Sunday, March 13, 2016

KE MANA PERGINYA ADAB DAN KE MANA HILANGNYA MARUAH DIRI?

            Jikalau sudah tidak ada adab maka digelar oleh orang tua-tua kita biadap, tidak beradab, kurang adab. Dan jikalau tidak beradab sopan maka digelar oleh orang tua-tua sebagai tidak bersopan. Sudah hilang adab sopannya. Maknanya bagi orang Melayu khususnya yang berpegang teguh kepada adat dan kesopanan dalam masyarakat Melayu, semacam ‘hilang’lah Melayunya jika sudah tidak beradab dan bersopan terutama kepada orang yang lebih tua kepada kita.

            Mungkin apa yang aku katakan itu adalah sebagai kata-kata yang terkeluar dari mulut orang tua yang sudah nyanyuk. Mungkin orang Melayu kini sudah tidak begitu. Budaya orang Melayu kini mungkin sepertimana ‘budaya’ yang sedang diperkenal dan diperagakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO kini. Dan mungkin cara hidup yang sedemikian yang diperlukan oleh orang Melayu untuk maju dan bersesuaian dengan zaman yang dilalui – Kurun ke 21.

            Terlebih dahulu biarlah terus terang aku katakan bahawa banyak perkara yang berlaku kini adalah sebenarnya menguji minda ‘Melayu’ yang hidup zaman penjajahan British. Tentulah aku termasuk dalam golongan ‘manusia’ sedemikian. Dan tentulah aku juga yang tergolong dalam manusia  yang boleh dianggap sebagai kolot dan tidak mengikuti perkembangan zaman sebagaimana yang dipelopori oleh pemimpin UMNO dan segelintir manusia kini.

            Sebagai manusia ‘kolot’ yang terdidik dengan prinsip-prinsip hidup yang berteraskan adab dan sopan, berbudi dan berbahasa, amatlah tidak senang apabila melihat ‘budaya baru’ yang sedang diperkenalkan oleh segelintir pemimpin UMNO kini. Aku amat sedih melihatkan bagaimana ‘layanan’ yang diberikan oleh segelintir pemimpin UMNO terhadap Tun Dr. Mahathir. Semacam sudah tidak ada adab dan sopan langsung ‘layanan’ yang mereka berikan kepada Tun Mahathir.

            Masih terbayang di mata tentang golongan yang mengutuk Tun Mahathir kini adalah juga merupakan golongan yang mencium tangan Tun Mahathir. Dan golongan inilah yang mengekori ke mana saja Tun Mahathir pergi. Dan golongan ini jugalah yang sentiasa memberikan pujian-pujian terhadap apa yang dilakukan oleh Tun Mahthir. Pendek kata golongan ini jugalah yang sekiranya disuruh memanjat Petronas Twin Tower menggunakan cara memanjat batang kelapa pasti akan ditunai oleh mereka. Kini golongan inilah yang begitu lantang menentang dan menuduh Tun Mahthir dengan berbagai tuduhan. Mungkin disebabkan tidak ada apa-apa habuan lagi yang akan diberikan kepada mereka olehnya. Mungkin Tun Mahathir tidak ada ‘cash’ untuk dihulurkan. Mungkin.

            Masih segar juga dalam ingatan aku bagaimana ‘pemimpin-pemimpin’ yang ada sekarang ( ramai yang berjawatan Menteri ) ‘berduyun-duyun’ meninggalkan Saudara Anwar Ibrahim, setelah beliau dipecat dari jawatanya. Hampir dua puluh tahun peristiwa itu berlaku, namu masih terbayang di mataku pada malam rumah Anwar didatangi oleh pihak berwajib untuk membawanya ke suatu destinasi yang tidak tahu dimana dengan tidak mempedulikan perasaan anak-anak beliau yang masih kecil dan amat memerlukan kasih sayang seorang ayah.

            Dan bermula daripada peristiwa itu, bermulalah siri kutukan demi kutukan terhadap Saudara Anwar Ibrahim. Dan bermulalah siri-siri ‘pelarian’ rakan-rakan yang mahu menjauhkan diri dari beliau. Betul kata orang tua-tua “Yang ketawa sememangnya ramai dan yang menangis hanya seorang’. Tetapi bagi Saudara Anwar berbeza. Aku perhatikan sehingga kini bahawa untuk Saudara Anwar, ‘ yang menangis ramai dan yang ketawa hanya beberapa orang’.

            Aku dapat melihat dengan jelas sifat dan perangai manusia setelah Anwar ditangkap dan dipenjarakan. Rakan-rakannya dalam UMNO yang kononnya sanggup sehidup semati dengan beliau, kebanyakannya meninggalkan beliau dan semacam terus menerus memusuhi beliau sedangkan rakan-rakan ‘seperjuangan’ ( yang diibaratkan sama-sama timbul dan tenggelam) akan terus bersama beliau sehingga kini. Dan yang menghubung dan mengeratkan perhubungan itu bukannya wang ringgit tetapi ialah semangat perjuangan untuk membela rakyat.

            Dan nasib TS Muhyiddin aku merasakan lebih kurang sama dengan nasib yang menimpa Saudara Anwar Ibrahim. Belum pun sampai satu bulan beliau diketepikan oleh kepimpinan UMNO, beliau telah dikutuk dan dituduh dengan berbagai tuduhan. Seolah-olah tidak ada langsung sumbangan dan jasa TS Muhyiddin kepada UMNO. Seolah-olah TS Muhyiddin dianggap sebagai sampah yang terbuang.

            Itulah budaya yang sedang disebar-luaskan oleh UMNO kini. Mungkin aku tersilap untuk membuat andaian sedemikian. Namun itulah merupakan persepsi masyarakat kini terhadap UMNO kini, khususnya kepimpinan UMNO samada peringkat tinggi atau pun di peringkat akar umbi. Mungkin agak keterlaluan aku membuat andaian sedemikian.

            Dan mungkin juga nasib yang serupa akan menimpa DS Najib dan keluarganya nanti apabila sampai pembalasan dari Allah suatu ketika nanti. Mungkin tidak. Dan juga nasib para pemimpin UMNO yang sedang bersekongkol dengan beliau kini. Mungkin tidak lama lagi….


abuhassanadam
13 Mac 2016



1 comment:

  1. Kita buka aib rakan kita. Sampai masanya aib kita pula dibuka.adil kan

    ReplyDelete