Thursday, August 1, 2013

TERAWIKH dan MOREH DI BRYANSTON SQUARE LONDON

Aku tak pernah terfikir bahawa suasana hening malam di Bryanston Square bertukar menjadi malam yang dipenuhi dengan gema suara shalawat Terawih pada setiap malam dalam bulan Ramdhan pada tahun-tahun 1995 hingga 1998. Aku tak lupa peristiwa itu. Seolah-olah ia berlaku hanya semalam. Apatah lagi pada bulan Ramdhan yang sebegini, ingatan akan kembali menerpa pada zaman itu.

Pada ketika itu, Pejabat Penuntut Malaysia di London terletak di 44 dan 45 Bryanston Square London. Lebih dikenali dengan MSD ( Malaysian Students Department). Dan disitulah terletaknya Dewan Malaysia ataupun yang lebih dikenali dengan Malaysia Hall. Tempat pelajar-pelajar Malaysia dari semua keturunan ‘melepak’ sambil menonton filem P.Ramlee ( pada hari Sabtu malam Ahad akan ditayangkan  filem P.Ramlee). Di Malaysia Hall jugalah tempat pelajar-pelajar dapat menikmati nasi lemak abang ‘ad ( Saad) yang dijual dari kantin Malaysia Hall.

Aku mula ditugaskan di situ sebagai ‘penjaga’ pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom & Eire. Begitu luas kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada aku. Ada lebih kurang 35,000 pelajar Malaysia ketika itu yang terpaksa ‘dijaga’. Ramai. Tetapi tentulah tidak semua dapat ‘dimanjakan’ kecualilah yang berada di London atau pun di kawasan berdekatan. Namun sekiranya timbul masalah yang memerlukan perhatian, maka dengan sedaya upaya akan diberikan pertolongan. Terutama mengenai biasiswa dan bantuan kewangan.

Secara kebetulan pada tahun berkenaan ( 1995), bulan Ramadhan jatuh pada musim sejuk. Winter, kata orang Putih.  Amat beruntung dari segi menjalankan ibadat puasa.  Imsak pada pukul 6.00 pagi dan berbuka puasa pukul 3.45 petang. Sekiranya ada yang tidak dapat melakukan ibadat puasa sememangnya betul-betul tidak beriman ( sebagaimana yang selalu disebut oleh Pak Haji Sulaiman ketika aku belajar mengaji padanya ketika kecil-kecil dulu). Apa tidaknya. Bersahur adalah seperti ‘breakfast’ dan berbuka puasa seprti ‘late lunch’. Waktu Isyak dan terawih pula ialah pada pukul 5.00 petang.

Malam pertama Ramadhan aku sembahayang terawih di Malaysia Hall. Lebih kurang 30 orang jemaah hadir. Petugas MSD dan juga beberapa orang Arab dan Pakistan. Pada keesokan malamnya masih sama. 30 orang. Aku tak nampak walau seorang pun pelajar Malaysia sembahayang di situ. Mungkin mereka sembahayang terawih di rumah masing-masing. Mungkin.

Mulalah aku terfikir. Surau yang terletak di tingkat pertama Malaysia Hall itu sebenarnya untuk kemudahan pelajar Malaysia. Dan apa yang dapat aku lihat pada waktu itu, tidak kelihatan pun seorang pelajar yang hadir untuk sembahayang terawih. Lantas aku mula memikirkan tentang cara bagaimana untuk ‘menarik’ pelajar-pelajar yang tinggal berdekatan untuk datang ke Malaysia Hall, menunaikan solat terawih.

Jawabnya ialah mengadakan MOREH. Dan bermulalah aktiviti mengadakan Moreh pada Ramdhan berkenaan walaupun sudah masuk ke malam keenam atau ketujuh. Walaupun tidak terancang, namun Moreh dapat juga diteruskan sehingga malam yang ke 29 Ramadhan. Masalah pembiayaan mengadakan Moreh tidak langsung menimbulkan masalah walaupun pada mulanya aku agak bimbang tentang punca kewangan. Peruntukan pengurusan MSD tentu sekali tidak boleh digunakan. Namun berkat bulan Ramdhan yang mulia itu, sumbangan kewangan datang ‘mencurah-curah’ sehinggakan hasil kutipan sudah berlebihan dan terpaksa dibawa untuk ke bulan Ramdhan tahun seterusnya ( 1996).

Memang seronok mengenangkan peristiwa ‘Terawih dan Moreh’ di bulan Ramadhan di MSD London. Memang seronok betul. Itulah yang merupakan ‘bekalan’ ingatan yang paling menyeronokan untuk aku dan yang akan aku bawa sehinggalah aku menghembuskan nafasku terakhir. Apa tidaknya.

Jemaah yang hanya berjumlah 30 orang itu telah berkembang menjadi 200 orang lebih kurang. Ruang surau yang ada di Malaysia Hall hanya boleh menampung seramai lebih kurang 80 orang. Paling ramai 100 orang. Aku terpaksa membuka ruang-ruang yang boleh menampung jemaah yang mencecah 200 orang. Setiap malam adalah merupakan pesta Ramadhan. Dihadiri oleh sebahagian besar oleh pelajar Malaysia dan petugas-petugas dari Suruhanya Tinggi Malaysia di London. Jumlah orang luar sudah amat berkurangan, ‘ditenggelami’ oleh pelajar-pelajar Malaysia.

Juadah Moreh selepas sembahayang terawih sangat mewah. Hampir setiap malam disediakan nasi Beriani. Aku menggalakkan para pelajar datang supaya mereka dapat menikmati makanan yang disediakan dan dengan demikian dapat memnjimatkan perbelanjaan mereka pada bulan Ramadhan itu. Aku tahu memang ‘sempit’ kehidupan mereka di London. Biasiswa/ pinjaman yang diberika oleh kerajaan sememangnya tidak mencukupi. Untuk mengharapkan bantuan ibu bapa di kampung  maklum saja lah. Oleh itu sememangnya hasrat aku mengadakan jamuan Moreh yang agak ‘terada’ adalah semata-mata untuk membantu anak-anak pelajar berjimat supaya dapat mereka berbelanja lebih sedikit pada hari raya nanti.

Peruntukan mengadakan Moreh aku perolehi dari para dermawan yang berada di London dan juga dari para dermawan yang berada di Malaysia. Seingat aku, tidak langsung membebankan untuk mencari ‘sponsor Moreh’. Berlebihan. Ramai para Menteri dan Menteri Besar dari Malaysia yang menghantarkan sumbangan.  Tidak dapatlah nak dituliskan nama-nama mereka itu. Dan hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Dan tidak ketinggalan juga para dermawan Malaysia yang tinggal di London yang turut memberikan sumbangan.

Aku tidak tahu samada kegiatan terawih dan moreh sebegini masih dijalankan di MSD London lagi. Yang aku pastinya pejabat MSD itu sudah tidak berada di Bryanston Square lagi. Sudah berpindah ke tempat lain walaupun masih berada di kota London. Aku hanya berharap agar tradisi terawih dan moreh itu berterusan, kerana kesan yang ditinggalkannya amat berkesan di hati para pelajar sekalian.

Aku mengambil kesempatan melalui ruangan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada anak-anak pelajar yang pernah bersama-sama menunaikan solat sunat Terawih dan Moreh  di Malaysia Hall pada tahun-tahun 1995 sehingga 1998 dan juga kepada ‘anak-anak’ yang pernah belajar di UK &Eire sekitar tahun-tahun 1995 sehingga 1998. Dan yang pastinya mengenali diri aku. PAK ABU.

Sekiranya tiada halangan, teringin benar rasanya aku untuk mengadakan perjumpaan dengan ‘anak-anak’ ( kini sudah pun menjadi ‘bapak-bapak’ dan ‘emak-emak’) yang  pernah bersama-sama ‘bergelumang’ ketika di perantauan. Email Pak Abu: abuhasanadam@gmail.com.

Abuhassanadam
1Ogos 2013


No comments:

Post a Comment