DI BAWAH POHON MANGGIS
Kini
pohon Manggis ditepi kedai Pak Uda dah tidak ada lagi. Mati kerana sudah
terlalu tua agaknya. Dan seingat aku terlalu banyak ‘jasa dan sumbangan’ pohon
mangggis di hadapan kedai Pak Uda itu. Bukan sahaja buahnya yang menjadi idaman
penduduk kampung ini tetapi pohonya yang rimbun memberikan teduhan asli kepada
pengunjung yang mengunjungi kedai Pak Uda.
Yang
masih segar dalam ingatan aku, di bawah pohon manggis itu ada disediakan
‘pangkin’ oleh Pak Uda, sebagai tempat duduk dan berehat ( dan juga tempat
bersembang)orang kampung. Pendek kata semacam ‘parlimen kampung’ dimana mereka
berhujah dan memperkatakan sesuatu isu ‘dunia’ yang termampu untuk mereka
membincangkannya. Aku masih teringat bagaimana Pak Haji Yaakub cuba memperkatakan
sesuatu mengenai Tunku Abdul Rahman, mengenai kegigihan Tunku berusaha untuk
mendapatkan kemerdekaan tanah air.
Aku
hairan juga bagaimana Pak Haji Yaakub boleh menghujahkan sesuatu mengenai Tunku
Abdul Rahman sedangkan setahu aku beliau tidak pun pernah ‘keluar’ dari kampung. Dan setahu aku
tidaklah setinggi mana pendidikan Pak Haji Yaakub. Yang aku tahu dia selalu
membaca surat khabar. Itu pun akhbar Jawi ‘Utusan Melayu’. Pada ketika itu
radio belum ada lagi di kampung aku. TV tentulah ‘jauh panggang dari api’.
Tidak
dapat aku pastikan samada tepat fakta yang diperkatakan oleh Pak Haji Yaakub
mengenai Tunku Abdul Rahman itu. Yang dapat aku perhatikan ialah ramai yang
‘menganga’ dan menganggukkkan kepala mendengar ‘syarahan ‘ Pak Haji Yaakub.
Cara beliau menceritakan tentang Tunku Abdul Rahman seolah-olah macam rapat
benar hubungan beliau dengan Tunku Abdul Rahman. Seolah-olah Tunku Abdul Rahman
sentiasa bersama beliau ketika bertemu dengan rakyat ketika mahu menuntut
kemerdekaan negara.
Pangkin
di bawah pohon Manggis depan kedai Pak Uda akan dipenuhi oleh pengunjung,
terutama waktu petang menjelang senja. Bermula dari pukul 4.00 petang pangkin
sudah mula dipenuhi. Ada yang datang ke situ semata-mata untuk merehatkan badan
sambil menikmati angin petang dari hembusan celah Gunung Pondok. Ada yang
datang ke situ untuk ‘bersantai’ dan beramah mesra dan berbual-bual sementara
menunggu senja. Itulah bentuk santai penduduk kampung aku pada ketika itu.
Di
atas pangkin itu juga Bakri ( anak Pak Uda) membuka ‘saloon’ gunting rambut.
Bakri sama sebaya dengaan aku. malah kami pergi ke sekolah pondok (mengaji
Quraan) bersama. Cuma bezanya Bakri bersekolah di sekolah Melayu Paya Salak dan
aku belajar di sekolah orang putih di Kuala Kangsar. Namun kami tetap sentiasa
bersama.
Bakri
membuka ‘saloon’nya di atas pangkin di bawah pohon Manggis itu semenjak dia
berumur 16 tahun. Dan semenjak itu jugalah aku menjadi pelanggan tetap
‘saloon’nya. Maknanya aku sentiasa mengharapkan Bakri untuk menggunting rambut
aku, sehinggalah Bakri terpaksa meninggalkan aku kerana menyahut seruan Illahi.
Bakri meninggal ketika berumur lingkungan 40 tahun.
Seingat
aku upah untuk menggunting rambut aku bermula dengan 30sen ia itu ketika kami
sama-sama seusia 16 tahun. Aku ‘merelakan’ rambut aku digunting oleh Bakri
walaupun aku sedar bahawa Bakri pada ketika itu masih dalam ‘latihan’. Dan
Bakri memang berbakat dalam hal menggunting rambut. Tidak pun sampai tiga bulan
membuka ‘saloon’nya, ‘saloon’nya sudah begitu popular terutama dikalangan
kanak-kanak di kampung itu. Antara tarikannya ialah dari segi harga. Hanya 30
sen. (Pada ketika itu dengan wang 30 sen dapatlah menikmati sepinggan mee
goreng atau mee rebus di kedai Tengah pekan Padang Rengas).
Aku
rasa tidak ada ‘saloon’ di dunia ini yang menyerupai ‘saloon’ Bakri. Tidak ada
kain putih untuk menyelimuti tubuh ketika bergunting. Kerusi bergunting
hanyalah pangkin di bawah pohon manggis. Selepas selesai bergunting, terus
pergi ke telaga yang terletak berhampiran dengan kedai Pak Uda untuk mandi dan
membersihkan rambut yang melekat di badan.
Kebiasaannya
aku tidak akan melepaskan peluang untuk bergunting dengan Bakri walaupun usia
ku dalam lingkungan 40 han juga. Setiap kali aku balik kampung, pasti aku
bergunting dengan Bakri. Dan Bakri juga terlalu gembira dan amat bahagia sekali
apabila aku bergunting di ‘saloon’nya di bawah pokok Manggis depan kedai Pak
Uda ( ayah Bakri). Untuk berbual kisah-kisah lama.
Kini
Bakri sudah tidak ada lagi. Dan ketika bergunting rambut di Saloon Andrew di
Hendon Central, London ketika aku bertugas di sana pada suatu ketika dulu aku
teringatkan ‘saloon’ Bakri di bawah pohon Manggis depan Kedai Pak Uda.Dan aku
merupakan pelanggan tetap di Saloon Andrew.
Pada
ketika itu, upah bergunting di Saloon Andrew adalah 12 Pauns ( RM72.00) dan
bergunting dengan Bakri hanya 30 sen. Maknanya aku boleh berjimat selama 20
tahun jika bergunting dengan Bakri berbanding dengan sekali upah gunting rambut
di Saloon Andrew di London.
Pernah
aku ceritakan kisah Bakri ini kepada Andrew dan pertama kali aku lihat Andrew
ketawa sehingga mengeluarkan air mata……..
abuhassanadam
9 Mac 2016
Assalamamualaikom Pak Abu,
ReplyDeleteSemoga sehat sejahtera,
Pohon manggis itu menjadi saksi tentang kisah perjuangan Tunku Abdul Rahman.Saya percaya Pak hj Yaakob menyampaikan cerita seorang pemimpin yang berjiwa besar dengan sungguh-sungguh hati.Ceritanya benar-benar belaka.Semuanya untuk anak bangsa dan tanah air.Tak lebih ,tak kurang.Pak hj Yaakob sangat yakin dengan Tunku yang berjiwa rakyat,yang mementingkan rakyat dan berniat nak melepaskan belenggu penjajahan.Alang kah baiknya kalau ada lagi orang seperti Pak hj. Yaakob yang boleh membuat orang lain terlopong mendengar ceritanya.Itulah kegigihan orang dahulu kala.Bercerita penuh khusyuk sahinggakan boleh mengheretkan yg lain turut percaya dengan Tunku Abdul Rahman.
Tunku tak kenal pun dia ,apatah lagi nak menghulurkan apa apa.Tukang cerita aka wartawan kg.pada masa tu mendapatkan sumber yang benar benar belaka.Siapa yang tidak percaya masa itu, memang anti kemerdekaan.Sudah tentu berita pak hj yaakob di tunggu tunggu org kg..mereka berforum bawah pokok...face to face..yang untung org dtg kedai Pak Uda.Andrew senyum sebab jauh di sudut hatinya..Bakri sebenarnya lebih beruntung darinya..sebab ada Pak Abu regular customer sahingga akhir hayatnya.Bakri kawan Pak Abu pandai mencari peluang dan tidak susah susah menyewa tapak kedai mcm Andrew. Cerita Pak hj Yaakub memang di tunggu tunggu..sebab org melayu dahulu takut dan fobia hendak melalui zaman penjajahan Jepun yang kejam lagi rakus.Terpaksa makan ubi kayu dan saban hari melihat kekejaman jepun. Kemudian zaman British ,bukan saja di jajah tapi hasil bumi turut di kaut.
ORANG MUDA KATA..LAIN DULU LAIN SEKARANG tapi mereka lupa ....TIADA YANG DULU , MANA KAN NAK ADA YANG BARU.Kita sebenarnya saling memerlukan.Itu yang selalu saya cakapkan pada anak anak muda.
Kalau lah anak-anak zaman kini mahu mendengar kisah penjajahan..ada antara mereka buat buat tak dengar.Bukan saja tak mahu dengar,tak minat pun.Pemimpin yang telah berjasa lama pun di kutuk di hina.Apa yang di pandang kemewahan hidup.Mereka tidak mahu menoleh ke belakang lagi.mereka tahu mereka kononnya orang yang lebih bertamaddun setaraf orang putih kononya..tapi mereka lupa sejarah boleh berulang pada bila-bila masa.Tunggu saatnya apabila terserlah kebodohan bangsa.Masa tu Wang tidak berti lagi.
Orang muda sekarang seperti tidak gentar dengan penjajahan secara senyap.Tapi jiwa mereka semuanya telah di jajah.Mereka di jajah dengan pembangunan yang tidak setanding dengan pemikiran mereka ,sebab itu sebahagian dari mereka tidak tahu mengenang budi,tidak mengenal orang yang lebih tua atau lebih parah lagi tak kenal orang yang berilmu.Yang keluar dari mulut hanya lah kata-kata kesat.Tulisan yang menguris hati.mengutuk dan tiada belas dan kasih sesama insan.Ada yang tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik walaupun dah berjawatan tinggi dalam kerajaan.Saman menyaman jadi amalan.fitnah jadi bualan.Semuanya kerana wang dan ego.
Semua ini berlaku bersebab,yang jelas dan nyata..orang sekarang leka dengan kemewahan yang dilemparkan.Di butakan hati...Mereka tidak mahu mendengar lagi seperti cerita Pak hj Yaakob ,mereka hanya mahu mendengar jika ada habuan.Takde cerita benar pun takpe janji ada projek.Lebih jelek lagi ,berbangga memberitahu dunia dapat mengutuk orang tua..seolah-olah dia tidak akan tua dan mati.
Siapa yang patut disalàhkan? kalau pemimpin tidak menghulur, kosong lah dewan orang ramai.Siapa pulak yang patut di sokong,adakah pemimpin yang berkata-kata kosong tapi penuh poket.
Malaysia negara tercinta menantikan pemimpin yang ikhlas dan jujur apabila berkata-kata..tidak berselindung di sebalik kata katanya.Jadi siapakah pemimpin yang sebenar untuk Malaysia sekarang?
Sudah tentu orang itu orang yang tidak memandang kepada apa apa melainkan dirinya jua yang tidak mempunyai apa apa..tetapi dia berjihad menentang yang batil.
Berkata yang benar,tidak kira sekalipun di bawah pohon manggis.
Terima kasih Pak Abu atas kisah nostalgia yang penuh makna.
Norissan Jane,
ReplyDeleteSalam,
Saya teringat satu kisah ketika saya berada di Seoul Korea Selatan pada suatu ketika dahulu. Saya bertanyakan kepada anak muda Korea tentang konsep "Samuel Undung" yang telah berjaya membawa pemodenan pada negara itu. Jawab anak muda itu, ' kami tak tahu...itu kisah orang tua kami...".
Pak Abu
As Salam Pak Abu,
ReplyDeleteNampaknya,pendidikan sosial dan latihan moral di rumah sedang mengalami masalah akibat pertambahan kebendaan.Tambahan pula, tidak banyak usaha untuk mengasuh anak anak generasi baru ke arah kemenangan jiwa.Ianya menular kepada semua bangsa di dunia.
Mereka lebih rela menipu diri sendiri dari memberi jawapan yang lebih jelas.Itu kisah penting perjuangan orang lama negaranya.Kisah orang lama ..untuk orang lama.kena tanya orang lama.
Jadi mana agaknya kisah orang baru?
Noris.