Friday, March 25, 2016


            DI TEPIAN TASIK MARDI

            Secara kebetulan semalam ( 24 Mac 2016) aku melalui kawasan pertanian MARDI. Entah macam mana aku ‘tersesat’ ke situ. Aku tidak pernah pun memasuki kawasan pertanian yang telah wujud ‘zaman-berzaman’ ini. Namanya sememangnya biasa kedengaran. Dan aku teringat juga ada beberapa orang kawan aku yang pernah bertugas di sini. Waktu ‘muda-muda’ dulu.

            Tak terfikir pula aku kawasan MARDI ini merupakan kawasan ‘kampung’ yang cantik. Dan aku ingin ‘menasihat’kan kawan-kawan yang merindui keadaan kampung, pergilah ke MARDI. Ada pokok-pokok rimbun, ada tasik yang membiru, malah para pekerja yang sempat aku jumpa dan temui juga seperti orang kampung. Maksud aku tentang ‘budi bahasa’ mereka. Dan suasana di salah sebuah kantin di MARDI ( tidak jauh dari tasik) juga seperti suasana kampung. Barang makanan yang terjual di situ juga dengan harga yang amat berpatutan. Sedap pulak tu. Terutama gulai kambingnya!...

            Yang aku nak cerita bukan cerita MARDI. Cerita kantin di MARDI juga bukan. Yang menarik perhatian aku ialah tentang larian merentas desa yang dijalankan di situ ketika aku melalui kawasan itu. Aku tak tahu sekolah mana yang menjalankan larian merentas desa pada ketika aku berada di situ. Yang aku pastinya mestilah sekolah anak orang kaya-kaya. Dan sekolah berkenaan bukan dari kawasan Serdang atau Kajang. Dari jauh datangnya mereka memandangkan terdapat puluhan buah bas yang membawa anak-anak ke mari. Maknanya datang dari Kuala Lumpur atau Subang Jaya. Tentunya sekolah swasta. Sekolah orang kaya-kaya.

            Suasana sebegini pastinya menghiburkan aku, seorang tua yang sebahgian dari usiaku diabdikan untuk berkecimpung bersama anak-anak ( tidak kira dan tidak mengenal bangsa, agama dan warna kulit). Alangkah gembiranya hati dan perasaan aku melihatkan anak-anak yang berada dalam lingkungan belasan tahun ini berlari dengan riang seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan perasaan mereka berbanding dengan ibu bapa mereka yang terpaksa memikirkan tentang bahagaimana untuk mendapatkan wang untuk membiyai persekolahan mereka yang pastinya dalam jumlah yang agak besar.

            Aku duduk di sebuah kerusi berhampiran dengan tasik biru sambil menghirup udara nyaman pagi hening. Di samping itu aku leka juga memerhatikan barisan kanak-kanak berlari. Semua bangsa. Melayu, Cina, India, dan ada juga bangsa lain. Mereka sama-sama berlari dan ketawa tanpa memikirkan yang mereka berlainan bangsa dan agama. Pastinya mereka akan memberikan pertolongan antara satu dengan yang lain sekiranya dalam arus larian mereka nanti ada yang mendapat kemalangan. Aku yakin yang mereka akan membantu antara satu dengan yang lain.

            Bahagia sungguh perasaan aku pada pagi ini. Terlalu banyak perkara yang membahagiakan hati orang tua ini. Namun yang paling mengembirakan ialah melihatkan persefahaman dan keakraban ‘anak-anak’ Malaysia dari semua bangsa bersatu padu, bergembira dalam larian merentas desa. Mungkin juga wujud keadaan ‘anak’anak’ yang bersikap begini didorongkan oleh guru-guru sekolah ini yang mendorongkan agar pelajar-pelajar mereka bersikap demikian. Suatu yang jelas ‘diperlihatkan’ di depan mata aku ialah sikap guru-guru yang seolah-olah tidak menunjukkan sikap perkauman antara satu dengan yang lain. Yang bertudung kelihatan semacam begitu mesra dengan yang tidak bertudung. Yang berkulit cerah tidak menampakkan kejanggalan bergaul mesra dengan yang berkulit sawo-matang. Mungkin agaknya wujud keadaan harmoni yang sebegini disebabkan kepimpinan atasan sekolah ini yang mahukan keadaan sedemikian. Agaknya begitulah.

            Betul rupanya apa yang sentiasa diperkatakan oleh masyarakat umum. Jikalau dah pernah jadi guru, selama-lamanya akan menjadi guru. Amat bahagia sekiranya dipanggil ‘Cikgu’. Anak-anak yang berderetan lari dihadapan mata aku tidak tahu bahawa aku juga pernah berlari semacam mereka berlari. Dan para guru yang ada di situ juga tidak tahu bahawa aku juga pernah seperti mereka pada suatu ketika dulu mengawasi anak-anak lari dalam larian merentas desa (X-Country).

            Terbayang di mata aku bagaimana Chan Siew, Malik, Sahrifuddin, Foo Chor, Krishnan, Subba Singh (semuanya berkaki ayam) disekitar tahun-tahun awal 60an lari merentas desa melalui Malay College, Rumah Sakit Kuala Kangsar, terus ke kawasan Basong dan balik ke sekolah (Clifford School, Kuala Kangsar). Dah lama ‘ceita’ ini berlaku tetapi masih terbayang dan masih segar dalam ingatan aku. Cuma yang agak ada persamaan dengan anak-anak yang lari dihadapan mata aku itu ialah hilai dan ketawa kami dulu semacam serupa dengan hilai dan ketawa anak-anak yang berlari di hadapan aku. Ketika itu kami juga tidak mengenali warna kulit.

            Satu pagi aku menghabiskan masa di tepian Tasik MARDI. Pagi itu penuh dengan sejarah dan ingatan nostalgia. Aku tunggu peserta terakhir berlalu hanya untuk ‘memuas dan membahagiakan’ hati dan perasaan yang sudah lama kontang ini. Sampai ke peserta terakhir aku perhatikan bahawa semacam tidak ada batasan perkauman antara pelajar-pelajar yang terdiri dari anak-anak Malaysia ini.

            Hanya aku mengharapkan agar guru-guru yang mendidik anak-anak ini akan terus menyemaikan perasaan persaudaraan antara kaum-kaum di Malaysia supaya benar-benar wujud bangsa Malaysia menepati ertikata sebenarnya satu ketika nanti. Persetankan anasir-anasir luar yang cuba mengeruhkan hubungan kaum di negara yang tercinta ini.

            Aku renung lama-lama tasik biru MARDI. Aku ‘hirup’ puas-puas udara bersih dan hembusan bayu dipersekitaran tasik MARDI. Aku pulang dengan persaan dan hati yang ‘terubat’ sebelum aku singgah sebentar untuk menikmati gulai kambing di salah sebuah restoran di MARDI.

abuhassanadam

25 Mac 2016

Wednesday, March 16, 2016

ORANG MELAYU SUDAH MULA DIPERSALAHKAN

            Seingat aku belum pernah lagi aku merasa ‘terhina’ sebegini sebagai orang Melayu yang tinggal di sebuah negara yang bernama Malaysia. Ke mana saja kita pergi pasti orang akan bertanyakan mengenai IMDB. Samada di dalam negara atau di luar negara. Negara Malaysia seolah-olah sudah menjadi negara yang betul-betul terhina di mata dunia.

            Aku tidak menyangka langsung begini jadinya. Aku tidak menduga negara boleh ‘terjerumus’ ke lembah kehinaan sebegini. Aku amat terkejut seorang rakan dari Whidby Island, Seattle USA dapat menghuraikan dengan lanjut mengenai isu IMDB. Rakan ku itu dalam pelayaran mengelilingi dunia dan singgah sebentar di Singapura. Dan di Singapuralah kami berjumpa dan dengan panjang lebar beliau melahirkan kekesalannya tentang apa yang telah berlaku kepada negara Malaysia dan nasib yang menimpa rakyatnya. Jikalau penduduk Whidby Island ( kawasan Ulu Amerika) pun dapat mengetahui dengan sejelas-jelasnya apa yang berlaku di negara Malaysia, maka aku tidak hairanlah seluruh dunia sedang memperkatakan tentang negara kita. Tentunya mengenai keburukan dan nasib malang yang menimpa rakyat negara ini.

            Orang Melayu sudah mula dipersalahkan mengapa keadaan jadi begini. Bukan orang Cina yang mengatakan yang orang Melayu patut dipersalahkan.  Tidak juga orang India. Dan tidak pula bangsa lain-lain. Tetapi yang menyalahkan orang Melayu yang menyebabkan keadaan negara jadi begini kini adalah orang Melayu sendiri. Bukan saja orang Melayu yang mendapat didikan tinggi, lulusan luar negara tetapi orang Melayu yang mendapat rezeki dari kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka sendiri merasakan yang orang Melayu yang patut dipersalahkan.

            Orang Melayu bandar dan desa sudah ‘mangli’ dengan kisah IMDB dan kini telah mula mepersoalkan pula tentang apa yang telah terjadi kepada Tabung Haji, FELDA, MARA dan badan-badan kerajaan lain yang kononnya berjuang untuk memajukan orang Melayu. Meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Supaya orang Melayu itu…ini…begitu…begini…Pendek kata setiap kata-kata yang manis-manis terhambur dari mulut yang empunya cerita.

            Orang Melayu sudah mula dipersalahkan. Yang menjadi Perdana Menteri orang Melayu (keturunan Bugis katanya). Yang menjadi Timbalan Perdana Menteri orang Melayu ( keturunan Jawa katanya). Yang menjadi Menteri dan juga Setiausaha Agung UMNO orang Melayu (keturunan pembesar Aceh katanya), Kebanyakan menteri-menteri kabinet terdiri dari orang Melayu dan ada seorang dua sahaja yang bukan Melayu. Kebanyakan wakil rakyat orang Melayu. Peguam Negara orang Melayu. Ketua Polis Negara orang Melayu. Ketua Setiausaha Negara (namanya nama Melayu). Pegawai Tinggi kementerian kebanyakannya Melayu. Kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan hampir 90% Melayu. Pengetua/ Guru Besar, ‘Guru Kecil’ kebanyakannya Melayu. Pendek kata negara ini dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu kecuali bidang ekonomi saja yang masih belum dikuasai oleh orang Melayu.

            Persoalannya ialah apakah Melayu-Melayu ( termasuk aku )  ini tidak nampak dan kelihatan dengan apa yang berlaku dalam negara kini. Membaca dan mendengar apa yang dilaporkan oleh akhbar dan TV arus perdana di Malaysia sememangnya kita merasa lega dengan negara ini seolah-olah kita berada dalam syurga, tetapi apabila membaca laporan dari luar negara, dari akhbar-akhbar dan majalah luar negara, mahu kita menangis sekuat-kuatnya mengenangkan nasib negara dan bangsa Malaysia yang ‘terhina’ ini. Dan apabila kita merasakan sendiri himpitan hidup seharian di negara ini.

            Aku teryakin dengan sumber berita luar negara kerana apa yang dilaporkan oleh mereka tidak diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Sekiranya apa yang dilaporkan oleh mereka bukannya berita sahih, maka pihak kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang. Dan sehingga kini belum ada lagi tindakan sedemikian. Dengan demikian apa yang dilaporkan itu adalah sahih dan tepat.

            Dan sekiranya apa yang dilaporkan oleh Wall Street Journal atau The Economist atau The New York Times itu merupakan berita yang sahih maka mengapa tidak ada ‘suara’ langsung dari para Menteri Kabinet kita yang seolah-olah apa yang dilakukan oleh kerajaan kini betul belaka. Mengapa para wakil rakyat (BN) tidak langsung ‘berketik’ menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan perjalanan kerajaan kini. Dan mengapa para pegawai kerajaan kita tidak langsung ‘bersuara’ menyatakan sesuatu yang tidak kena yang telah berlaku dalam pentadbiran negara kini.

            Dilaporkan bahawa kedudukan DS Najib sudah semakin kukuh kini disebabkan sokongan dari kalangan ahli UMNO. Apakah tidak ada dan tidak terdapat langsung para ahli UMNO (hanya segelintir yang menentang )  yang agak ‘celik’ untuk menyatakan sesuatu yang tidak kena mengenai pentadbiran negara kini. Atau apakah kesemua ahli UMNO yang terdiri dari orang Melayu di negara ini begitu yakin dan percaya dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan negara kini sehingga tidak terdapat langsung cacat celanya.Dan yang paling menyedihkan ialah apakah golongan ini tidak memikirkan langsung tentang nasib anak cucu mereka yang akan mewarisi negara ini kelak.

            Mungkinkah mulut mereka telah tersumbat dengan kertas?

abuhassanadam
16 Mac 2016



             


Tuesday, March 15, 2016

AYAH KOTEK

            Suatu malam Atuk aku sakit perut. Terpekik terlolong. Aku dan Opah menjadi panik. Minyak angin sudah disapukan ke perut Atuk. Masih tidak lega juga. Atuk masih mengerang kesakitan. Perut Atuk sudh diurut oleh Opah. Masih sakit juga. Atuk meniarap dan aku pijak-pijak belakang Atuk. Masih sakit juga. Akhirnya terpaksalah dipanggil ‘doktor’ kampung aku pada ketika itu. Ayah Kotek. Nak pergi hospital jauh di Kuala Kangsar. Nak panggil Ambulance mana ada telefon. Jalan raya pun belum ada lagi pada ketika itu. Belum merdeka.

            Ayah Kotek sepupu Atuk aku. Usia mereka berdua hampir sama. Atuk aku lebih tua. Dan hubungan mereka berdua amat rapat. Sepupu. Tetapi aku dapat rasakan hubungan sepupu pada ketika itu (tahun-tahun 1950an dan 1960an) lebih mesra dan rapat dengan hubungan ‘sepupu’ kini (Kurun ke 21). Oleh itu aku pasti Ayah Kotek akan datang merawat Atuk yang sedang sakit itu.

            “ Ada lagikah nyawanya?” Suara Ayak Kotek dari bawah rumah ketika sampai sahaja di halaman rumah kami. Amat kasar dan tidak kena soalan Ayah Kotek yang ditujukan kepada kami. Tetapi itulah sebenarnya ‘ubat’ bagi Atuk yang mendengarnya kerana Atuk tahu bahawa itulah rupa gurauan Ayah Kotek dengan dia. Aku nampak Atuk tersenyum walaupun masih sakit.

            Ayah Kotek terus duduk dan bersandar di tiang seri rumah kami. Pada ketika itu sudah ramai orang kampung datang ke rumah untuk menziarahi Atuk apabila mendapat khabar bahawa Atuk sakit perut. Ayah Kotek tidak berbuat apa-apa, melainkan terus menerus ‘mempersendakan’ Atuk dengan kata-kata gurauannya.

            “Makan bubur kacang banyak sangat kut ni?” antara gurauannya. Atuk tidak menjawab. Opah hanya tersenyum. Atuk kelihatan tersenyum. Namun masih sakit. Dan aku nampak kesakitan Atuk sudah berkurangan berbanding dengan keadaan sebelum Ayah Kotek datang.

            Hampir seluruh orang kampung (lelaki dan perempuan) Kampung Ekor Dusun datang menziarahi Atuk. Atuk aku adalah antara orang tua yang mereka hormati di kampung itu. Tempat mengadu dan minta nasihat. Jadi apabila mendapat khabar bahawa Atuk ditimpa musibah, maka berduyun-duyunlah mereka datang menziarahi. Suatu keadaan yang tidak akan berlaku dalam mayarakat zaman moden kini. Dan Atuk bukanlah sakit tenat hanya sakit perut biasa. Namun disebabkan keperihatinan mereka dan mungkin disebabkan rasa tanggungjawab bersama di kalangan masyarakat setempat, maka mereka beramai-ramai datang menziarah.
           
            Atuk masih sakit. Tidaklah terpekik terlolong seperti keadaan sebelum ini.

            Yang hadir mula bersembang-sembang antara satu dengan yang lain. Aku masih teringat bahawa ‘tajuk’ atau ‘tema’ penceritaan atau sembang mereka adalah berkisar mengenai Atuk. Tentang kisah Atuk. Cerita yang ‘baik-baik’ mengenai Atuk. Mereka menceritakan tentang kebaikan Atuk membuat gasing dari dahan limau untuk diberikan kepada anak mereka. Kisah Atuk membuatkan layang-layang untuk anak-anak mereka. Pendek kata mereka bercerita kisah-kisah yang boleh menyeronokkan Atuk yang mendengarnya. Dan ketika mereka bercerita, diceritakan oleh mereka dengan suara yang nyaring agar didengar oleh Atuk yang sedang sakit.

            Aku nampak semakain lama semakin berkurangan sakit perut Atuk. Ayak Kotek belum lagi ‘merawat’ Atuk. Ayak Kotek juga turut bercerita, memuji dan ‘mempersendakan’ kisah Atuk ketika mereka masih muda remaja. Bagaimana mereka menangkap ikan di Sungai Ulu Kangsar, di Ulu Poh. Tentang bagaimana Atuk yang begitu pakar dalam hal ‘menepuk pelanduk’.

            Kononnya tidak ada di kampung itu yang boleh menandingi kepakaran Atuk dalam hal ‘menepuk pelanduk’. Ini merupakan satu teknik yang digunakan untuk ‘memanggil’ dan menangkap pelanduk. Kepakaran sebegini kononnya dimiliki oleh Atuk aku seorang saja. Dan mengikut kata Opah sememangnya mereka selalu makan daging pelanduk terutama ketika Atuk masih sihat.

            “Bangunlah Teh...mari kita menepuk pelanduk..” kata Ayah Kotek bergurau memanggil Atuk aku ( namanya Putih Ibrahim dan panggilan dikampung ialah Tok Aki Teh).

            Dan sememangnya jelas kelihatan Atuk tersenyum. Dan memang sakit perut Atuk sudah banyak berkurangan. Dan Atuk sudah boleh duduk. Dan Atuk menyapa semua orang yang datang dengan senyumannya.

            “Ha…tak mati lagi. Aku ingat dah takada dah’ Ayah Koteh masih terus bergurau dengan Atuk diikuti dengan gelak ketawa dan hilaian orang kampung yang hadir.

            Apa yang aku ceritakan adalah benar belaka. Ayak Kotek sememangnya seorang bomoh. Tetapi dalam hal merawat Atuk aku beliau tidak menggunakan apa-apa ‘rawatan’. Dan aku perhatikan (sampai kini aku masih memeikirkan) bahawa kehadiran orang kampung menziarahi Atuk aku merupakan ‘rawatan’ yang paing mujarab sekali. Apatah lagi dengan kata-kata dan pujian mereka yang amat menyenangkan hati pesakit yang akhirnya sembuh secara tersendiri.

            Nilai masyarakat yang sedemikianlah yang telah hilang dan tidak akan terjumpa lagi.

abuhassanadam
15 Mac 2016

           



Monday, March 14, 2016

MINI SKIRT

            Antara perkara yang paling menyeronokkan untuk dilakukan ketika masa lapang ialah melihat gambar-gambar lama. Gambar ketika masih kanak-kanak, ketika masih belasan tahun dan tidak kurang menyeronokkan juga ialah suasana zaman tahun-tahun 1960an.

            Dalam banyak-banyak gambar yang paling menggelikan hati aku ialah apabila ternampak gambar Peah (bukan nama sebenar). Jikalau nak aku bandingkan Peah dulu dengan Peah sekarang macam nak membandingkan ‘langit dengan bumi’. Peah dalam tahun-tahun 60an sememangnya menjadi idaman ramai pemuda.

            Dia anak guru besar sebuah sekolah rendah di daerah ini. Oleh itu tentulah berkemampuan lebih untuk berbelanja membeli pakaian dan bahan solekan lain. Tapi yang aku tak boleh lupa tentang Peah ialah tentang Mini Skirtnya. Ke mana saja dia pergi mesti pakai Mini Skirt atau pun berseluar pendek. Macam lagak anak orang putih. Dan yang peliknya tidak ada siapa pula yang menegur dan melarang. Tentulah apa yang dilakukannya itu mendapat restu dari ayahnya, seorang guru besar sekolah.

            Dan kini Peah telah bertudung lingkup. Hampir tidak dapat aku mengenailinya apabila berjumpa di suatu majlis khenduri perkahwinan anak rakan kami. Peah yang dulunya kecil molek sudah bertukar menjadi seperti ‘guni beras’. Sudah hilang langsung imej Peah yang sentiasa memakai Mini Skirt. Dan dia ketawa sekuat-kuatnya apabila aku bertanyakan tentang Mini Skirtnya.

            Kini sudah amat jarang kelihatan lagi anak-anak gadis Melayu yang memakai pakaian seperti mini skirt. Rata-rata sudah ramai yang bertudung. Samada memenuhi ajaran dan suruhan agama ataupun mengikut fesyen, bukan untuk aku membincangkannya. Yang kelihatan ialah ramai yang bertudung. Ramai yang berhijab.

            Jikalau hendak dipersoalkan tentang bilakah trend bertudung ini bermula, tentulah tidak ada lagi kajian terperinci dilakukan tentang hal sebegini. Cuma yang dapat aku pastikan ialah bahawa pada zaman tahun-tahun 1950an dan 1960an, sekiranya kelihatan wanita memakai tudung, maka sudah pasti yang sipemakai tudung itu seorang Ustazah atau guru agama. Malah ada juga guru agama di sekolah-sekolah Inggeris ketika itu yang tidak memakai tudung walaupun mengajar agama Islam. Ada.

            Selain dari guru-guru agama, tidak ramai yang memilih untuk bertudung. Malah seingat aku, seluruh kampung aku tidak ada yang bertudung. Ini termasuklah ibu aku dan ibu saudara aku. Mereka memakai tudung kepala hanya untuk menghadiri majlis-majlis perkahwinan ataupun istiadat pengkebumian ataupun ketika mengaji di surau. Selain daripada itu amat jarang keilhatan mereka bertudung.

            Malah ramai juga kaum ibu di kampung aku yang tidak memakai baju ketika bertandang ke rumah jiran. Maksud aku mereka hanya ‘bergetang dada’ ia itu mengikat kain mereka melepasi paras dada. Aku jarang sangat melihat ibu saudara aku, Wan Mariam memakai baju ketika bertandang ke rumah kami. Panas…. katanya. Dan yang menjadi kehairanan ialah tidak ada siapa pula yang mempertikaikan perbuatan sedemikian. Tidak pula menjadi ‘buah mulut’ di kampung pada ketika itu. Mungkin agaknya ia sudah merupakan sesuatu yang lumrah yang tidak perlu dipersoalkan lagi.

            Bilakah bermulanya pemakaian tudung secara berleluasa dikalangan wanita Melayu di negara ini?

            Seingat aku, Saudara Anwar Ibrahim lah yang mempelopori kempen agar wanita Melayu/Islam memakai tudung pada penghujung tahun 1960an dan awal 1970an. Dan ada yang mengatakan bahawa Dr Wan Azizah adalah antara gadis Melayu terawal yang memakai tudung ketika menuntut di Dublin dulu. Kata yang empunya cerita. Boleh dipertikai dan diperbahaskan.

            Yang menarik perhatian aku kini ialah mengapa pemakaian tudung dikalangan wanita Melayu ini menjadi begitu popular di Malaysia kini ( awal Kurun ke 21) dan tidak pada tahun-tahun 1920an, 1930an, 1940an, 1950an, 1960an. Apakah kesedaran beragama dikalangan orang Melayu hanya berkesan selepas tahun 1970an. Apakah guru-guru agama sebelum itu tidak menekankan tentang hal-hal sedemikian. Ataupun mungkinkah para alim ulama atau guru agama pada ketika itu tidak begitu berpengaruh dikalangan masyarakat pada ketika itu.

            Dan kini sudah menjadi satu trend di Malaysia melihat wanita Melayu bertudung. Apakah timbulnya trend sedemikian ekoran daripada kesedaran beragama yang begitu kuat ekoran daripada berbagai ceramah dan pencerahan. Mungkin. Namun begitu aku tidak juga memperkecilkan peranan yang dimainkan oleh golongan artis. Disebabkan ramai para artis yang mengambil sikap untuk bertudung telah menyebabkan ramai peminat menjejak langkah ‘role model’ mereka. Bagus.

            Jangan dipersoalkan tentang pengaruh dan keberkesanan ajaran siapa. Yang pentingnya langkah yang diambil adalah amat bersesuaian dengan keperibadian seorang Islam.

abuhassanadam
14 Mac 2016