SEMANGAT PATRIOTISME YANG SEMAKIN
LUNTUR
Aku tidak
ada statistik yang konkrit untuk menyokong hujah aku berkaitan dengan tajuk di
atas. Tapi aku yakin apa yang aku rasa berkaitan dengan tajuk diatas adalah
betul. Aku yakin ramai rakyat Malaysia pun bersetuju. Dan ramai juga rakyat
Malaysia dari berbagai keturunan merasa amat kecewa dengan perkembangan di
negara kita kini yang seolah-olah sudah melupakan hasrat pemimpin kita yang
terdahulu yang menganggap bahawa perpaduan kaum adalah merupakan tunjang dan pasak
kepada kemajuan negara dan bangsa.
Kadang-kadang
aku tidak dapat memberikan jawapan mengapa keadaan jadi begini. Dan lebih
membingungkan aku ialah apabila ada golongan di negara kita yang seolah-olah
tidak mahu perpaduan kaum itu wujud di
negara kita melalui tindak tanduk yang ditunjukkan oleh mereka. Sikap mereka,
kata-kata mereka dan tindakan mereka amat bertentangan dengan konsep perpaduan
yang hendak diwujudkan walaupun ‘ ke hulu dan ke hilir’ berteriak melaungkan
konsep 1 Malaysia.
Apa
tidaknya….
Lihat saja
golongan-golongan tertentu tanpa segan silu terus menerus mengecilkan hati
kaum-kaum di Malaysia. Mereka sedar bahawa tindak-tanduk mereka itu pastinya
akan mendapat reaksi yang negatif dari kaum-kaum tertentu, namun masih juga
diteruskan tanpa segan silu. Tanpa memikirkan hati dan perasaan kaum lain.
Tanpa memikirkan bahawa perbuatan mereka itu menyentuh sensitiviti kaum lain
sampai ke tulang sum-sum. Tanpa memikirkan bahwa tindakan mereka itu akan
mendatangkan kesan yang amat mendalam yang boleh mencetuskan perbalahan kaum
seperti yang pernah dialami oleh negara.
Janganlah
diulangi lagi Peristiwa 13 Mei. Sudahlah. Biarlah persitiwa itu pergi dan terus
meninggalkan kita. Biarlah golongan tua yang mengalami peristiwa itu saja yang
terasa sedih dan pedihnya. Dan janganlah anak-anak dan cucu kita turut merasa
dan mengalaminya. Jangan. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit negara
dan kesan daripada peristiwa itu lagi menyedihkan dan amat parit untuk
dideritai. Dan mengambil masa yang agak panjang untuk betul-betul memulihkan
keadaan itu. Mengapa perlu diungkit-ungkit lagi. Sepatutnya peristiwa pahit
itu, ‘ disebut jangan dan dikenang pun jangan..”
Mengikut
pemerhatian aku ( mungkin aku tersilap ) suasana negara menjelang PRU 13 adalah
merupakan kemuncak semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.
Aku belum pernah lagi melihat semangat perpaduan yang begitu akrab dan jitu
yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari semua kaum dan segenap lapisan
masyarakat terutama apabila menghadiri program-program yang dianjurkan oleh
BERSIH dan Pakatan Rakyat.
Beberapa
program yang dianjurkan oleh BERSIH di
Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu amat menyentuh perasaan aku ditinjau dari
sudut perpaduan yang telah ditunjukkan. Aku melihat dan mengalami sendiri
bagaimana konsep perpaduan kaum tu telah dilahirkan oleh anak-anak bangsa
Malaysia dalam berbagai bentuk dan tindakan yang dijelmakan. Aku hampir
mengalirkan air mata apabila anak-anak muda berbangsa Cina menghulurkan kepada
aku sebotol air apabila melihatkan mata ku berair akibat daripada terkena gas
pemedih mata. Bukan itu saja. Si anak muda terus berada disamping aku
menanyakan soalan-soalan seperti ‘ Pakcik Ok ke?” Soalan-soalan seperti itu
sudah cukup untuk ‘mengubati’ mata aku yang berair.
Apakah itu
bukan semangat perpaduan namanya?
Ketika menghadiri
beberapa ceramah Pakatan Rakyat terutama yang menampilkan DS Anwar Ibrahim kita
akan melihat suatu fenomena perpaduan rakyat Malaysia yang cukup luar biasa.
Aku rasa ada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB DS Anwar Ibrahim yang memukau
rakyat yang hadir. Selalu dikatakannya bahawa, ‘ …anak Melayu anak saya, anak
Cina anak saya, anak India anak saya dan anak-anak dari Sarawak dan Sabah juga
anak saya’.
Kenyataan-kenyataan
sedemikian dan ditambah lagi dengan slogan-slogan lain telah menarik perhatian
semua kaum. Slogan-slogan itulah yang telah memuncakkan semangat patriotisme
dan cintakan bangsa dan negara golongan yang hadir. Dan apabila tiba masanya
untuk mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ akan dapat dilihat rakyat
menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat tanpa ada arahan dan paksaan. Mereka
menyanyikan dengan sepenuh hati dan perasaan. Semua kaum menyayikannya. Tidak
ada pula undang-undang dan peraturan yang mewajibkan mereka menyanyi.
Sekali lagi
aku termenung memikirkan keadaan yang wujud kini. Kadang-kadang aku juga
menyoal. Kemana perginya ‘rakyat’ yang patriotik dan bersemangat menyanyikan
lagu kebangsaan ‘Negaraku’ itu. Di mana mereka berada sekarang? Apakah golongan
ini jugakah yang ’enggan’ mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ dan ‘liat’ untuk
menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’
Dan tentulah
aku terkejut apabila mendapati bahawa sudah ramai yang tidak mahu mengibarkan
‘Jalur Gemilang’ dan ramai juga yang enggan menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Aku
tentunya semacam tidak percaya keadaan sebegini boleh berlaku disebabkan apa
yang ditunjukkan oleh rakyat ketika menghadiri perhimpunan BERSIH dan ketika
menghadiri ceramah Pakatan Rakyat adalah sebaliknya. Aku bersetuju dengan pendapat
Menteri Komunikasi yang mengatakan bahawa seharusnya perbezaan politik tidak
seharusnya mempengaruhi perasaan patriotisme rakyat Malaysia.
Tetapi aku
merasakan bahawa bukan rakyat tidak patriotik dan tidak juga rakyat tidak
sayangkan negara ini. Mereka amat sayang dan cintakan negara yang tercinta ini.
Mungkin disebabkan ada terdapat rasa kecewa di hati mereka yang menyebabkan
mereka bertindak demikian. Aku tak dapat merasakan kekecewaan mereka itu dan
tidak juga dapat meneka dengan tepat tentang kekecewaan yang macam mana yang
menyebabkan sebahagian besar rakyat bertindak sedemikan.
Aku teringat
kepada sejarah negeri Johor suatu ketika dahulu apabila yang dilantik menjadi
Sultan Johor bukan daripada keturunan Bukit Seguntang. Sebaliknya yang dilantik
adalah daripada keturunan Bendahara. Orang Laut yang merupakan
pahlawan-pahlawan negeri Johor-Riau ketika itu enggan memberikan taat setia
kepada Sultan yang berketurunan Bendahara. Bagi mereka, yang berhak mereka
sembah adalah Sultan yang berketurunan Bukit Seguntang Maha Miru.
Apakah detik
sejarah ini boleh kita menungkan bersama?
abuhassanadam
29 Ogos 2013
Terbaik penulisan ni...
ReplyDeleteTerbaik penulisan ni...
ReplyDelete