menghormati dan menyanjung mereka. Mereka melaksanakan tanggungjawab yang
diserahkan kepada mereka dengan penuh dedikasi. Tidak ternilai. Lantas mendapat
penghormatan daripada orang Melayu dan bukan Melayu.
Aku
sedang mencari pemimpin UMNO kini yang boleh menandingi kehebatan Tun Dr.
Ismail bin Abdul Rahman yang pernah menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri
yang pertama.
Semoga
bangsa Malaysia akan diketemukan dengan ‘Dr.Ismail’ dalam masa 20 atau 30 tahun
lagi……
Abuhassanadam
6
Ogos 2013
No comments:
Post a Comment