Sunday, April 30, 2017

ORANG MELAYU TELAH MENGGUNAKAN ‘BENCHMARK’ YANG SILAP

Antara punca yang menyebabkan orang Melayu terus mundur hingga ke hari ini adalah berpunca daripada kaedah yang digunakan oleh orang Melayu ia itu menggunakan ‘benchmark’ yang silap. Tentulah banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan orang Melayu masih mundur walaupun setelah setengah abad merdeka.

Aku merasakan bahawa para pemimpin negara sedar bahawa orang Melayu masih mundur tetapi demi kelangsungan kuasa politik mereka, maka orang Melayu terus menerus dibiarkan hanyut. Mungkin. Orang Melayu terus menerus didendangkan dengan ‘lagu-lagu’ merdu yang mengkhayalkan orang Melayu seolah-olah orang Melayu tidak akan hilang di dunia.

Para pemimpin negara samada di peringkat pusat ataupun peringkat negeri ataupun di peringkat akar umbi sentiasa memberikan gambaran bahawa orang Melayu sudah maju, sudah setanding dengan pencapaian kaum dan bangsa lain di dunia. Orang Melayu dikayalkan dengan cerita-cerita lunak yang menyenangkan hati dan telinga orang Melayu mendengarnya.

Cerita zaman pemerintahan Jepun dan zaman Darurat sentiasa diketengahkan untuk membezakan bahawa keadaan di negara kita telah berubah. Dipaparkan kisah zaman Jepun yang penuh dengan derita dan kesusahan. Diceritakan juga tentang zaman Darurat pula untuk menunjukkan tentang ketakutan dan ancaman daripada pihak penjahat Komunis ketika itu. Dibandingkan pula dengan keadaan setelah negara mencapai kemerdekaan, yang kononnya penuh dengan keriangan dan kebahagiaan. Yang anihnya ialah walaupun orang Melayu kebanyakannya merasai kesepitan yang dideritai sedemikian, namun mereka ‘merelakan diri’ untuk tidak mempercayai apa yang mereka rasai. Ini merupakan satu kepelikan dan penyakit orang Melayu.

Pencapaian orang Melayu dalam pelajaran dan pendidikan seolah-olah tidak digambarkan dengan keadaan yang sebenarnya. Orang Melayu tidak tahu dan tidak sedar bahawa pencapaian kaum lain, Cina dan India dalam pelajaran jauh lebih maju daripada apa yang dicapai oleh orang Melayu. Itu keadaan di Malaysia. Belum lagi  jika dibandingkan dengan pencapaian bangsa lain di kawasan Asia Tenggara. Mungkin dengan Vietnam pun pencapaian kita agak keterkebelakang. Mungkin.

Ibu bapa yang tinggal di kawasan luar bandar atau di kawasan FELDA mungkin tidak tahu betapa terkebelakangnya pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan berbanding dengan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa. Mungkin para guru juga tidak tahu betapa terkehadapannya pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan. Dan yang menyedihkan kita ialah bahawa para pemimpin tinggi kerajaan tentu tahu tentang keadaan sedemikian berlaku. Tetapi semacam tidak mahu ambil peduli tentang hal yang berlaku sedemikian. Mereka tahu hal sedemikian berlaku. Dengan sebab itulah agaknya mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

Memang betul sekolah-sekolah berkenaan hanya untuk anak-anak yang ibu bapanya berkemampuan. Dengan sebab itulah hanya anak-anak menteri dan ahli politik dan golongan berada sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka  ke situ. Lantas bagi golongan yang tidak berada akan terus ketinggalan. Dan golongan yang tidak berada itu adalah terdiri orang Melayu yang kebanyakannya masih tinggal di kawasan luar bandar. Dan masih ramai juga yang tinggal di kawasan bandar. Amat menyedihkan.

Apakah keadaan sebegini sememangnya diperlukan oleh pemimpin politik demi kelangsungan penguasaan politik mereka. Apakah mereka sengaja mahukan agar orang Melayu terus mundur supaya senang diekslpoitasi.

‘Jeritan’ demi ‘jeritan’ didengar yang mengatakan bahawa punca yang menyebabkan orang Melayu sukar diterima untuk bekerja di sektor-sektor swasta adalah disebabkan kurang kemahiran dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Disamping itu kedengaran juga para pemimpin negara kita ‘menjerit’ agar penggunaan Bahasa Melayu diperkuatkan. Mungkin para pemimpin menyeru agar kedua-dua bahasa berkenaan diperkukuhkan, namun bagi orang Melayu sentiasa mengambil jalan pintas dengan menguatkan penggunaan Bahasa Melayu dan mensampingkan penggunaan Bahasa Inggeris. Kesannya orang Melayu juga yang ketinggalan kerana tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kepimpinan negara harus serious apabila berhadapan dengan krisis yang dihadapi oleh orang Melayu kini. Tun Dr. Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim telah memulakan langkah yang serious untuk memajukan bangsa Malaysia (khususnya orang Melayu) pada tahun-tahun 1980an dan 1990an, tetapi seolah-olah terhenti selepas tampuk pemerintahan negara berpindah tangan. Sepatutnya usaha murni sedemikian diteruskan demi kelangsungan kemajuan bangsa Melayu.

Cerdik pandai di negara ini kini seolah-olah sudah tidak ada keyakinan kepada pentadbiran negara untuk menerajui usaha memajukan orang Melayu dalam erti kata yang sebenarnya. Dapat dilihat seolah-olah para pemimpin negara lebih condong untuk memelihara dan menjaga diri sendiri dari memajukan bangsa. Mereka lebih mementingkan ‘perut’ sendiri daripada menjaga kesejahteraan rakyat. Semacam begitulah persepsi rakyat terbanyak melihatkan kerenah dan tindakan para pemimpin di negara kita.

Aku mengharapkan apa yang aku katakan ini salah belaka…

abuhassanadam

30 April 2017

Saturday, April 29, 2017

HUJAN PAGI DI TAMAN PERTANIAN

Hujan turun dengan lebatnya pagi itu. Dan pada hari minggu sebegitu biasanya aku ke Taman Pertanian Shah Alam untuk melapangkan fikiran disamping melakukan latihan untuk kesihatan. Serba salah aku dibuatnya pada pagi itu. Nak pergi ke tidak. Nak pergi ke tidak…

Hujan masih belum berhenti. Aku nekad. Aku mengharapkan ia akan berhenti setibanya aku di tempat berkenaan. Dan kebiasaannya hujan sebegitu tidak lama. Tidak sampai ke petang. Untuk sampai ke tengah hari pun tidak. Jadi aku nekad untuk pergi ke Taman Pertanian pagi itu.

Setibanya aku di kawasan ‘hutan’ berkenaan, hujan masih turun dengan agak lebat. Dan secara kebetulan agaknya pada hari berkenaan merupakan hari dijalankan upacara lari merentas desa oleh sebuah sekolah swasta. Berpuluh-puluh buah bas telah sampai ke perkarangan tempat letak kereta di situ dan ‘memuntahkan’ ratusan pelajar untuk mengambil bahagian dalam larian berkenaan. Tanpa menghiraukan keadaan hujan yang agak lebat, para pelajar berkenaan terus ‘merempuh’ hujan untuk pergi kesuatu tempat yang dikhaskan. Tempat permulaan larian berkenaan.

Aku singgah sebentar di kedai kopi yang terletak berhampiran dengan taman berkenaan. Di situ sudah terdapat bebrapa orang guru ( dari sekolah berkenaan agaknya) yang sudah pun sampai lebih awal dan menunggu ketibaan anak murid mereka. Sungguh bertanggung jawab.

Sambil mengihrup kopi panas dan sambil menunggu hujan berhenti tentulah melayang fikiran aku mengenangkan berbagai persitiwa ketika aku masih bersekolah dulu. Clifford School Kuala Kangsar. Masih terbayang juga hari hujan sebegini ketika sekolah mengadakan larian merentas desa. ‘We’ll start at eight o’clock sharp. Rain or shine’ kata Mr Potter, Pengetua sekolah pada ketika itu pada ketika diadakan perhimpunan satu minggu sebelum larian.

Hujan telah beransur berhenti di Taman Pertanian Shah Alam. Anak-anak remaja ( sekolah menengah) dari semua keturunan mula berkumpul di tempat permulaan larian. Dan aku perhatikan juga bahawa guru-guru bertugas sudah berada di tempat masing-masing memastikan larian ini berjalan dengan lancar.  Di tempat permulaan kelihatan beberapa orang VVIP. Ada juga orang putih di situ. Macam orang putih…Mungkin bapaknya (Melayu) berkahwin dengan orang putih maka jadilah dia macam orang putih. Mungkin juga dia yang punya sekolah berkenaan, fikir aku.

Sah dia yang punyai sekolah ini. Mungkin juga dia pewaris sekolah ini dari bapanya. Aku katakan begitu kerana dia diberikan penghormatan untuk memulakan larian. Dan tentulah para pelajar dan para guru begitu bersemangat untuk memulakan larian apabila melihatkan minat yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh CEO berkenaan dan para pentadbir sekolah yang lain.

Aku terfikir lagi. Apakah bangsa Malaysia ini masih memerlukan orang putih untuk mentadbirkan bangsa kita. Aku teringat ketika masih bersekolah dulu yang mana pengetuanya terdiri dari orang putih. Setiap tahun keputusan peperiksaan Senior Cambridge agak cemerlang, walaupun pada ketika itu kami berada dalam keadaan serba kekurangan. Dan bukan cemerlang dalam lapangan pelajaran sahaja, malah dalam lapangan sukan pun Cliffor School Kuala Kangsar mengungguli berbagai lapangan sukan dan telah melahirkan beberapa orang jaguh sukan untuk negara seperti Abdullah Nordin ( pernah pada suatu ketika menjadi kaptain  bola sepak Malaysia disamping pemain Soh Chin Aun dan Santokh Singh)

Aku perhatikan anak-anak remaja tadi sudah mula berlari penuh dengan hilai dan ketawa seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan fikiran mereka, berbanding dengan apa yang difikirkan oleh ibu bapa mereka yang terpaksa menyediakan perbelanjaan yang begitu besar untuk menyekolahkan mereka di sekolah berkenaan. Aku yakin bukan jumlah yang kecil yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka. Dan dari gelagat anak-anak yang berlari, yakinlah aku bahawa mereka adalah dari keluarga yang berada dan sekolah berkenaan adalah untuk anak-anak dari keluarga berada.

Kini mereka sedang berlari di permatang batas bendang yang ada di taman pertanian berkenaan. Aku hanya memerhatikan dari atas sebuah bangunan di situ yang dapat melihat dengan jelas gelagat anak-anak berkenaan. Sebenarnya apa yang ada dihadapan mata aku ketika itu merupakan bayangan yang telah aku lalui ketika aku masih kecil-kecil dulu. Deretan anak-anak yang lari itu adalah seperti aku dan kawan-kawan aku pada suatu ketika dulu melalui permatang dan batas bendang berkaki ayam untuk ke sekolah.

Disamping aku memerhatikan anak-anak yang berlari, dengan berbagai kerenah yang melucukan, tumpuan aku tentulah pada sawah yang berada di hadapan mata aku. Walaupun hanya beberapa petak bendang, namun cukup untuk melepaskan rinduku pada sawah dan bendang yang merupakan ‘gelanggang permainan’ ketika aku masih kanak-kanak.

Walaupun tidak ada kolam ternakan ikan di tepi sawah berkenaan, tidak ada pohon Dedalu tempat hinggapnya burung Merbah dan Kelicap, walaupun tidak ada pohon buluh sebagai tempat buruh Tempua bergayut, namun bendang ‘sekangkang kera’ berkenaan sudah cukup untuk menghilangkan ‘dahaga’ anak kampung yang sentiasa merindui kampung halaman yang telah ditinggalkan. Memang tidak sama sawah di Taman Pertanian ini dengan sawah yang ditinggalkan di kampung tetapi bak kata Kalam Hamidi,’ sekurang-kurangnya setitik embun di tengah padang pasir Sahara itu cukup untuk menghilangkan dahaga seorang musafir’.

Aku kagum juga dengan kerjasama yang telah dierikan oleh guru-guru di sekolah berkenaan. Tidak kelihatan langsung kejanggalan yang ditunjukkan oleh guru-guru walaupun mereka terdiri dari berbagai kaum dan keturunan. Seolah-olah mereka (guru-guru) cuba memberikan isyarat bahawa inilah satu contoh kewujudan bangsa Malaysia yang sebenar, ditilik dari segi perpaduan guru-gurunya dan juga para pelajarnya.

Aku mengesat beberapa tititsan air mata yang mengalir di pipiku. Bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu gembira melihatkan perpaduan erat anak-anak Malaysia berlari dan bergelak ketawa dalam suasana dingin hujan pagi di Taman Pertanian.

Kepada guru-guru, didiklah anak-anak ini agar tercetus satu bangsa Malaysia yang dibanggakan. Dan hati kecil aku ingin bertanya, dari sekolah manalah agaknya anak-anak ini…

abuhassanadam

29 April 2017

Wednesday, April 26, 2017

DI TEPIAN TASIK MARDI
Atas permintaan 'anak-anak kesayangan' aku siarkan semula posting di bawah.



Friday, March 25, 2016



            DI TEPIAN TASIK MARDI

            Secara kebetulan semalam ( 24 Mac 2016) aku melalui kawasan pertanian MARDI. Entah macam mana aku ‘tersesat’ ke situ. Aku tidak pernah pun memasuki kawasan pertanian yang telah wujud ‘zaman-berzaman’ ini. Namanya sememangnya biasa kedengaran. Dan aku teringat juga ada beberapa orang kawan aku yang pernah bertugas di sini. Waktu ‘muda-muda’ dulu.

            Tak terfikir pula aku kawasan MARDI ini merupakan kawasan ‘kampung’ yang cantik. Dan aku ingin ‘menasihat’kan kawan-kawan yang merindui keadaan kampung, pergilah ke MARDI. Ada pokok-pokok rimbun, ada tasik yang membiru, malah para pekerja yang sempat aku jumpa dan temui juga seperti orang kampung. Maksud aku tentang ‘budi bahasa’ mereka. Dan suasana di salah sebuah kantin di MARDI ( tidak jauh dari tasik) juga seperti suasana kampung. Barang makanan yang terjual di situ juga dengan harga yang amat berpatutan. Sedap pulak tu. Terutama gulai kambingnya!...

            Yang aku nak cerita bukan cerita MARDI. Cerita kantin di MARDI juga bukan. Yang menarik perhatian aku ialah tentang larian merentas desa yang dijalankan di situ ketika aku melalui kawasan itu. Aku tak tahu sekolah mana yang menjalankan larian merentas desa pada ketika aku berada di situ. Yang aku pastinya mestilah sekolah anak orang kaya-kaya. Dan sekolah berkenaan bukan dari kawasan Serdang atau Kajang. Dari jauh datangnya mereka memandangkan terdapat puluhan buah bas yang membawa anak-anak ke mari. Maknanya datang dari Kuala Lumpur atau Subang Jaya. Tentunya sekolah swasta. Sekolah orang kaya-kaya.

            Suasana sebegini pastinya menghiburkan aku, seorang tua yang sebahgian dari usiaku diabdikan untuk berkecimpung bersama anak-anak ( tidak kira dan tidak mengenal bangsa, agama dan warna kulit). Alangkah gembiranya hati dan perasaan aku melihatkan anak-anak yang berada dalam lingkungan belasan tahun ini berlari dengan riang seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan perasaan mereka berbanding dengan ibu bapa mereka yang terpaksa memikirkan tentang bahagaimana untuk mendapatkan wang untuk membiyai persekolahan mereka yang pastinya dalam jumlah yang agak besar.

            Aku duduk di sebuah kerusi berhampiran dengan tasik biru sambil menghirup udara nyaman pagi hening. Di samping itu aku leka juga memerhatikan barisan kanak-kanak berlari. Semua bangsa. Melayu, Cina, India, dan ada juga bangsa lain. Mereka sama-sama berlari dan ketawa tanpa memikirkan yang mereka berlainan bangsa dan agama. Pastinya mereka akan memberikan pertolongan antara satu dengan yang lain sekiranya dalam arus larian mereka nanti ada yang mendapat kemalangan. Aku yakin yang mereka akan membantu antara satu dengan yang lain.

            Bahagia sungguh perasaan aku pada pagi ini. Terlalu banyak perkara yang membahagiakan hati orang tua ini. Namun yang paling mengembirakan ialah melihatkan persefahaman dan keakraban ‘anak-anak’ Malaysia dari semua bangsa bersatu padu, bergembira dalam larian merentas desa. Mungkin juga wujud keadaan ‘anak’anak’ yang bersikap begini didorongkan oleh guru-guru sekolah ini yang mendorongkan agar pelajar-pelajar mereka bersikap demikian. Suatu yang jelas ‘diperlihatkan’ di depan mata aku ialah sikap guru-guru yang seolah-olah tidak menunjukkan sikap perkauman antara satu dengan yang lain. Yang bertudung kelihatan semacam begitu mesra dengan yang tidak bertudung. Yang berkulit cerah tidak menampakkan kejanggalan bergaul mesra dengan yang berkulit sawo-matang. Mungkin agaknya wujud keadaan harmoni yang sebegini disebabkan kepimpinan atasan sekolah ini yang mahukan keadaan sedemikian. Agaknya begitulah.

            Betul rupanya apa yang sentiasa diperkatakan oleh masyarakat umum. Jikalau dah pernah jadi guru, selama-lamanya akan menjadi guru. Amat bahagia sekiranya dipanggil ‘Cikgu’. Anak-anak yang berderetan lari dihadapan mata aku tidak tahu bahawa aku juga pernah berlari semacam mereka berlari. Dan para guru yang ada di situ juga tidak tahu bahawa aku juga pernah seperti mereka pada suatu ketika dulu mengawasi anak-anak lari dalam larian merentas desa (X-Country).

            Terbayang di mata aku bagaimana Chan Siew, Malik, Sahrifuddin, Foo Chor, Krishnan, Subba Singh (semuanya berkaki ayam) disekitar tahun-tahun awal 60an lari merentas desa melalui Malay College, Rumah Sakit Kuala Kangsar, terus ke kawasan Basong dan balik ke sekolah (Clifford School, Kuala Kangsar). Dah lama ‘ceita’ ini berlaku tetapi masih terbayang dan masih segar dalam ingatan aku. Cuma yang agak ada persamaan dengan anak-anak yang lari dihadapan mata aku itu ialah hilai dan ketawa kami dulu semacam serupa dengan hilai dan ketawa anak-anak yang berlari di hadapan aku. Ketika itu kami juga tidak mengenali warna kulit.

            Satu pagi aku menghabiskan masa di tepian Tasik MARDI. Pagi itu penuh dengan sejarah dan ingatan nostalgia. Aku tunggu peserta terakhir berlalu hanya untuk ‘memuas dan membahagiakan’ hati dan perasaan yang sudah lama kontang ini. Sampai ke peserta terakhir aku perhatikan bahawa semacam tidak ada batasan perkauman antara pelajar-pelajar yang terdiri dari anak-anak Malaysia ini.

            Hanya aku mengharapkan agar guru-guru yang mendidik anak-anak ini akan terus menyemaikan perasaan persaudaraan antara kaum-kaum di Malaysia supaya benar-benar wujud bangsa Malaysia menepati ertikata sebenarnya satu ketika nanti. Persetankan anasir-anasir luar yang cuba mengeruhkan hubungan kaum di negara yang tercinta ini.

            Aku renung lama-lama tasik biru MARDI. Aku ‘hirup’ puas-puas udara bersih dan hembusan bayu dipersekitaran tasik MARDI. Aku pulang dengan persaan dan hati yang ‘terubat’ sebelum aku singgah sebentar untuk menikmati gulai kambing di salah sebuah restoran di MARDI.

abuhassanadam

25 Mac 2016
SUDAH RAMAI PEMIMPIN MELAYU TIDAK BERMARUAH

Aku tak kata semua pemimpin Melayu begitu. Tapi yang kelihatan ialah bahawa sudah ramai para pemimpin Melayu yang termasuk dlam kategori ‘tidak bermaruah’ itu. Mungkin agak keterlaluan aku kata begitu tetapi ramai yang mengatakan demikian. Dan tentulah tidak ada statistik untuk menunjukkan keadaan sedemikian. Hanya persepsi yang menentukan.

Mungkin juga aku sama tarafnya dengan ‘Dainosaur’ sejenis binatang yang sudah pupus, yang sentiasa membincangkan isu-isu lapuk di telan zaman. Mungkin manusia yang bernama Melayu kini sudah tidak mempedulikan istilah ‘maruah’. Mungkin hanya ‘manusia purba’ seperti aku sahaja yang masih lagi ‘mengagung-agungkan’ konsp ‘maruah’ yang pada suatu ketika dahulu merupakan satu pusaka bangsa Melayu yang amat berharga dan dihargai.

Mungkin juga aku dapat membayangkan ramai pemimpin Melayu terutamanya golongan muda sedang mempersendakan aku kerana mewar-warkan istilah ‘maruah’ ini yang pada pandangan mereka tidak perlu lagi dibicarakan. Mungkin apa yang dimaksudkan ‘maruah’ bagi mereka bukan bermaksud ‘maruah’ seperti yang aku gambarkan, ataupun sepertimana yang digambarkan oleh datuk nenek kita pada zaman lampau.

Apa tidaknya…

Pemimpin kita seolah-olah tidak langsung ‘terasa’ dan ‘terkesan’ apabila mereka dituduh pemimpin yang menerima rasuah.  Para pemimpin negara kita tidak langsung ‘terkesan’ atau merasa ‘terhina’ apabila melakukan sesuatu tindakan yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan bangsa Melayu yang beragama Islam.

Cubalah bayangkan…

·      Apakah lena tidur seseorang pemimpin yang setiap saat dan ketika sentiasa di maki dan dihamun oleh masyarakat kerana tindakannya yang amat bertentangan dengan seorang pemimpin yang bermaruah.
·      Apakah seorang pemimpin itu boleh tenang kehidupan yang dilaluinya sekiranya dia tahu berjuta-juta ringgit wang tunai berada dalam simpanannya. Dan dia amat sedar bahawa wang yang dimilikinya itu bukanlah diperolehinya dari kegiatan yang halal. Ringkasnya wang rasuah.
·      Apakah agaknya perasaan seorang isteri yang memiliki ratusan beg tangan yang berjenama yang beliau amat sedar bahawa beg tangan yang berpuuh-puluh buah itu dibeli melalui wang haram diperolehi oleh si suami dari kegiatan rasuah.
·      Apakah seorang pemimpin merasa selesa menaiki kereta mewahnya apabila beliau penuh sedar bahawa wang yang digunakan untuk memiliki kereta yang sedemikian adalah melalui kegiatan haram. Rasuah.
·      Dan yang paling hina dan paling jijik ialah apabila ada diantara pemimpin Melayu yang beragama Islam yang sanggup melakukan kegiatan rasuah sedangkan beliau amat sedar bahawa kegiatannya itu amat bertentangan dengan ajaran yang diajarnya kepada pengikutnya. Amat malang apabila ‘label Islam yang sentiasa digunakannya tidak dipeliharanya dengan betul. Berserban dan berjanggut tebal mengikut sunnah Rasul sedangkan perbuatannya amat jauh menymipang dari amalan Rasullullah.

Soalnya mengapa begitu jadinya? Orang Melayu yang turun temurun sangat mementingkan maruah diri sudah begitu mudah terjerumus di ‘lembah kehinaan’ ini, suatu sifat yang amat dihargai oleh orang Melayu. Dan yang anihnya semacam sudah tidak ada langsung usaha untuk memelihara budaya ‘menjaga maruah diri’ dikalangan orang Melayu ini.

Perkataan ‘maruah’ hanya mainan bibir pemimpin Melayu. Entah berapa puluh kali perkataan ‘maruah’ dan harga diri dilafazkan di persidangan Perhimpunan UMNO setiap tahun  misalnya oleh para pemimpin tetapi istilah itu hanya tinggal sebutan dan perhiasan kata-kata dan ayat. Sikap menjaga maruah diri itu seolah-olah sudah diketepikan langsung dan tidak dipedulikan. Semacam tidak terasa langsung bagi pemimpin yang menyelewengkan istilah demikian.

Baru-baru ini terdapat sebilangan besar yang dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah adalah terdiri dari golongan yang berpangkat dan berdarjat. Bagi aku dan bagi sesiapa sahaja bahawa anggota masyarakat yang bergelar (dan yang berpingat) sudah tentulah anggota masyarakat yang telah berjasa dan memberikan sumbangan yang amat besar kepada bangsa dan negara dan juga agama. Agaknya lah. Dan sudah pastinya tergolong dalam kategori orang yang bermaruah. Jikalau tidak masakan pihak istana sanggup mengurniakan bintang-bintang kebesaran kepada mereka.

Malangnya ada diantara mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah ( yang dituduh oleh SPRM) adalah terdiri dari golongan ‘terhormat’ yang mendapat gelaran dari istana. Bukan sahaja golongan sebegini tidak menghormati kurniaan yang diberikan oleh pihak istana tetapi yang paling penting ialah mereka telah mencemar ‘pusaka Melayu’ yang paling berharga ia itu ‘maruah’. Jelasnya bahawa mereka yang berkelakuan sedemikian merupakan golongan yang tidak bermaruah ataupun suda hilang langsung maruah diri  mereka.

Amat malang bangsaku yang sudah tidak bermaruah…

abuhassanadam
26 April 2017