MASIH MENCARI DIMANA SILAPNYA ORANG MELAYU
Sepatutnya isu ini sudah lama selesai dan tak perlu lagi
dibincangkan. Ini isu lapuk. Tetapi rupanya isu yang berkaitan dengan kelemahan
orang Melayu ini merupakan isu yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek
panas’.
Orang
Melayu pada umumnya masih lemah. Masih tak berdaya saing. Masih tak maju. Masih
‘dibawah tempurung’. Masih itu dan masih ini. Pendek kata istilah ‘lemah’ ‘ tak
bermaya’ dan berbagai-bagai yang berunusur negatif semacam dimiliki oleh orang
Melayu. Walaupun sudah lebih setengah abad dibebaskan oleh penjajah British,
namun orang Melayu masih belum maju setanding dengan bangsa lain.
Aku
sentiasa mencemburui tentang pencapaian yang diperolehi oleh Singapura. Jiran
terdekat. Dan tidak banyak perbezaan dengan negara kita. Kita lebih dahulu
mencapai kemerdekaan. Dan Singapura mendapat kemerdekaan semacam ikhsan dari
usaha pemimpin kita, Tunku Abdul Rahman yang mempelawa Singapura bekerjasama
dalam pembentukan Malaysia. Dan bermula dari ketika penubuhan Malaysia (yang
kemudiannya berpisah) Singapura seolah-olah tidak menoleh kebelakang. Terus
menerus dengan pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara. Tentulah bangsa
Singapura amat terhutang budi kepada Lee Kuan Yew yang telah mengasaskan suatu
pasak yang begitu kukuh demi kemajuan bangsa Singapura.
Dimana
silapnya bangsa Malaysia yang sehingga kini masih ‘terkial-kial’ untuk mencapai
kemajuan menepati pengertian Kurun ke 21.
Kurniaan
Tuhan kepada Malaysia melebihi apa yang dikurniakan kepada negara dan bangsa
lain. Hasil bumi yang melimpah ruah, kedudukan Malaysia yang strategik dengan
tidak ada langsung gangguan gerak gempa (seperti setengah negara di Asia),
tidak ada ribut taufan besar yang boleh mengganggu perjalanan kehidupan rakyat
( seperti yang terdapat di Filipina).
Namun
semacam bangsa kita (Malaysia) tidak sedarkan diri. Dalam hal ini orang
Melayulah ( termasuk aku ) yang patut dipersalahkan. Dan orang Melayulah yang
aku katakan yang tidak sedarkan diri. Orang Melayu masih merasakan yang dirinya
hebat. Orang Melayu masih berpegang kepada kata-kata Hang Tuah (kononnya)
‘orang Melayu tak akan hilang didunia’. Itulah pegangan dan falsafah yang
dipegang oleh kebanyakan orang Melayu sehingga kini. Semenjak zaman dahulu lagi
orang Melayu berpegang kepada kenyataan sedemikian demi untuk ‘menghiburkan’
hatinya ketika berduka lara. Dalam apa-apa perhimpunan yang dihadiri oleh
seratus peratus Melayu, maka kata-kata Hang Tuah itu diutarakan demi untuk
meniup semangat orang Melayu.
Orang
Melayu percaya bahawa kata-kata itu dimiliki oleh Hang Tuah. Dan orang Melayu
juga yakin bahawa ada wujud manusia yang bernama Hang Tuah yang sentiasa
didewa-dewakan oleh mereka, walaupun tidak ada bukti sejarah yang jelas
menunjukkan kewujudannya. Orang Melayu sentiasa mencari tempat ‘berpaut’ demi
menghiburkan hati yang ‘duka lara’. Dengan sogokan ‘kata-kata hiburan’ inilah
yang menyebabkan kebanyakan orang Melayu ‘terbuai’ dan terus ‘tertidur’. Orang
Melayu terus menjadi bangsa yang lemah berbanding dengan bangsa lain.
Golongan
orang lama seperti aku, yang dilahirkan pada zaman penjajahan sentiasa menunggu
dan menunggu saat dan ketika untuk melihat orang Melayu maju menepati erti kata
manusia maju dalam kurun ke 21. Aku tak nafikan bahawa sudah ada orang Melayu
yang maju berbanding dengan orang Melayu sebelum merdeka. Betul. Tetapi jika
dibandingkan dengan bangsa lain di Asia, orang Melayu masih lemah.
Terkebelakang. Hampir tercorot. Tak masuk ‘bob’ (buku) (loghat orang Perak).
Sebenarnya
bangsa Malaysia telah pun menunjukkan kemajuan zaman era 1980an dan 1990an.
Orang Melayu telah mula menampakkan kemajuan dibawah pimpinan Dr Mahathir dan
Saudara Anwar Ibrahim. Bangsa Malaysia ( termasuklah orang Melayu) ketika itu
telah mula menampakkan keyakinan diri dan boleh berdiri sama tegak dengan
bangsa lain di dunia. Orang Melayu sudah mengorak langkah untuk menempa
kemajuan seperti bangsa lain. Entah macam mana keadaan sedemikian terbantut.
Dan bukanlah melalui rencana ini untuk aku mengulas mengapa keadaan sedemikian
terbantut.
Yang agak
menghairankan aku ialah bahawa media massa arus perdana ( Suratkhabar atau TV) kini
sentiasa ‘memainkan’ cerita yang ‘hebat-hebat’ mengenai orang Melayu sehingga
orang Melayu ‘terbuai’ dan ‘terlena’. Orang Melayu lupa dengan keadaan orang
Melayu yang berada dalam kesengsaraan, penderitaan. Orang Melayu sentiasa
‘didendangkan’ dengan keadaan zaman Jepun dan zaman Dharurat yang memaparkan
suasana penderitaan di negara ini pada zaman itu. Orang Melayu hampir lupa
bahawa derita yang dialami kini tidak banyak bezanya dengan keadaan zaman
derita yang pernah dilalui. Dengan berbagai tekanan hidup, orang Melayu lupa
bahawa sebenarnya mereka dalam derita disebabkan mereka sentiasa ‘dilupakan’
dengan sogokan berbagai hiburan melalui radio dan TV yang ‘melenakan’.
Bilakah
agaknya orang Melayu betul-betul sedar tentang nasib yang dideritai oleh
mereka?
Tak tahu
aku nak menjawabnya.
abuhassanadam
18 April
2017
No comments:
Post a Comment