Friday, August 29, 2014

APAKAH PAS SENGAJA MENCARI HELAH UNTUK KELUAR PAKATAN?

Sejak dari mula lagi aku sudah merasakan bahawa tindakan TG Haji Hadi membuat kenyataan akhbar secara terbuka menyokong kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah dirasakan ‘tidak berapa kena’. Aku tidak pula mempersoalkan kebebasan TG Hadi Awang untuk mengemukakan pandangannya. Bukan begitu. Sebagai Presiden PAS, beliau memang sepatutnya membuat keputusan jelas. Beliau bebas untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak.Tetapi yang aku agak ‘terkilan’ ialah cara keputusan itu disampaikan.

Pada pandangan aku, sepatutnya apa yang ingin disuarakan oleh TG Haji Hadi mengenai sokongannya kepada TS Khalid Ibrahim (yang sekali gus menentang keputusan PKR ) dibincangkan dahulu dalam majlis tertutup antara PAS,DAP dan PKR. Dalam mesyuarat sedemikianlah forum yang paling sesuai untuk percambahan fikiran dan dinyatakan baik buruknya. ‘Penghazaman’ sesuatu isu elok dilakukan dalam bilik mesyuarat tertutup yang dihadiri oleh kaum ‘keluarga’ terdekat dan tidak diketahui langsung oleh sesiapa pun yang tidak berkaitan.

Apabila TG Haji Hadi telah membuat keputusan dan telah menjadi berita besar dan ‘hangat’ maka tentulah terlalu sukar untuk berpatah balik kebelakang sekiranya ada perubahan fikiran di pihak PAS selepas ini. Peribahasa Melayu mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Aku terfikir juga dan aku mempersoalkan. Apakah dalam politik tidak langsung mengambil kira hati dan perasaan kawan dan rakan? Aku bukan mempersoalkan pandangan atau keputusan yang dibuat. Aku lebih mementingkan ‘adab berkawan’ dan ‘menjaga hati kawan’. Mungkin cara berfikir yang aku amalkan sudah tidak secocok dengan pemikiran manusia zaman kurun ke 21. Mungkin…

Sebelum kenyataan yang dibuat oleh TG Haji Hadi ini, sudah berapa pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kepimpinan PAS Selangor yang menyatakan sokongan terhadap TS Khalid Ibrahim.Sekali lagi aku nyatakan bahawa hakikat itu bukan persoalannya. Yang aku agak hairan ialah mengapa perlu dinyatakan secara terbuka melalui media massa. Bukankah elok dibincangkan dalam suatu majlis tertutp supaya tidak diketahui oleh masyarakat tentang ‘apa yang ada dalam kain kita’. Ataupun mungkin agaknya sengaja dilakukan begitu oleh pemimpin sedemikian yang mahu menunjukkan bahawa mereka sememangnya hebat dan supaya diketahui oleh orang ramai bahawa mereka sebagai pemimpin berwibawa. Ataupun mungkin sudah ada terhasrat dalam hati setengah pemimpin yang ‘hubungan ‘ PAS dalam Pakatan Rakyat ini tidak akan bertahan lama.

Telah tersebar juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO untuk menerajui semula Selangor. Mungkin cadangan yang sedemikian datangnya dari golongan muda yang tidak tahu dan tidak pernah tahu bagaimana PAS telah dikecewakan oleh UMNO dalam kemelut Kelantan pada akhir tahun 1970an. Hanya TG Nik Aziz yang dapat memberikan penjelasan dalam hal ini. Mungkin pemimpin muda dari PAS tidak tahu tentang ‘sepak terajang’ dalam politik UMNO. Mungkin golongan muda dalam PAS mudah lupa tentang bagaimana UMNO ‘menghina dan mengherdik’ kepimpinan PAS. Mungkin juga golongan muda ini hanya memikirkan tentang ‘habuan’ yang akan diperolehi sekiranya mereka menyertai UMNO. Mungkin….

Mungkin pengalaman yang dilalui oleh Kelantan itulah agaknya yang menyebabkan kepimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah segera untuk menggantikan Menteri Besar Selangor dengan yang baru. Mungkin dari satu sudut kelihatan TS Khalid tidak banyak cacat celanya, namun dari sudut lain boleh membawa kepada terjatuhnya negeri Selangor ke tangan BN semula seperti yang berlaku di Terengganu dan Kedah. Ini tidak mungkin tidak akan berlaku.

Nampaknya kemelut politik di Selangor tidak akan selesai dalam masa terdekat. Keadaan berlaku sedemikian disebabkan semacam tidak ada keikhlasan di setengah pihak yang bertelagah untuk menyelsaikan isu ini dengan jayanya. Tambah merumitkan keadaan,terdapat pula pihak luar yang septutnya tdak mencampuri urusan politik dalaman Pakatan Rakyat telah cuba pula ‘menangguk di air keruh’. Walaupun sememangnya keadaan ‘keruh’ sedemikian yang diharapkan oleh pihak berkenaan. Ibarat kata orang tua-tua, ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

Tetapi persoalannya kini ialah sudah banyak ‘kata-kata’ yang sudah terlajak yang amat sukar untuk diundur. Kita sentuh lagi kata orang tua-tua yang mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur dan terlajak kata buruk padahnya’. Yang paling tidak menyenangkan rakyat (Melayu dan bukan Melayu) yang cintakan kewujudan bangsa Malaysia yang tulin ialah kenyataan dari salah seorang pemimpin PAS yang membayangkan tentang kemungkinan kerjasama PAS dan UMNO.

Aku semacam setuju dengan pandangan YB Khalid Samad yang mengatakan bahawa, ‘"The image of PAS has been tarnished and non-Muslims will lose faith in PAS,"(Malaysiakini 5 Ogos 2014). Ini yang dikatakan bahawa isu yang wujud dalam kemelut Selangor kini bukan lagi mengenai penggantian MB Selangor, malah telah menjadi isu yang ‘bersimpang sior’. Kenyataan yang ‘melukakan hati’ seolah-olah akan ‘terpahat’ di hati golongan bukan Melayu yang merupakan penyokong kuat Pakatan Rakyat (PAS) dalam PRU 13 yang lalu. Apakah ‘hati’ golongan ini tidak terguris apabila membaca kenyataan sedemikian. Dan bayangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh kepimpinan PAS untuk ‘memulihkan’ keyakinan sedemikian. Tidak mudah untuk memulihkan keadaan sedemikian seperti mana keadaan sediakala.

Tindakan YB Saari Sungib yang sudah bersedia untuk keluar parti PAS sekiranya parti itu menyokong TS Khalid Ibrahim adalah merupakan tindakan seorang rakan yang betul-betul ikhlas memperjuangkan semangat setiakawan. PAS perlu sedar bahawa dalam keadaan apa pun kepimpinan PAS tidak boleh mempersoalkan tentang mengapa TS disingkir dan mengapa Dr. Wan Azizah dipilih untuk menggantikannya. Itu adalah keputusan PKR dan sebagaimana yang dikatakan oleh TG Nik Aziz bahawa hal itu merupakan hal dalam rumah tangga PKR sendiri dan terserahalah kepada mereka untuk membuat keputusan.

Namun begitu tindakan Tuan Ibrahim menampakkan sesuatu tindakan yang agak tidak sesuai dengan keadaan dan masa. Apakah langkah yang diambil oleh Tuan Ibrahim dan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS itu sesuai? Beliau meminta supaya ahli parti bersabar menunggu keputusan pada 17 Ogos 2014. Apakah perlu menunggu mesyuarat berkenaan sedangkan negeri hampir ‘terbakar’. Lagi pun jika difikirkan secara terperinci, strategi apakah yang akan diambil oleh kepimpinan PAS. Dan mengapakah seolah-olah Tuan Ibrahim agak ‘berdukacita’ dengan sokongan dua ADUN PAS kepada Dr. wan Azizah. Apabila beliau bertindak sedemikian membayangkan seolah-olah sudah ‘ada udang yang terselindung disebalik batu’

Namun yang jelasnya, mungkin akan terdapat juga perpecahan dalam PAS antara golongan yang dianggap ‘conservatif’ dan ‘ yang berfikiran liberal’. Tentulah kita tidak mahu pula mempersoalkan keadaan dalam rumah tangga yang dihadapi oleh PAS. Tidak juga rakyat Selangor mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam PAS. Rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya hanya mahu melihat kesetiakawanan PAS apabila berhadapan dengan keadaan yang meruncing sepertimana yang berlaku kepada keadaan yang ‘menimpa’ Selangor itu.

Kepimpinan Pakatan Rakyat seharusnya bersuara dalam suatu nada yang boleh ditafsirkan sebagai ‘suara Pakatan Rakyat’. Dan sekiranya ada pandangan dan pendapat yang berbeza, yang sememnagnya digalakkan dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, perlulah disuarakan dalam suatu forum yang tertutup dan bukannya untuk didedahkan kepada umum. Ini amat penting untuk mengelakkan sesuatu isu dieksploitasikan. Keadaan sebeginilah yang telah merumitkan keadaan kini yang menyebabkan terlalu sukar untuk diselesaikan.

Tindakan PAS yang langsung tidak mempedulikan ‘rayuan’ DS Anwar Ibrahim agar bersama-sama, bersatu hati dengan PKR dan DAP dalam menyuarkan hasrat kepada DYMM Sultan berkaitan dengan calon MB Selangor menampakkan bahawa PAS sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ataupun mungkin keadaan yang sedemikian yang telah dirancang oleh mereka dengan ‘sekutu’ mereka yang sedang memerhatikan keadaan kemelut di Selangor ini dengan penuh minat.

Apakah hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat akan berakhir tidak berapa lama lagi?

abuhassanadam
29 Ogos 2014




2 comments:

  1. "Apakah PAS sengaja cari helah ...keluar Pakatan"....amat sedih kiranya nilah senario politik terjadi...secara peribadi ketiga2 Parti kompenan adalah sgt2 memerlukan antara satu sama lain dalam konteks PR....Rakyat Malaysia khasnya dan Selangor amnya, tidak akan teragak2 untuk memberi sokongan padu sepadunya kepada PR di PRU14 nanti...bagi ako corak pemerintahan umno-bn sudah tak relevan lagi, mereka hanya menunggu masa untuk dikuburkan dan ditenggelamkan seelok2nya bila PRU14 tiba dan diganti oleh PR yang mampu membawa perubahan corak pemerintah lapuk ke suatu tahap yang lebih tinggi lagio efiisien...inilah hasrat majoriti Rakyat Malaysia...maka oleh sebab itu, PAS seharusnya berdiri teguh tanpa berpecah di bawah PR sebagai satu parti unggul dan teguh bersama-sama dengan parti PKR dan DAP sampai ke hari kiamat...ameen

    ReplyDelete
  2. PAS pernah mendapat pemimpin yang luas pandangan yang tak mengambil sikap jumud dari pemikiran mediaeval lagi konservatif itu seperti Dr. Burhannudin al Helmy dan ustaz Fazil Noor, yang lain tu temakan terus dengan pegangan konservatif yang tidak berpijak di dunia sekular dan konkrit. Kini Hadi Awang begitu konservatif dan mungkin dia dapat ilmunya mengenai akhirat daripada ustaz Nasaruddin yang begitu kuat dengan pegangan 'Ketuanan Melayu', yakni mahu mempertahankan agama , bangsa, kekayaan elit Melayu dan institusi raja. Kalu ustaz Nasaruddin gagal kini Hadi Awang buat inisiatif terakhir untuk menerima ketuanan Melayu jerat dan himbauan UMNO.PAS bukan parti yang dipimpin oleh ustaz Abu Bakar Baqir tapi oleh insan maksum seperti Hadi Awang dan Nik Aziz, hebat dengan pengetahuan akhirat tapi kekok berdepan dengan dunia moden. Tapi nasib baik terdapat golongan baru pada lapisan bawah Hadi Awang, Mustapa Ali dan Haron Din, namun jika PAS enggan berubah lebih baik keluar PR dan curahkan tenaga pengetahuan akhirat yang diperolehi dari ulama beratus tahun dahulu di Kelantan dan Terengganu.

    ReplyDelete