Wednesday, April 26, 2017

SUDAH RAMAI PEMIMPIN MELAYU TIDAK BERMARUAH

Aku tak kata semua pemimpin Melayu begitu. Tapi yang kelihatan ialah bahawa sudah ramai para pemimpin Melayu yang termasuk dlam kategori ‘tidak bermaruah’ itu. Mungkin agak keterlaluan aku kata begitu tetapi ramai yang mengatakan demikian. Dan tentulah tidak ada statistik untuk menunjukkan keadaan sedemikian. Hanya persepsi yang menentukan.

Mungkin juga aku sama tarafnya dengan ‘Dainosaur’ sejenis binatang yang sudah pupus, yang sentiasa membincangkan isu-isu lapuk di telan zaman. Mungkin manusia yang bernama Melayu kini sudah tidak mempedulikan istilah ‘maruah’. Mungkin hanya ‘manusia purba’ seperti aku sahaja yang masih lagi ‘mengagung-agungkan’ konsp ‘maruah’ yang pada suatu ketika dahulu merupakan satu pusaka bangsa Melayu yang amat berharga dan dihargai.

Mungkin juga aku dapat membayangkan ramai pemimpin Melayu terutamanya golongan muda sedang mempersendakan aku kerana mewar-warkan istilah ‘maruah’ ini yang pada pandangan mereka tidak perlu lagi dibicarakan. Mungkin apa yang dimaksudkan ‘maruah’ bagi mereka bukan bermaksud ‘maruah’ seperti yang aku gambarkan, ataupun sepertimana yang digambarkan oleh datuk nenek kita pada zaman lampau.

Apa tidaknya…

Pemimpin kita seolah-olah tidak langsung ‘terasa’ dan ‘terkesan’ apabila mereka dituduh pemimpin yang menerima rasuah.  Para pemimpin negara kita tidak langsung ‘terkesan’ atau merasa ‘terhina’ apabila melakukan sesuatu tindakan yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan bangsa Melayu yang beragama Islam.

Cubalah bayangkan…

·      Apakah lena tidur seseorang pemimpin yang setiap saat dan ketika sentiasa di maki dan dihamun oleh masyarakat kerana tindakannya yang amat bertentangan dengan seorang pemimpin yang bermaruah.
·      Apakah seorang pemimpin itu boleh tenang kehidupan yang dilaluinya sekiranya dia tahu berjuta-juta ringgit wang tunai berada dalam simpanannya. Dan dia amat sedar bahawa wang yang dimilikinya itu bukanlah diperolehinya dari kegiatan yang halal. Ringkasnya wang rasuah.
·      Apakah agaknya perasaan seorang isteri yang memiliki ratusan beg tangan yang berjenama yang beliau amat sedar bahawa beg tangan yang berpuuh-puluh buah itu dibeli melalui wang haram diperolehi oleh si suami dari kegiatan rasuah.
·      Apakah seorang pemimpin merasa selesa menaiki kereta mewahnya apabila beliau penuh sedar bahawa wang yang digunakan untuk memiliki kereta yang sedemikian adalah melalui kegiatan haram. Rasuah.
·      Dan yang paling hina dan paling jijik ialah apabila ada diantara pemimpin Melayu yang beragama Islam yang sanggup melakukan kegiatan rasuah sedangkan beliau amat sedar bahawa kegiatannya itu amat bertentangan dengan ajaran yang diajarnya kepada pengikutnya. Amat malang apabila ‘label Islam yang sentiasa digunakannya tidak dipeliharanya dengan betul. Berserban dan berjanggut tebal mengikut sunnah Rasul sedangkan perbuatannya amat jauh menymipang dari amalan Rasullullah.

Soalnya mengapa begitu jadinya? Orang Melayu yang turun temurun sangat mementingkan maruah diri sudah begitu mudah terjerumus di ‘lembah kehinaan’ ini, suatu sifat yang amat dihargai oleh orang Melayu. Dan yang anihnya semacam sudah tidak ada langsung usaha untuk memelihara budaya ‘menjaga maruah diri’ dikalangan orang Melayu ini.

Perkataan ‘maruah’ hanya mainan bibir pemimpin Melayu. Entah berapa puluh kali perkataan ‘maruah’ dan harga diri dilafazkan di persidangan Perhimpunan UMNO setiap tahun  misalnya oleh para pemimpin tetapi istilah itu hanya tinggal sebutan dan perhiasan kata-kata dan ayat. Sikap menjaga maruah diri itu seolah-olah sudah diketepikan langsung dan tidak dipedulikan. Semacam tidak terasa langsung bagi pemimpin yang menyelewengkan istilah demikian.

Baru-baru ini terdapat sebilangan besar yang dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah adalah terdiri dari golongan yang berpangkat dan berdarjat. Bagi aku dan bagi sesiapa sahaja bahawa anggota masyarakat yang bergelar (dan yang berpingat) sudah tentulah anggota masyarakat yang telah berjasa dan memberikan sumbangan yang amat besar kepada bangsa dan negara dan juga agama. Agaknya lah. Dan sudah pastinya tergolong dalam kategori orang yang bermaruah. Jikalau tidak masakan pihak istana sanggup mengurniakan bintang-bintang kebesaran kepada mereka.

Malangnya ada diantara mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah ( yang dituduh oleh SPRM) adalah terdiri dari golongan ‘terhormat’ yang mendapat gelaran dari istana. Bukan sahaja golongan sebegini tidak menghormati kurniaan yang diberikan oleh pihak istana tetapi yang paling penting ialah mereka telah mencemar ‘pusaka Melayu’ yang paling berharga ia itu ‘maruah’. Jelasnya bahawa mereka yang berkelakuan sedemikian merupakan golongan yang tidak bermaruah ataupun suda hilang langsung maruah diri  mereka.

Amat malang bangsaku yang sudah tidak bermaruah…

abuhassanadam
26 April 2017











2 comments: