AYAH KOTEK
Suatu
malam Atuk aku sakit perut. Terpekik terlolong. Aku dan Opah menjadi panik.
Minyak angin sudah disapukan ke perut Atuk. Masih tidak lega juga. Atuk masih
mengerang kesakitan. Perut Atuk sudh diurut oleh Opah. Masih sakit juga. Atuk
meniarap dan aku pijak-pijak belakang Atuk. Masih sakit juga. Akhirnya
terpaksalah dipanggil ‘doktor’ kampung aku pada ketika itu. Ayah Kotek. Nak
pergi hospital jauh di Kuala Kangsar. Nak panggil Ambulance mana ada telefon. Jalan
raya pun belum ada lagi pada ketika itu. Belum merdeka.
Ayah
Kotek sepupu Atuk aku. Usia mereka berdua hampir sama. Atuk aku lebih tua. Dan
hubungan mereka berdua amat rapat. Sepupu. Tetapi aku dapat rasakan hubungan
sepupu pada ketika itu (tahun-tahun 1950an dan 1960an) lebih mesra dan rapat
dengan hubungan ‘sepupu’ kini (Kurun ke 21). Oleh itu aku pasti Ayah Kotek akan
datang merawat Atuk yang sedang sakit itu.
“
Ada lagikah nyawanya?” Suara Ayak Kotek dari bawah rumah ketika sampai sahaja
di halaman rumah kami. Amat kasar dan tidak kena soalan Ayah Kotek yang
ditujukan kepada kami. Tetapi itulah sebenarnya ‘ubat’ bagi Atuk yang
mendengarnya kerana Atuk tahu bahawa itulah rupa gurauan Ayah Kotek dengan dia.
Aku nampak Atuk tersenyum walaupun masih sakit.
Ayah
Kotek terus duduk dan bersandar di tiang seri rumah kami. Pada ketika itu sudah
ramai orang kampung datang ke rumah untuk menziarahi Atuk apabila mendapat
khabar bahawa Atuk sakit perut. Ayah Kotek tidak berbuat apa-apa, melainkan
terus menerus ‘mempersendakan’ Atuk dengan kata-kata gurauannya.
“Makan
bubur kacang banyak sangat kut ni?” antara gurauannya. Atuk tidak menjawab.
Opah hanya tersenyum. Atuk kelihatan tersenyum. Namun masih sakit. Dan aku
nampak kesakitan Atuk sudah berkurangan berbanding dengan keadaan sebelum Ayah
Kotek datang.
Hampir
seluruh orang kampung (lelaki dan perempuan) Kampung Ekor Dusun datang
menziarahi Atuk. Atuk aku adalah antara orang tua yang mereka hormati di
kampung itu. Tempat mengadu dan minta nasihat. Jadi apabila mendapat khabar
bahawa Atuk ditimpa musibah, maka berduyun-duyunlah mereka datang menziarahi.
Suatu keadaan yang tidak akan berlaku dalam mayarakat zaman moden kini. Dan
Atuk bukanlah sakit tenat hanya sakit perut biasa. Namun disebabkan
keperihatinan mereka dan mungkin disebabkan rasa tanggungjawab bersama di
kalangan masyarakat setempat, maka mereka beramai-ramai datang menziarah.
Atuk
masih sakit. Tidaklah terpekik terlolong seperti keadaan sebelum ini.
Yang
hadir mula bersembang-sembang antara satu dengan yang lain. Aku masih teringat
bahawa ‘tajuk’ atau ‘tema’ penceritaan atau sembang mereka adalah berkisar mengenai
Atuk. Tentang kisah Atuk. Cerita yang ‘baik-baik’ mengenai Atuk. Mereka
menceritakan tentang kebaikan Atuk membuat gasing dari dahan limau untuk
diberikan kepada anak mereka. Kisah Atuk membuatkan layang-layang untuk
anak-anak mereka. Pendek kata mereka bercerita kisah-kisah yang boleh
menyeronokkan Atuk yang mendengarnya. Dan ketika mereka bercerita, diceritakan
oleh mereka dengan suara yang nyaring agar didengar oleh Atuk yang sedang sakit.
Aku
nampak semakain lama semakin berkurangan sakit perut Atuk. Ayak Kotek belum
lagi ‘merawat’ Atuk. Ayak Kotek juga turut bercerita, memuji dan
‘mempersendakan’ kisah Atuk ketika mereka masih muda remaja. Bagaimana mereka
menangkap ikan di Sungai Ulu Kangsar, di Ulu Poh. Tentang bagaimana Atuk yang
begitu pakar dalam hal ‘menepuk pelanduk’.
Kononnya
tidak ada di kampung itu yang boleh menandingi kepakaran Atuk dalam hal
‘menepuk pelanduk’. Ini merupakan satu teknik yang digunakan untuk ‘memanggil’
dan menangkap pelanduk. Kepakaran sebegini kononnya dimiliki oleh Atuk aku
seorang saja. Dan mengikut kata Opah sememangnya mereka selalu makan daging
pelanduk terutama ketika Atuk masih sihat.
“Bangunlah
Teh...mari kita menepuk pelanduk..” kata Ayah Kotek bergurau memanggil Atuk aku
( namanya Putih Ibrahim dan panggilan dikampung ialah Tok Aki Teh).
Dan
sememangnya jelas kelihatan Atuk tersenyum. Dan memang sakit perut Atuk sudah
banyak berkurangan. Dan Atuk sudah boleh duduk. Dan Atuk menyapa semua orang
yang datang dengan senyumannya.
“Ha…tak
mati lagi. Aku ingat dah takada dah’ Ayah Koteh masih terus bergurau dengan
Atuk diikuti dengan gelak ketawa dan hilaian orang kampung yang hadir.
Apa
yang aku ceritakan adalah benar belaka. Ayak Kotek sememangnya seorang bomoh.
Tetapi dalam hal merawat Atuk aku beliau tidak menggunakan apa-apa ‘rawatan’.
Dan aku perhatikan (sampai kini aku masih memeikirkan) bahawa kehadiran orang
kampung menziarahi Atuk aku merupakan ‘rawatan’ yang paing mujarab sekali.
Apatah lagi dengan kata-kata dan pujian mereka yang amat menyenangkan hati
pesakit yang akhirnya sembuh secara tersendiri.
Nilai
masyarakat yang sedemikianlah yang telah hilang dan tidak akan terjumpa lagi.
abuhassanadam
15 Mac 2016
Hai zaman skarang tak adalah cerita macam tu lagi la! Keasian kan!
ReplyDeleteHai zaman skarang tak adalah cerita macam tu lagi la! Keasian kan!
ReplyDeleteSungguh tinggi nilai budi dan ilmu di dada serta keprihatinan orang melayu dahulu kala dalam memelihara silaturahim sesama insan sahingga perawat dapat merasakan apa yang di deritai oleh pesakit.
ReplyDeleteTerima kasih kerana berkongsi kisah ini.
Sungguh tinggi nilai budi dan ilmu di dada serta keprihatinan orang melayu dahulu kala dalam memelihara silaturahim sesama insan sahingga perawat dapat merasakan apa yang di deritai oleh pesakit.
ReplyDeleteTerima kasih kerana berkongsi kisah ini.
Rhu Yi Sia
ReplyDeleteNorissa. Jane,
Salam semua,
Saya perhatikan dalam masyarakat Melayu lama, kehadiran ahli masyarakat melawat rakan yang sedang sakit merupakan satu 'therapy' kepada pesakit dan kadang-kadang penyakit yang dihidapi sembuh dengan sendiri.
Pak Abu