Wednesday, March 2, 2016

MARUAH NEGARA HARUS DIPULIHKAN SEGERA

            Sebenarnya rakyat Malaysia sudah tidak tahu dimana lagi ‘nak disorokkan muka’. Ke mana saja kita pergi, pasti ada saja yang bertanya tentang keadaan negara kita. Walaupun cara mereka mengemukakan soalan-soalan itu agak ‘bersopan’ namun akan tetap juga ‘menyucuk’ tulang sum-sum.

            Sebagai rakyat yang sedar bahawa tidak harus ‘meludah ke langit’ aku cuba dengan berbagai-bagai alasan untuk melindungi ‘pekung dan cabuk’ yang ‘sedang berulat’ yang ‘baunya’ amat menyucuk hidung sesiapa saja yang terhidu. Walaupun yang mendengarkan penjelasan yang kita berikan itu akan tetap ‘menganggukkan kepala’ menunjukkan simpati namun dari gerak geri ‘sekilas ikan diair’ kita dapat meneka ‘jantan atau betinanya’. Tentulah sudah agak letih ‘menangkis’ berbagai-bagai hujah yang dilemparkan kepada negara dan kadang-kadang terfikir juga bahawa segala tangkisan itu adalah seperti ‘menegakkan benang basah’. Selama mana lagi rakyat Malaysia yang selalu keluar negara mengamalkan sikap sedemikian, mempertahankan ‘kebenaran’ yang hampir tidak benar kesahihannya.

            Apabila dilihat keadaan dalam negara kini ternampak semacam keraguan yang berterusan dikalangan rakyat. Isu IMDB dan isu wang RM 2.6billion yang tersimpan di akaun DS Najib sentiasa menghantui pemikiran rakyat. Berani aku mengatakan bahawa majortiti rakyat Malaysia kini tetap ragu-ragu dengan apa juga penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan dengan dua isu yang maha kritikal itu. Sama ada penjelasan berkenaan datangnya dari DS najib sendiri atau daripada para menteri ataupun ‘pengesahan’ dari Peguam Negara, sebahgian besar rakyat negara ini masih tidak dapat diyakini.

            Persoalannya ialah mengapa begini jadinya. Maksud aku mengapa terjadi sedemikian sikap rakyat di negara ini terhadap pihak yang bertanggungjawab. Rakyat seolah-olah sudah hilang kepercayaan terhadap apa juga penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Mungkin masih ada lagi segelintir rakyat yang tidak bersikap sedemikian, namun bilangannya tentulah terlalu kecil. Dapat dirasakan bahawa apa sahaja yang diperkatakan oleh berita yang disiarkan melalui radio dan TV arus perdana akan disambut dengan perasaan yang begitu negatif. Tidak yakin dan tidak percaya.

            Disamping isu IMDB dan RM 2.6billion, kini rakyat telah disogokkan pula dengan isu baru ia itu tentang TPPA dan perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa 1.5 juta rakyat dari negara itu untuk datang sebagai pekerja di Malaysia. Rakyat Malaysia menentang tindakan pihak kerajaan berbuat demikian. Lantas dibatalkan hasrat berkenaan (kononnya). Sepatutnya rakyat harus percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu. Namun rakyat seolah-olah terus ‘mentertawakan’ kenyataan sedemikian. Rakyat semacam tidak percaya.

            Kenyataan seorang Timbalan Perdana Menteri sudah tidak diyakini rakyat. Dan ada kala dan ketikanya, kenyataan Perdana Menteri juga diketepikan oleh rakyat apatah lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri. Sampai bila keadaan jadi begini.Dalam hal  isu ‘pendatang’ samada dari Indonesia atau dari Bangladesh atau dari India, Burma seharusnya rakyat merasa curiga dengan kehadiran mereka. Apa tidaknya.

            Lihat sajalah suasana di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang pada hari cuti akan kelihatan suasana negara Malaysia yang sudah bertukar kepada suasana seperti di negara lain, semacam kita berada di Bangladesh atau berada di Jakarta atau berada di New Delhi. Setiap pelusuk bandar berkenaan dipenuhi dengan warga asing dan seolah-olah warga negara Malaysia sudah diketepikan. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila sudah ada warga asing ini yang cuba menceburi lapangan perniagaan di negara ini yang lantas ‘menenggelamkan’ putera bumi negara ini.

            Keadaan negara Malaysia kini adalah dalam keadaan yang amat menyedihkan. Mungkin itulah perasaan rakyat terbanyak, mengenangkan nasib yang sedang menimpa, yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Rakyat merintih, tetapi dengan siapa hendak mengadu. Rakyat amat mengharapkan agar sesuatu tindakan dilakukan demi untuk memulihkan keadaan negara yang tercinta supaya tegak seperti sediakala. Namun golongan pemimpin yang macam manalah agaknya yang akan memperbetulkan keadaan ini.

            Maruah negara amat tercemar ketika ini. Rakyat Malaysia seolah-olah sudah kehilangan semangat bukan sahaja untuk maju, malah untuk terus hidup pun, rakyat sudah dalam keadaan lemah longlai. Isu IMDB dan wang RM 2.6billion terus menerus menghantui pemikiran rakyat Malaysia. Penafian demi penafian terus menerus dilakukan namun rakyat masih belum yakin dengan penafian yang dibuat. Malah akhbar-akhbar luar negara terus menerus mendedahkan kisah kepincangan yang berlaku dalam negara.

            Bagi aku DS Najib sebagai Perdana Menteri harus smengambil tindakan drastik bagi memulihkan keyakinan rakyat negara ini. DS Najib harus mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Wall Street Journal dan membawa golongan yang mendedahkan isu IMDB dan RM 2.6 billion itu ke muka pengadilan. Rakyat seolah-olah menantikan tindakan sedemikian dilakukan oleh Perdana menteri.

            Hanya dengan berbuat demikian akan dapat tertebus kembali maruah negara Malaysia yang tercinta ini. Dan yang paling menakut dan menggerunkan  rakyat negara ini ialah kalau-kalau negara yang tercinta ini akan tergadai satu hari kelak.

abuhassanadam
2 Mac 2016

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Skrg 80% pemilik kedai runcit dimiliki oleh warga Pakistan di kelantan... 3,4 tahun lg... Melayu akan layu jika perkara ini dikuasai oleh puak mereka ini....mudahnya warga asing menguasai bidang peruncitan...dulu kedai Melayu, Skrg dah bertukar tangan.. Baru sebulan dua niaga dah pandai kecek kelate..huhuhu...

    ReplyDelete