GUNA BAHASA INGGERIS - KALAU BAPAK
BOREK….
Ini merupakan cerita lapuk, kisah
orang Melayu menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan rasmi. Isu ini memang
sudah lama dibincangkan semenjak negara kita mula mencapai kemerdekaan.
Diadakan Minggu Bahasa Kebangsaan. Kemudian diadakan pula Bulan Bahasa
Kebnagsaan. Diadakan pula berbagai pertandingan untuk menggalakkan bangsa Malaysia
mengutamakan bahasa Melayu terutama golongan bukan Melayu.
Masih ditakuk lama. Golongan bukan
Melayu masih semacam enggan menggunakan bahasa Melayu dan orang Melayu pula
cenderung pula menggunakan bahasa Inggeris, walaupun menggunakan bahasa
Inggeris yang ‘lintang pukang’ nahunya.
Golongan bukan Melayu merasa amat
selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam berkomunikasi sedangkan setengah orang
Melayu pula merasakan ‘berbangga’ menggunakan bahasa Inggeris. Seolah-olah
‘keintelektualan’ seseorang itu terletak kepada bahasa Inggeris yang
digunakannnya. Dengan sebab itulah dapat diperhatikan para artis kita pun sudah
mula menggunakan bahasa Inggeris walaupun sedang ‘bertatih’ dalam
penggunaannya.
Amalan sedemikian tentulah tidak
menghairankan kerana para pemimpin negara juga sering menggunakan bahasa
Inggeris dalam percakapan mereka. Perhatikan sahaja kenyataan yang dibuat oleh
mereka melalui TV dan radio sering menggunakan bahasa Inggeris yang
dicampur-adukan dengan bahsa Melayu. Yang menghairanan ialah penggunaan bahasa
Ingggeris mereka juga dalam keadaan ‘lintang –pukang’. Separuh bahasa Inggeris
dan separuh bahasa Melayu. Menilik kepada pertuturan mereka jelas menunjukkan
bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka adalah di peringkat sangat lemah.
Namun para pemimpin Melayu kita
masih menggunakan bahasa Inggeris. Ini yang dikatakan apabila ‘bapak borek maka
anaknya mesti rintik’. Dengan sebab itulah agaknya kebanyakan ahli korporat
Melayu apabila berbicara di TV sering dan pasti menggunakan bahasa Inggeris
ketika memberikan penjelasan tentang syarikat mereka. Jarang sangat melihat
ahli korporat Melayu menggunakan bahasa Melayu.
Sebenarnya orang Melayu harus sedar
bahawa orang Melayu sendiri tidak menghormati bahasanya sendiri. Mungkin agak
keterlaluan aku mengeluarkan kenyataan sedemikian. Yang langsung tidak tahu
berbahasa Inggeris sahaja yang menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan
pertuturan dalam bahasa ibunda.
Sebagaimana yang telah aku jelaskan
tadi bahawa pada anggapan setengah orang Melayu, menggunakan bahasa Inggeris
itu adalah sebagai lambang untuk meletakkan kedudukan mereka di mata
masyarakat. Zaman penjajahan Inggeris dulu-dulu, sudah menjadi amalan golongan
cerdik pandai Melayu mesti berkahwin dengan ‘orang putih’ setelah menamatkan
pengajian di England. Tidaklah semuanya begitu. Semacam tidak sah atau tidak
sempurna ‘hajat’ orang Melayu pada ketika menghantar anak belajar di luar
negara sekiranya si anak tidak membawa pulang ‘mem’ orang putih untuk dijadikan
isteri.
Bagi aku tidak salah memperdalami
bahasa Inggeris sekiranya dengan berbuat demikian kita akan dapat meneroka
ilmu-ilmu lain yang banyak ditulis dalam bahasa Ingggeris. Tidak salah
menggunakan bahasa Inggeris sekiranya penggunaannya di tempat yang sesuai untuk
digunakan.
Yang salah dan tidak berapa kena
ialah apabila pemimpin kerajaan menggunakan bahasa Inggeris (rojak) di TV dan
radio. Yang salah dan tidak berapa kena ialah apabila menggunakan bahasa
Inggeris di majlis-majlis perkahwinan yang sebahgian besar jemputan terdiri
dari orang Melayu. Apakah perlu dikorbankan bahasa Melayu dalam majlis serupa
itu hanya semata-mata untuk ‘mengambil hati’ dua tiga kerat golongan bukan
Melayu. Dan mungkin jemputan bukan Melayu itu pun lebih selesa mendengar ucapan
‘tuan rumah’ yang disampaikan dalam bahasa Melayu.
Orang Melayu semacam tidak berbangga
menggunakan bahasa Melayu. Mungkin juga keterlaluan aku katakan demikian.
Tetapi begitulah hakikatnya. Pemimpin Melayu hanya pandai ‘menanam tebu di
bibir mulut’. Hanya sekadarkan pandai melafazkan perasaan ‘cinta’ kepada bahasa
Melayu sedangkan dari segi praktiknya tidak langsung menampakkan kecintaan
sedemikian.
Bahasa Melayu tidak akan maju
sekiranya tidak ada usaha bersungguh dari pemimpin Melayu untuk mendaulatkan
bahasa ibunda sedemikian. Jangan salahkan golongan bukan Melayu sekiranya
mereka tidak menggunakan bahasa Melayu.
Orang Melayu sendiri yang patut
dipersalahkan. ( Termasuk aku ler tu)
abuhassanadam
24 April 2017
No comments:
Post a Comment