Wednesday, April 26, 2017

DI TEPIAN TASIK MARDI
Atas permintaan 'anak-anak kesayangan' aku siarkan semula posting di bawah.



Friday, March 25, 2016



            DI TEPIAN TASIK MARDI

            Secara kebetulan semalam ( 24 Mac 2016) aku melalui kawasan pertanian MARDI. Entah macam mana aku ‘tersesat’ ke situ. Aku tidak pernah pun memasuki kawasan pertanian yang telah wujud ‘zaman-berzaman’ ini. Namanya sememangnya biasa kedengaran. Dan aku teringat juga ada beberapa orang kawan aku yang pernah bertugas di sini. Waktu ‘muda-muda’ dulu.

            Tak terfikir pula aku kawasan MARDI ini merupakan kawasan ‘kampung’ yang cantik. Dan aku ingin ‘menasihat’kan kawan-kawan yang merindui keadaan kampung, pergilah ke MARDI. Ada pokok-pokok rimbun, ada tasik yang membiru, malah para pekerja yang sempat aku jumpa dan temui juga seperti orang kampung. Maksud aku tentang ‘budi bahasa’ mereka. Dan suasana di salah sebuah kantin di MARDI ( tidak jauh dari tasik) juga seperti suasana kampung. Barang makanan yang terjual di situ juga dengan harga yang amat berpatutan. Sedap pulak tu. Terutama gulai kambingnya!...

            Yang aku nak cerita bukan cerita MARDI. Cerita kantin di MARDI juga bukan. Yang menarik perhatian aku ialah tentang larian merentas desa yang dijalankan di situ ketika aku melalui kawasan itu. Aku tak tahu sekolah mana yang menjalankan larian merentas desa pada ketika aku berada di situ. Yang aku pastinya mestilah sekolah anak orang kaya-kaya. Dan sekolah berkenaan bukan dari kawasan Serdang atau Kajang. Dari jauh datangnya mereka memandangkan terdapat puluhan buah bas yang membawa anak-anak ke mari. Maknanya datang dari Kuala Lumpur atau Subang Jaya. Tentunya sekolah swasta. Sekolah orang kaya-kaya.

            Suasana sebegini pastinya menghiburkan aku, seorang tua yang sebahgian dari usiaku diabdikan untuk berkecimpung bersama anak-anak ( tidak kira dan tidak mengenal bangsa, agama dan warna kulit). Alangkah gembiranya hati dan perasaan aku melihatkan anak-anak yang berada dalam lingkungan belasan tahun ini berlari dengan riang seolah-olah tidak ada apa yang merunsingkan perasaan mereka berbanding dengan ibu bapa mereka yang terpaksa memikirkan tentang bahagaimana untuk mendapatkan wang untuk membiyai persekolahan mereka yang pastinya dalam jumlah yang agak besar.

            Aku duduk di sebuah kerusi berhampiran dengan tasik biru sambil menghirup udara nyaman pagi hening. Di samping itu aku leka juga memerhatikan barisan kanak-kanak berlari. Semua bangsa. Melayu, Cina, India, dan ada juga bangsa lain. Mereka sama-sama berlari dan ketawa tanpa memikirkan yang mereka berlainan bangsa dan agama. Pastinya mereka akan memberikan pertolongan antara satu dengan yang lain sekiranya dalam arus larian mereka nanti ada yang mendapat kemalangan. Aku yakin yang mereka akan membantu antara satu dengan yang lain.

            Bahagia sungguh perasaan aku pada pagi ini. Terlalu banyak perkara yang membahagiakan hati orang tua ini. Namun yang paling mengembirakan ialah melihatkan persefahaman dan keakraban ‘anak-anak’ Malaysia dari semua bangsa bersatu padu, bergembira dalam larian merentas desa. Mungkin juga wujud keadaan ‘anak’anak’ yang bersikap begini didorongkan oleh guru-guru sekolah ini yang mendorongkan agar pelajar-pelajar mereka bersikap demikian. Suatu yang jelas ‘diperlihatkan’ di depan mata aku ialah sikap guru-guru yang seolah-olah tidak menunjukkan sikap perkauman antara satu dengan yang lain. Yang bertudung kelihatan semacam begitu mesra dengan yang tidak bertudung. Yang berkulit cerah tidak menampakkan kejanggalan bergaul mesra dengan yang berkulit sawo-matang. Mungkin agaknya wujud keadaan harmoni yang sebegini disebabkan kepimpinan atasan sekolah ini yang mahukan keadaan sedemikian. Agaknya begitulah.

            Betul rupanya apa yang sentiasa diperkatakan oleh masyarakat umum. Jikalau dah pernah jadi guru, selama-lamanya akan menjadi guru. Amat bahagia sekiranya dipanggil ‘Cikgu’. Anak-anak yang berderetan lari dihadapan mata aku tidak tahu bahawa aku juga pernah berlari semacam mereka berlari. Dan para guru yang ada di situ juga tidak tahu bahawa aku juga pernah seperti mereka pada suatu ketika dulu mengawasi anak-anak lari dalam larian merentas desa (X-Country).

            Terbayang di mata aku bagaimana Chan Siew, Malik, Sahrifuddin, Foo Chor, Krishnan, Subba Singh (semuanya berkaki ayam) disekitar tahun-tahun awal 60an lari merentas desa melalui Malay College, Rumah Sakit Kuala Kangsar, terus ke kawasan Basong dan balik ke sekolah (Clifford School, Kuala Kangsar). Dah lama ‘ceita’ ini berlaku tetapi masih terbayang dan masih segar dalam ingatan aku. Cuma yang agak ada persamaan dengan anak-anak yang lari dihadapan mata aku itu ialah hilai dan ketawa kami dulu semacam serupa dengan hilai dan ketawa anak-anak yang berlari di hadapan aku. Ketika itu kami juga tidak mengenali warna kulit.

            Satu pagi aku menghabiskan masa di tepian Tasik MARDI. Pagi itu penuh dengan sejarah dan ingatan nostalgia. Aku tunggu peserta terakhir berlalu hanya untuk ‘memuas dan membahagiakan’ hati dan perasaan yang sudah lama kontang ini. Sampai ke peserta terakhir aku perhatikan bahawa semacam tidak ada batasan perkauman antara pelajar-pelajar yang terdiri dari anak-anak Malaysia ini.

            Hanya aku mengharapkan agar guru-guru yang mendidik anak-anak ini akan terus menyemaikan perasaan persaudaraan antara kaum-kaum di Malaysia supaya benar-benar wujud bangsa Malaysia menepati ertikata sebenarnya satu ketika nanti. Persetankan anasir-anasir luar yang cuba mengeruhkan hubungan kaum di negara yang tercinta ini.

            Aku renung lama-lama tasik biru MARDI. Aku ‘hirup’ puas-puas udara bersih dan hembusan bayu dipersekitaran tasik MARDI. Aku pulang dengan persaan dan hati yang ‘terubat’ sebelum aku singgah sebentar untuk menikmati gulai kambing di salah sebuah restoran di MARDI.

abuhassanadam

25 Mac 2016

1 comment:

  1. Baik sangat Sir! Boleh tak buat blog post tentang tahun ni punya X-Country pulak?

    ReplyDelete