UMNO DAN BUDAYA YANG JELEK
Tidak
dapat dinafikan bahawa UMNO berperanan juga mendapatkan kemerdekaan negara
walaupun benih perjuangan telah disemaikan oleh ramai pemimpin yang terdahulu
seperti Ibrahim Haji Yaakub, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin dan lain-lain.
Perjuangan tokoh-tokoh ini dibantu oleh guru-guru lepasan SITC Tanjong Malim.
Ringkasnya UMNO hanya sebagai ‘penyudah’ kepada perjuangan yang panjang untuk
mendapatkan kemerdekaan tanah air.
Pengisian
kemerdekaan dijalan dan diterajui oleh UMNO. Maju atau mundurnya negara kini
adalah cermin kepada apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO. Sekiranya kita
merasakan bahawa negara kita telah maju kini, maka itu merupakan jasa dan
sumbangan UMNO. Begitu juga sebaliknya.
Dan
pemimpin UMNO tidak perlulah mendabik dada mengatakan yang mereka telah begitu
berjaya membangunkan negara. Pada hari ini
dengan jelas dapat dilihat bahawa negara Malaysia kini sudah agak
terkebelakang berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Malah jika
dibandingkan dengan Vietnam sekalipun yang baru sahaja ‘bangun’, Malaysia
semacam agak ketinggalan. Usahlah dibandingkan dengan Singapura yang sudah amat
pasti amat jauh meninggalkan negara kita. Kajilah dari segi apa pun.
Suatu
hal yang jarang dibincangkan ialah bahawa UMNO telah meninggalkan satu cara
hidup atau budaya yang pada pandangan aku agak jelek. Aku tidak pula menidakkan
tentang budaya yang boleh juga diterima yang diperkenalkan oleh UMNO. Ada. Dan
tidak pula semua ‘orang UMNO’ yang telah menimbulkan budaya yang ditakrifkan
‘jelek’ itu, namun disebabkan dua tiga ekor kerbau yang membawa lumpur, maka
habis semuanya terpalit.
Aku
masih ingat pada suatu hari tak berapa lama dahulu. Sedang aku dan anak aku (
yang pada ketika itu baru dalam Tingkatan Dua) menikmati sarapan pagi di sebuah
restoran di Syah Alam, masuklah sekumpulan anak muda Melayu yang berperangai
lain dari yang lain. Anak aku terus memberikan komen. “Pemuda UMNO tu bapak….”
Aku terkejut bagaimana anak aku yang masih terlalu muda untuk mengenali politik
memberikan komen sedemikian.
“Mengapa
kata begitu?’ aku menyoal anak aku. Anak aku menerangkan dengan panjang lebar
yang dia tak suka cara pemuda-pemuda itu masuk ke restoran berkenaan dengan
cara yang agak ranggi, tanpa mempedulikan pelanggan lain. Dan ketika mereka
menikmati juadah yang dihidangkan, kelihatan amatlah tidak bersopan. Aku dan
anak aku terus menerus memerhatikan gelagat ‘sekumpulan pemuda’ yang dikatakan
oleh anak aku sebagai ‘Pemuda UMNO’ itu. Dan akhirnya jelas dan tepat rupanya
yang sekumpulan pemuda itu merupakan ‘pemuda UMNO’ apabila tidak lama selepas
itu muncul ‘tokoh UMNO’ yang berpangkat menteri makan bersama mereka. Aku tak
pula mengatakan bahawa semua pemimpin UMNO begitu. Tetapi sekurang-kurangnya
tindakan dan ‘perangai’ pemuda itu telah memberikan impak yang besar kepada
persepsi anak aku yang baru berumur 13 tahun ketika itu.
Aku
masih ingat juga satu lagi peristiwa tidak berapa lama dahulu. Berdekatan
dengan Hotel Pan Pacific dan Pusat Dagangan Dunia Putera. Aku terperangkap
dalam kesesakan lalu lintas ketika itu. Aku pun hairan mengapa kesesakan
berlaku di situ. Yang dapat aku perhatikan ialah bahawa punca kesesakan itu
disebabkan oleh kereta-kereta (mewah) di letakkan tidak mengikut persturan.
Hampir separuh jalan di hadapan PWTC itu digunakan sebagai tempat letak kereta.
Kesannya ialah kesesakan yang bukan kepalang.
Kelihatan
pihak polis tidak dapat berbuat sesuatu untuk menangani keadaan. Aku bertanya
mengapa terjadi demikian. Polis itu menjawab, ‘Mesyuarat Agung UMNO encik….’
Setakat itu saja jawapannya. Bermakna bahawa pemimpin UMNO boleh berbuat apa
saja dengan tidak ada tindakan yang boleh dilakukan. Begitulah fahaman aku.
Sepatutnya pihak polis yang mengawasi keadaan di situ boleh menulis saman
terhadap kereta berkenaan tetapi disebabkan kereta yang dimiliki oleh ‘pemimpin UMNO’ maka tidak ada sebarang
tindakan dilakukan.
Tentulah
banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diutarakan. Namun tidak pula semua
orang UMNO berperanagai sedemikian. Ada juga yang bersikap timbang rasa dan
faham akan perasaan dan nadi masyarakat.
Disebabkan
golongan majoriti yang bersikap demikian seolah telah terjelma pula budaya baru
– budaya UMNO, yang aku anggap amat jelek.
abuhassanadam
27 Disember 2016