Saturday, April 15, 2017

NASHARUDDIN MASIH AHLI PAS!

Biar aku jelaskan awal-awal lagi bahawa aku memang orang kampung. Ada orang mengatakan bahawa fikiran orang kampung seperti aku ni kolot. Tak progresif. Tengin.. Bodoh. Betul jugalah agaknya. Sebab aku kata begitu kerana semakin aku baca surat khabar di Malaysia dan tonton TV arus perdana semakin keliru aku. Mungkin aku yang bodoh dan tidak dapat memahami apa yang diperkatakan.

Memang betul bahwa fikiran orang kampong seperti aku ni, memang ‘betul-bendul’. Tak dapat membaca ‘apa yang tersirat’ walaupun beratus kali dipesan oleh Cikgu Samad ( guru aku ketika aku dalam Darjah tiga sekolah Melayu dulu) bahawa kalau nak baca, hendaklah dibaca apa yang tersirat dan bukan apa yang tersurat.

Jadi apabila aku baca tentang kemelut politik dan kewangan yang membabitkan pemimpin PAS dan UMNO ini aku semacam ‘pening lalat’. Tak dapat aku hendak menilainya. Maklumlah orang kampung biasanya pemikirannya ‘straight-forward’ dan tak pandai nak berbelok-belok

Saudara Rafizi Ramli dalam kenyataan bersumpahnya ( saya ulangai KENYATAAN BERSUMPAH RAFIZI) mengatakan bahawa ada sejumlah wang yang mengalir dari akaun DS Mohd Najib ke akaun Ustaz Nasharuddin melalui peguam. Itu kenyataan bersumpah yang dilafazkan oleh Saudara Rafizi. Maknanya yang membuat tuduhan itu yakin benar bahawa apa yang dikatakannya itu sebagai sesuatu yang benar belaka. Pendek kata itu sumpah yang dilafazkannya. Maknanya bagi aku orang kampung totok ni, Ustaz Nasharuddin kena buat laporan polis sekiranya apa yang dikatakan oleh Saudara Rafizi itu sebagai fitnah. Selagi belum ada laporan polis atau tindakan undang-undang terhadap Rafizi, maknanya memang betullah apa yang dikatakan oleh YB Rafizi itu.

Orang kampung sudah semakin tidak yakin dan hampir tidak percaya apa yang dikatakan oleh kebanyakan pemimpin PAS. Macam yang selalu dicakapkan oleh orang muda sekarang ler. ‘Cakap tak serupa bikin’.Kisah nak mengambil tindakan undang-undang terhadap The Sarawak Report masih belum nampak. ‘Habuk pun tarak’. Bak kata orang Perak, ‘ cakap berdegar-degar t - -  i sangkut digelegar’.

Memang betul apa yang diperhatikan oleh orang kampung tu. Cakap bukan main besar. Nak saman sana, nak saman sini. Nafi sana, nafi sini. Tuduh orang itu fitnah, tuduh orang ini kafir. Dan yang betul dan tepatnya hanyalah mereka sahaja kononnya.

Aku bimbang dengan keadaan yang berlaku kini. Tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kini ( samada PAS atau UMNO ) sedang diperhatikan oleh anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah. Yang paling menakut dan membimbangkan aku ialah apabila melihatkan gelagat pemimpin PAS yang membawa imej Islam. Kononnya para pemimpin PAS inilah yang ‘benar-benar’ memperjuangkan Islam. Memperjuangkan Sunnah Rasul. Dan seolah-olah apa yang dilakukan oleh pemimpin PAS itu adalah benar dan betul belaka.

Dan apabila timbul kisah sebagaimana yang dipaparkan oleh Saudara Rafizi Ramli melalui akuan bersumpahnya itu telah menambahkan lagi ‘krisis keyakinan’ terhadap kepimpinan PAS. Orang kampung mula mempertikaikan tentang ‘perbezaan’ antara pemimpin PAS (yang kononnya memperjuangkan Hudud dan prinsip Islam ) dengan setengah pemimpin UMNO ( yang dikatakan ramai terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral). Aku tak pula kata pemimpin pembangkang tu semuanya betul dan benar belaka…

Orang kampung  mula membuat tafsiran bahawa para pemimpin PAS juga tidak boleh dipercayai. Golongan ini pun menerima wang haram juga ( jika mendapat kesempatan). Golongan ini juga suka bermewah-mewah sekiranya mendapat kesempatan. Golongan ini juga teringin berkereta mewah sekiranya mendapat kesempatan berbuat demikain. Golongan ini juga teringin untuk melancong ke luar negara dan teringin untuk bermain golf seperti mana yang dinikmati oleh ‘rakan seperjuangan’  mereka dalam UMNO kini.

Anak muda Melayu yang beragama Islam sedang memerhatikan trend dan fenomena ini. Mereka diajarkan bahawa Islam itu adalah agama kedamaian sedangkan di kebanyakan negara-negara yang bersengketa di dunia adalah negara Islam. Mereka diajarkan disekolah supaya berakhlak baik mencontohi akhlak yang dibawa oleh Nabi Muhammad Al-Amin. Tetapi apa yang dilihat dan dipertontonkan kepada mereka adalah perangai pemimpin Islam yang jauh menyimpang daripada amalan pemimpin Islam sebenar. Jauh sekali daripada keperibadian Rasullallah dan Khalifah Empat.

Apakah para pemimpin (yang mendabik dada mengatakan yang mereka pemimpin Islam sebenar) sedemikian tidak menyedari hakikat ini. Ataupun memang sifat setengah pemimpin PAS kini yang hanya kuat ‘berkokok sedangkan ekor bergelumang tahi’ ataupun mungkin mereka hanya seperti ketam yang hanya tahu ‘mengajar anak berjalan betul’.

Sikap setengah pemimpin PAS yang ditunjukkan kini adalah amat memalukan. Itulah pandangan kebanyakan orang kampung kini.

abuhassanadam

15 April 2017

No comments:

Post a Comment