PADANG RENGAS ‘MELETUP’ DENGAN TIBA-TIBA
Seingat aku,
tidak pernah lagi dalam sejarah, Padang Rengas diperkatakan begitu meluas dalam
media tempatan sepertimana yang berlaku kini. Mungkinlah pada akhir-akhir tahun
1940an dulu, apabila Padang Rengas menjadi
pusat kegiatan menentang British dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Mungkin
agaknya pada ketika itu tempat ini menjadi tumpuan para pejuang seperti Ahmad
Boestamam, TS Aishah Ghani, Dr. Burhanuddin, Shamsiah Fakeh dll.
Kisah DS
Nazeri dan anaknya telah menjadi perbualan hangat seluruh negara. Dan nama
Padang Rengas telah diheret sama, kerana YB DS Nazeri adalah wakil Parlimen di
kawasan itu. Sebenarnya kawasan parlimen Padang Rengas adalah mengambil sempena
nama pekan kecil Padang Rengas yang terletak dalam kawasan berkenaan. Kawasan
parlimen Padang Rengas bukan hanya setakat kawasan pekan Padang Rengas tetapi
melebar dan meluas sampai ke Lubuk Merbau, Kati, Sauk dan mungkin sebahgaian
dari Lenggong.
Aku
sememangnya anak jati Padang Rengas. Tulin. Anak Padang Rengas totok. Antara
aku dan Padang Rengas adalah seperti Aur dengan tebing. Seperti isi dengan
kuku. Seperti DS Anwar Ibrahim dengan Ceruk Tokkun. Cubit peha kiri peha kanan
terasa sakitnya. Dalam kemelut mengenai DS Nazeri, nama Padang Rengas terbabit
kerana beliau adalah wakil parlimennya. Tapi beliau bukan anak Padang Rengas.
Beliau berasal dari Lenggong.
Ramai kawan
dan rakan menelipon aku bertanyakan kisah ‘Padang Rengas’. Mereka tahu yang aku
memang amat taksub dengan nama Padang Rengas. ‘Tak boleh sentuh’ kata mereka,
merujuk kepada ketaksuban aku kepada tempat kelahiranku ini. Ada rakan-rakan
yang cuba ‘mengusik’ aku dengan memperkatakan sesuatu yang negatif mengenai
Padang Rengas. Amat gembira mereka melihat aku ‘melenting’.
Padang Rengas
tidak dikenali ramai, terutama yang tinggal di selatan tanah air. Apatah lagi
yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Bagi mereka yang tinggal di sebelah utara,
pasti mereka tahu di mana letaknya Padang Rengas. Sebelum terbinanya Lebuhraya
Utara Selatan, pasti penduduk Utara ( Penang, Kedah, Perlis) melalui pekan
Padang Rengas sekiranya mereka menuju ke Selatan. Namun selepas terbinanya
Lebuhraya Utara Selatan, tidak lagi melalui pekan kecil ini. Walau
bagaimanapun, setesen keretapi Padang Rengas masih wujud dan yang menaiki
keretapi ke utara pasti melalui Padang Rengas dengan Gunung Pondoknya (yang
sedang diteroka dan dirobohkan oleh Perak Hanjung).
Aku pun
hairan bagaimana hati ini amat terpaut dengan tempat tumpah darahku ini. Semua
orang merasa begitu. Betul. Tetapi sebahagian dari hidupku bukan di Padang
Rengas. Di luar. Hanya sekali sekala saja aku balik kampung. Itu pun sekejap.
Tetapi kesayangan dan kecintaan aku kepada Padang Rengas tidak ada tolak
bandingnya. Seolah-olah tidak ada yang lain yang lebih berharga selain dari
Padang Rengas.
Satu hal
yang agak pelik mengenai Padang Rengas ialah wakil rakyatnya sentiasa
didatangkan dari luar Padang Rengas. Seeingat aku, semenjak merdeka hampir
kesemua ahli Parlimennya adalah terdiri dari orang luar. Bukan anak tempatan.
Anak tempatan semacam tidak berminat untuk menjadi wakil rakyat. Anak Padang
Rengas tidaklah ‘bodoh’ benar. Ketua Setiausaha Negara yang pertama, Tan Sri
Abdul jamil Rais adalah anak jati Padang Rengas. Dan ramai lagi anak Padang
Rengas yang boleh dikategorikan sebagai professional, tetapi tidak berminat
menceburkan diri dalam politik. Hairan juga aku, sedangkan benih perjuangan
menentang penjajahan tumbuh dan segar di sini (di kampung Lalang).
Ramai pemuda
dari Padang Rengas yang menjadi mangsa tahanan politik pada zaman penjajahan.
Ramai anak muda dari Padang Rengas yang sanggup berjalan kaki sampai ke Selatan
Thailand semata-mata untuk bersama-sama membebaskan saudara Islam di Selatan
Thai pada suatu ketika dulu ( sebagaimana yang diceritakan kepada aku ). Dan di
Kampung Lalanglah ( Padang Rengas)
diadakan kongres API ( Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS ( Angkatan Wanita
Sedar) dimana para pejuang kemerdekaan menghamburkan ucapan bersemangat
menentang British.
Dan
seolah-olah apabila negara sudah merdeka, masyarakat Padang Rengas ‘berpuas
hati’ dengan pencapaian mereka dan membiarkan orang luar menjadi wakil rakyat bagi
kawasan ini. Aku masih teringat sepotong ayat yang keluar dari mulut arwah
bapak aku. Katanya, “ ….mereka hanya pandai berpolitik setelah negara sudah
aman…” Dia merujuk kepada ahli politik kini yang hanya pandai berkata-kata
dalam sebuah negara yang sudah aman, berbanding dengan perjuangan mereka pada
zaman penjajahan yang terpaksa berjuang bermati-matian menentang penjajah Britsh,
tanpa mengaharapkan apa-apa imbuhan. Maksudnya berjuang tanpa mengharapkan wang
dan kontrek……
Dari segi
pertumbuhan penddikan pula, Padang Rengas agak bertuah kerana dikurniakan dua
orang tokoh pendidik yang mendahului zaman – Tuan Sheikh Jonid ( bapa mertua
Dato Asri haji Muda) dan Ustaz Abdul Samad Noh. Aku katakan mereka mendahului
zaman kerana mereka telah meneroka membuka sekolah Agama Rakyat untuk ‘mencelikkan’ anak-anak di kawasan ini,
sedangkan sebahagian besar orang Melayu pada ketika itu masih ‘tidur’ dengan
lenanya. Sekitar 1940an sudahpun terdapat dua sekolah agama rakyat di kawasan
ini yang perkembangannya seiring dengan Sekolah Agama Gunung Semanggol. Tidak
hairanlah proses ‘cellik huruf’ di kawasan Padang Rengas agak mendahului tempat-tempat
lain.
Dari segi
peluang mendapat pendidikan barat pula, Padang Rengas tidak juah dari bandar
Kuala Kangsar di mana terdapat dua buah sekolah tersohor di negara ini pada
ketika itu – Malay College Kuala Kangsar dan Clifford School Kuala Kangsar. Bagi
pelajar perempuan pula sudah pun ada sekolah Inggeris ditubuhkan – Government
English Girls School ( GEGS). Kini dipanggil Sekolah Raja Perempuan
Kalsom. Seawal tahun 1950an telah pun
ada sekolah persendirian ( Public School) didirikan di Kuala Kangsar untuk
pelajar-pelajar yang tercicir yang tidak dapat mengikuti aliran pelajaran di
sekolah kerajaan.
Dengan sebab
itulah aku amat bersyukur dilahirkan di tanah bertuah Padang
Rengas. Sekiranya aku dilahirkan di tempat-tempat yang jauh dari pusat pendidikan
(misalnya) pastinya aku tidak seperti aku pada hari ini. Dan sekiranya ada yang
mengatakan bahawa penjajah British itu ‘buruk’ dalam semua perkara, maka akulah
orang pertama yang akan menentang
tuduhan sedemikian kerana bagi aku penjajah British telah memberikan peluang
untuk aku mendapat pendidikan yang agak sempurna ( pada pertimbangan aku),
walaupun
banyak juga keburukan yang dilakukan
oleh penjajah British itu.
Oleh kerana
Padang Rengas dikelilingi pusat-pusat pendidikan seawal tahun-tahun 1940an,
ataupun lebih awal dari itu, telah menyebabkan masyarakat Padang Rengas mendahului
kebanyakan masyarakat di Malaysia dari segi peluang mendapat penddikan agama
atau pun barat.
abuhassanadam
21 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment