Monday, March 7, 2016

DEKLARASI RAKYAT BUKAN DEKLARASI PEMBANGKANG

            Deklarasi rakyat yang matlamanya adalah untuk mensejahterakan keadaan negara sudah diputar-belitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seolah-olah deklarasi itu merupakan deklarasi pakatan pembangkang. Hasratnya yang murni untuk menyelamatkan keadaan negara juga sudah dipesongkan. Walaupun ramai yang menyedari hakikat yang matlamat itu  telah dipesongkan , masih ada juga segelintir yang merasakan bahawa apa yang dilakukan oleh Tun Mahthir itu sebagai sesuatu yang tidak kena, apatah lagi apabila digambarkan yang Tun Mahathir sanggup bersekongkol dengan dengan DAP dan PKR.

            Sepatutnya Tun Mahathir duduk ‘diam-diam’ di rumah, ‘bermain’ dengan cucu-cucu. Ataupun pergi melancong dan makan angin sambil menghabiskan sis-sisa hidup yang masih ada. Itulah antara saranan yang selalu diutarakan oleh mereka yang amat ‘cemburu’ denga penglibatan Tun Mahathir dalam menerajui Deklarasi Rakyat yang sedang diperkatakan ini.

            Ada segolongan pemimpin UMNO yang begitu marah dengan sikap Tun Mahathir bersekongkol dengan sekumpulan rakyat yang mahu menyingkirkan DS Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Belum reda kemarahan mereka terhadap Tun Mahathir yang keluar dari UMNO disambung pula dengan usaha beliau menerajui gerakan untuk menyingkirkan DS Najib itu. Bertambah meluap-luaplah kemarahan golongan ini terhadap Tun Mahathir.

            Tidak salah bagi aku untuk mengkritik tindakan Tun Mahathir itu. Yang aku rasa tidak berapa kena ialah menggunakan bahasa kasar untuk mengkritik ‘orang tua’ yang bukan sahaja patut dihormati sebagai orang tua, tetapi ini bukan calang-calang ‘orang tua’ yang pernah memimpin negara ini selama 22 tahun. Rekod kejayaannya memimpin negara ini tidak siapa yang boleh menafikannya, walaupun ada terdapat cacat celanya. Kejayaannya meletakkan negara ini dipersada dunia tidak siapa yang boleh mempertikaikannya. Tidak ada Perdana Menteri yang lebih berjasa kepada negara ini berbanding dengan sumbangan yang diberikan oleh Tun Mahathir.

            Pemimpin UMNO yang masih ‘lembut bubunnya’ mengkritik ‘secara biadap’ tindakan Tun Mahathir menyertai gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan DS Najib Tun Razak. Pemimpin UMNO yang masih ‘setahun jagung’ menempelak tindakan Tun Mahathir. Pemimpin UMNO yang baru ‘sejengkal tanduk’ nya marah-marah dan mengutuk tindakan Tun Mahathir. Dan ramai juga pemimpin UMNO yang pernah mencium tangan Tun Mahathir dan ‘melutut’ kepadanya suatu ketika dulu turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Tun Mahathir kini. Betul juga agaknya kata Tun Mahathir bahawa ‘orang Melayu mudah lupa’.

            Tidak ramai pemimpin di negara ini yang sanggup mengambil risiko seperti Tun Mahathir. Betul apa yang dikatakan oleh kebanyakan orang bahawa Tun Mahthir sepatutnya menghabiskan sisa-sisa hidupnya ‘bermain’ dengan cucu-cucunya atau pun melancong makan angin seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin UMNO yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan. Sepatutnya Tun Mahthir berbuat begitu dan bukan bersama-sama menyertai gerakan untuk menyingkirkan DS Najib dan membetulkan keadaan negara yang dalam keadaan kemelut sebegitu.

            Sebenarnya sudah tidak ramai pemimpin di negara ini yang boleh dikategorikan sebagai orang perjuangan. Ramai ‘pemimpin’ di negaar ini mendabik dada mahu menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin, tetapi tidak langsung menunjukkan ciri-ciri kepimpinan sebagai ‘orang perjuangan’. Pendek kata tidak wujud pejuang tulin dalam negara ini. Ramai yang menonjolkan diri sebagai pemimpin adalah terdiri dari mereka yang merupakan pemimpin untuk menjaga kepentingan diri dan keluarga dan amat jauh menyimpang dari perjuangan sebagai ‘orang perjuangan’.

            Bagi mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin eloklah renung dan tilik diri mereka itu. ‘Ukurlah’ diri mereka dengan sumbangan yang telah diberikan oleh Tun Mahathir kepada negara. Jikalau ‘kail hanya panjang sejengkal janganlah laut hendak diduga’. Mereka harus sedarkan diri mereka sendiri bahawa perjuangan mereka untuk negara dan bangsa ataupun untuk perkara-perkara lain. Apakah mereka tidak termasuk dalam golongan yang ‘menghayati’ falsafah yang diketengahkan oleh DS Najib bahawa ‘cash is king’. Apakah mereka dapat menafikan bahawa sebenarnya mereka juga adalah ‘orang perjuangan’ yang menghayati falsafah berkenaan.

            Golongan pemimpin yang ‘bubunnya maseh lembut’ itu harus sedar bahawa amat tidak ‘layak’ bagi mereka untuk mengkritik tentang tindakan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh seperti Tun Dr. Mahathir atau Saudara Anwar Ibrahim atau YB Lim Kt Siang kerana tokoh-tokoh ini telah melalui berbagai dugaan dan pancaroba dan masih terus unggul dalam memperjuangkan idealisme perjuangan mereka. Mereka tidak terpengaruh dengan falsafah ‘cash is king’. Dan kadang-kadang kelihatan mereka lebih mementingkan bangsa dan negara daripada keluarga diri sendiri.

            Para pemimpin muda yang baru belajar dan mahu berjinak-jinak dengan ‘sepak terajang’ politik harus belajar daripada beberapa tindakan para ‘pejuang’ yang sanggup bersekongkol dalam satu gerakan yang menggerakkan Deklrasi Rakyat itu. Anak muda harus faham bahawa seorang yang menggelarkan dirinya ‘pejuang’ patut sedar bahawa perjuangan membela bangsa dan negara telah mengatasi segala-galanya.

            ‘Pemimpin’ yang tidak menghayati perjuangan sebenarnya tentunya merasa hairan melihatkan para ‘pejuang’ yang disangkakan bermusuhan sebelum ini sanggup bersekongkol memperjuangkan sesuatu demi kepentingan bangsa dan negara. Mereka tentunya merasa hairan bagaimana YB Encik Lim Kit Siang boleh melupakan tindakan Tun Mahathir yang meletakkannya di bawah ISA suatu ketika dahulu. Anak muda juga tentu hairan melihatkan bagaimana Saudara Anwar Ibrahim boleh ‘melupakan’ tindakan Tun Mahathir terhadapnya demi untuk kesejahteraan bangsa dan negara.

            Betul apa yang dikatakan bahawa ‘dalam politi tidak ada musush yang kekal dan tidak ada juga sahabat yang terus berkekalan’. Tepat kata-kata demikian. Dan anak muda yang mahu berjinak-jinak dengan politik dan kepimpinan eloklah memerhatikan dengan teliti gerakan yang sedang berjalan kini. Dan kepada ‘pemimpin’ yang ‘tanduk panjang sejengkal’ eloklah belajar dari tindakan-tindakan yang dilakukan oleh ahli politik veteran ini. Dan seharusnya ‘sedar diri’ sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ditertawakan.

            Deklarasi Rakyat akan terus menerus memperjuangkan rakyat Malaysia dan inilah sebenarnya forum dan tapak sebenar untuk membela rakyat Malaysia menjelang 2020.

abuhassanadam
7 Mac 2016


No comments:

Post a Comment