DI
TEPIAN TASIK MARDI
Secara
kebetulan semalam ( 24 Mac 2016) aku melalui kawasan pertanian MARDI. Entah
macam mana aku ‘tersesat’ ke situ. Aku tidak pernah pun memasuki kawasan
pertanian yang telah wujud ‘zaman-berzaman’ ini. Namanya sememangnya biasa
kedengaran. Dan aku teringat juga ada beberapa orang kawan aku yang pernah
bertugas di sini. Waktu ‘muda-muda’ dulu.
Tak
terfikir pula aku kawasan MARDI ini merupakan kawasan ‘kampung’ yang cantik.
Dan aku ingin ‘menasihat’kan kawan-kawan yang merindui keadaan kampung,
pergilah ke MARDI. Ada pokok-pokok rimbun, ada tasik yang membiru, malah para
pekerja yang sempat aku jumpa dan temui juga seperti orang kampung. Maksud aku
tentang ‘budi bahasa’ mereka. Dan suasana di salah sebuah kantin di MARDI (
tidak jauh dari tasik) juga seperti suasana kampung. Barang makanan yang
terjual di situ juga dengan harga yang amat berpatutan. Sedap pulak tu.
Terutama gulai kambingnya!...
Yang
aku nak cerita bukan cerita MARDI. Cerita kantin di MARDI juga bukan. Yang
menarik perhatian aku ialah tentang larian merentas desa yang dijalankan di
situ ketika aku melalui kawasan itu. Aku tak tahu sekolah mana yang menjalankan
larian merentas desa pada ketika aku berada di situ. Yang aku pastinya mestilah
sekolah anak orang kaya-kaya. Dan sekolah berkenaan bukan dari kawasan Serdang
atau Kajang. Dari jauh datangnya mereka memandangkan terdapat puluhan buah bas
yang membawa anak-anak ke mari. Maknanya datang dari Kuala Lumpur atau Subang
Jaya. Tentunya sekolah swasta. Sekolah orang kaya-kaya.
Suasana
sebegini pastinya menghiburkan aku, seorang tua yang sebahgian dari usiaku
diabdikan untuk berkecimpung bersama anak-anak ( tidak kira dan tidak mengenal
bangsa, agama dan warna kulit). Alangkah gembiranya hati dan perasaan aku
melihatkan anak-anak yang berada dalam lingkungan belasan tahun ini berlari
dengan riang seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan perasaan mereka
berbanding dengan ibu bapa mereka yang terpaksa memikirkan tentang bahagaimana
untuk mendapatkan wang untuk membiyai persekolahan mereka yang pastinya dalam
jumlah yang agak besar.
Aku
duduk di sebuah kerusi berhampiran dengan tasik biru sambil menghirup udara
nyaman pagi hening. Di samping itu aku leka juga memerhatikan barisan
kanak-kanak berlari. Semua bangsa. Melayu, Cina, India, dan ada juga bangsa
lain. Mereka sama-sama berlari dan ketawa tanpa memikirkan yang mereka
berlainan bangsa dan agama. Pastinya mereka akan memberikan pertolongan antara
satu dengan yang lain sekiranya dalam arus larian mereka nanti ada yang
mendapat kemalangan. Aku yakin yang mereka akan membantu antara satu dengan
yang lain.
Bahagia
sungguh perasaan aku pada pagi ini. Terlalu banyak perkara yang membahagiakan
hati orang tua ini. Namun yang paling mengembirakan ialah melihatkan persefahaman
dan keakraban ‘anak-anak’ Malaysia dari semua bangsa bersatu padu, bergembira
dalam larian merentas desa. Mungkin juga wujud keadaan ‘anak’anak’ yang
bersikap begini didorongkan oleh guru-guru sekolah ini yang mendorongkan agar
pelajar-pelajar mereka bersikap demikian. Suatu yang jelas ‘diperlihatkan’ di
depan mata aku ialah sikap guru-guru yang seolah-olah tidak menunjukkan sikap
perkauman antara satu dengan yang lain. Yang bertudung kelihatan semacam begitu
mesra dengan yang tidak bertudung. Yang berkulit cerah tidak menampakkan
kejanggalan bergaul mesra dengan yang berkulit sawo-matang. Mungkin agaknya
wujud keadaan harmoni yang sebegini disebabkan kepimpinan atasan sekolah ini
yang mahukan keadaan sedemikian. Agaknya begitulah.
Betul
rupanya apa yang sentiasa diperkatakan oleh masyarakat umum. Jikalau dah pernah
jadi guru, selama-lamanya akan menjadi guru. Amat bahagia sekiranya dipanggil
‘Cikgu’. Anak-anak yang berderetan lari dihadapan mata aku tidak tahu bahawa
aku juga pernah berlari semacam mereka berlari. Dan para guru yang ada di situ
juga tidak tahu bahawa aku juga pernah seperti mereka pada suatu ketika dulu
mengawasi anak-anak lari dalam larian merentas desa (X-Country).
Terbayang
di mata aku bagaimana Chan Siew, Malik, Sahrifuddin, Foo Chor, Krishnan, Subba
Singh (semuanya berkaki ayam) disekitar tahun-tahun awal 60an lari merentas
desa melalui Malay College, Rumah Sakit Kuala Kangsar, terus ke kawasan Basong
dan balik ke sekolah (Clifford School, Kuala Kangsar). Dah lama ‘ceita’ ini
berlaku tetapi masih terbayang dan masih segar dalam ingatan aku. Cuma yang
agak ada persamaan dengan anak-anak yang lari dihadapan mata aku itu ialah
hilai dan ketawa kami dulu semacam serupa dengan hilai dan ketawa anak-anak
yang berlari di hadapan aku. Ketika itu kami juga tidak mengenali warna kulit.
Satu
pagi aku menghabiskan masa di tepian Tasik MARDI. Pagi itu penuh dengan sejarah
dan ingatan nostalgia. Aku tunggu peserta terakhir berlalu hanya untuk ‘memuas
dan membahagiakan’ hati dan perasaan yang sudah lama kontang ini. Sampai ke
peserta terakhir aku perhatikan bahawa semacam tidak ada batasan perkauman
antara pelajar-pelajar yang terdiri dari anak-anak Malaysia ini.
Hanya
aku mengharapkan agar guru-guru yang mendidik anak-anak ini akan terus
menyemaikan perasaan persaudaraan antara kaum-kaum di Malaysia supaya
benar-benar wujud bangsa Malaysia menepati ertikata sebenarnya satu ketika
nanti. Persetankan anasir-anasir luar yang cuba mengeruhkan hubungan kaum di
negara yang tercinta ini.
Aku
renung lama-lama tasik biru MARDI. Aku ‘hirup’ puas-puas udara bersih dan
hembusan bayu dipersekitaran tasik MARDI. Aku pulang dengan persaan dan hati
yang ‘terubat’ sebelum aku singgah sebentar untuk menikmati gulai kambing di
salah sebuah restoran di MARDI.
abuhassanadam
25 Mac 2016
orang politiklah yg memainkan isu perkauman...ingat Lee Kim sai, Najib dan shahidan kassim....mereka pernah clupar dgn isu bangsa...ada pula yg kucup keris dgn lagak mengancam...suku sakat mana yg gagalkan perpaduan kaum anak anak@ generasi muda kita?
ReplyDeleteorang politiklah yg memainkan isu perkauman...ingat Lee Kim sai, Najib dan shahidan kassim....mereka pernah clupar dgn isu bangsa...ada pula yg kucup keris dgn lagak mengancam...suku sakat mana yg gagalkan perpaduan kaum anak anak@ generasi muda kita?
ReplyDeletememang ya....terharu membaca petikan Pak Abu...setan manakah agaknya yang mencarca marbakan perhubungan kaum di negara yang tercinta ini?? Semoga keadilan dan kesamarataan menjadi asas untuk menunjang kukuh perhubungan antara kaum Malaysia akan datang....ameen
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete