Monday, March 14, 2016

MINI SKIRT

            Antara perkara yang paling menyeronokkan untuk dilakukan ketika masa lapang ialah melihat gambar-gambar lama. Gambar ketika masih kanak-kanak, ketika masih belasan tahun dan tidak kurang menyeronokkan juga ialah suasana zaman tahun-tahun 1960an.

            Dalam banyak-banyak gambar yang paling menggelikan hati aku ialah apabila ternampak gambar Peah (bukan nama sebenar). Jikalau nak aku bandingkan Peah dulu dengan Peah sekarang macam nak membandingkan ‘langit dengan bumi’. Peah dalam tahun-tahun 60an sememangnya menjadi idaman ramai pemuda.

            Dia anak guru besar sebuah sekolah rendah di daerah ini. Oleh itu tentulah berkemampuan lebih untuk berbelanja membeli pakaian dan bahan solekan lain. Tapi yang aku tak boleh lupa tentang Peah ialah tentang Mini Skirtnya. Ke mana saja dia pergi mesti pakai Mini Skirt atau pun berseluar pendek. Macam lagak anak orang putih. Dan yang peliknya tidak ada siapa pula yang menegur dan melarang. Tentulah apa yang dilakukannya itu mendapat restu dari ayahnya, seorang guru besar sekolah.

            Dan kini Peah telah bertudung lingkup. Hampir tidak dapat aku mengenailinya apabila berjumpa di suatu majlis khenduri perkahwinan anak rakan kami. Peah yang dulunya kecil molek sudah bertukar menjadi seperti ‘guni beras’. Sudah hilang langsung imej Peah yang sentiasa memakai Mini Skirt. Dan dia ketawa sekuat-kuatnya apabila aku bertanyakan tentang Mini Skirtnya.

            Kini sudah amat jarang kelihatan lagi anak-anak gadis Melayu yang memakai pakaian seperti mini skirt. Rata-rata sudah ramai yang bertudung. Samada memenuhi ajaran dan suruhan agama ataupun mengikut fesyen, bukan untuk aku membincangkannya. Yang kelihatan ialah ramai yang bertudung. Ramai yang berhijab.

            Jikalau hendak dipersoalkan tentang bilakah trend bertudung ini bermula, tentulah tidak ada lagi kajian terperinci dilakukan tentang hal sebegini. Cuma yang dapat aku pastikan ialah bahawa pada zaman tahun-tahun 1950an dan 1960an, sekiranya kelihatan wanita memakai tudung, maka sudah pasti yang sipemakai tudung itu seorang Ustazah atau guru agama. Malah ada juga guru agama di sekolah-sekolah Inggeris ketika itu yang tidak memakai tudung walaupun mengajar agama Islam. Ada.

            Selain dari guru-guru agama, tidak ramai yang memilih untuk bertudung. Malah seingat aku, seluruh kampung aku tidak ada yang bertudung. Ini termasuklah ibu aku dan ibu saudara aku. Mereka memakai tudung kepala hanya untuk menghadiri majlis-majlis perkahwinan ataupun istiadat pengkebumian ataupun ketika mengaji di surau. Selain daripada itu amat jarang keilhatan mereka bertudung.

            Malah ramai juga kaum ibu di kampung aku yang tidak memakai baju ketika bertandang ke rumah jiran. Maksud aku mereka hanya ‘bergetang dada’ ia itu mengikat kain mereka melepasi paras dada. Aku jarang sangat melihat ibu saudara aku, Wan Mariam memakai baju ketika bertandang ke rumah kami. Panas…. katanya. Dan yang menjadi kehairanan ialah tidak ada siapa pula yang mempertikaikan perbuatan sedemikian. Tidak pula menjadi ‘buah mulut’ di kampung pada ketika itu. Mungkin agaknya ia sudah merupakan sesuatu yang lumrah yang tidak perlu dipersoalkan lagi.

            Bilakah bermulanya pemakaian tudung secara berleluasa dikalangan wanita Melayu di negara ini?

            Seingat aku, Saudara Anwar Ibrahim lah yang mempelopori kempen agar wanita Melayu/Islam memakai tudung pada penghujung tahun 1960an dan awal 1970an. Dan ada yang mengatakan bahawa Dr Wan Azizah adalah antara gadis Melayu terawal yang memakai tudung ketika menuntut di Dublin dulu. Kata yang empunya cerita. Boleh dipertikai dan diperbahaskan.

            Yang menarik perhatian aku kini ialah mengapa pemakaian tudung dikalangan wanita Melayu ini menjadi begitu popular di Malaysia kini ( awal Kurun ke 21) dan tidak pada tahun-tahun 1920an, 1930an, 1940an, 1950an, 1960an. Apakah kesedaran beragama dikalangan orang Melayu hanya berkesan selepas tahun 1970an. Apakah guru-guru agama sebelum itu tidak menekankan tentang hal-hal sedemikian. Ataupun mungkinkah para alim ulama atau guru agama pada ketika itu tidak begitu berpengaruh dikalangan masyarakat pada ketika itu.

            Dan kini sudah menjadi satu trend di Malaysia melihat wanita Melayu bertudung. Apakah timbulnya trend sedemikian ekoran daripada kesedaran beragama yang begitu kuat ekoran daripada berbagai ceramah dan pencerahan. Mungkin. Namun begitu aku tidak juga memperkecilkan peranan yang dimainkan oleh golongan artis. Disebabkan ramai para artis yang mengambil sikap untuk bertudung telah menyebabkan ramai peminat menjejak langkah ‘role model’ mereka. Bagus.

            Jangan dipersoalkan tentang pengaruh dan keberkesanan ajaran siapa. Yang pentingnya langkah yang diambil adalah amat bersesuaian dengan keperibadian seorang Islam.

abuhassanadam
14 Mac 2016


            

No comments:

Post a Comment