Monday, April 17, 2017

PAJERI NENAS, GULAI TEMPOYAK IKAN PATIN…

Semalam hampir seluruh ahli jemaah qariah kampung aku bertumpu ke rumah seorang anggota qariah lain yang mengadakan majlis khenduri. Khenduri kesyukuran katanya. Oleh kerana penghuni di kampung aku ini tidaklah begitu ramai, maka berduyun-duyunlah kami pergi berkunjung ke rumah rakan ku ini.

Apabila dipukul tabuh larangan, palu gong pelaung, titir canang pemanggil maka yang capik datang bertongkat, yang buta beraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang kecil terambin lintang, yang jarak tolak-tolakan, yang pendek bertinjau-tinjau,yang kurap mengekor angin, yang pekak pembakar meriam, yang buta penghembus lesung, yang lumpuh penghalau ayam, yang pekung penjemuran, yang kurap pemikul buluh.

Setelah selesai dibacakan doa selamat oleh imam masjid kampung kami, dan setelah sedikit ucapan disampaikan oleh tuan rumah mengalu-alukan kehadiran kami, maka sampailah masanya untuk kami menikmati sajian yang disediakan. Alangkah terperanjatnya kami apabila hidangan yang disediakan sama seperti hidangan di kampung dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an. Jarang sangat majlis begini diadakan dalam format yang sedemikian. Apatah lagi di kampung kami yang terpencil ini.

Memang ‘perangai’ ‘si tuan rumah’ ni suka ‘menyakat’ kami penduduk di kampung ini. Segala ‘kata-kata’nya dan ‘percakapan’nya sentiasa perlu berhati-hati. Perlu ‘membaca’ apa yang tersirat dari apa yang tersurat. Pendek kata perlulah ‘berhati-hati’ apabila berinteraksi dengan beliau. Dan sememangnya lah beliau amat peramah dan disukai oleh semua lapisan masyarakat di sini.

Aku sentiasa berwaspada apabila ‘berhadapn’ dengannya. Dan bukan aku seorang yang berpendapat sedemikian…

Memang  berselera betul kami makan. Maklumlah jamuan yang dihidangkan ialah Pajeri Nenas, Gulai Lemak Pucuk Ubi, Gulai Tempoyak  Ikan Patin, Goreng ayam kampung, Sambal dan ulam Jering dan petai. Dimulakan pula dengan kambing bakar. Memang ‘menggilakan’ jemputan yang hadir yang rata-rata terdiri pesara kerajaan ataupun peneraju bank dan syarikat menikmati hidangan yang disediakan. Tentulah sudah agak lama ‘golongan’ ini tidak menikmati hidangan sedemikian.

Yang hebatnya cara hidangan bukan cara ‘buffet’ tetapi hidangan pakai talam dan piring yang ‘diimport’ dari kampung (mungkin). Dan yang menambah selera dan nikmatnya makanan yang disediakan adalah ‘air tangan’ ibunya. Masak sendiri. Tidak pakai caterer punya. Dan memang original lah Pajeri Nenasnya, Gulai ikan Patin masak tempoyaknya, gulai lemak pucuk ubinya. Pendek kata semuanya menyelerakan.

Sementara menikmati makanan yang dihidangkan, masing-masing dengan cerita ‘nostalgia’ masing-masing. Mengenangkan kembali ketika masih kecil menikmati hidangan khenduri di kampung. Mengenang kembali bagaimana orang kampung bergotong royong ‘menumbangkan’ seekor lembu dan beberapa ekor kambing untuk menjamu seluruh penduduk kampung apabila mengadakan khenduri kahwin. Bergotong royong.

Tentulah aku teringat akan Pak Lang Said Jebung dan Pak Ngah Said dan Pan Baayah yang merupakan tonggak apabila  diadakan khenduri di kampung. Merekalah yang menjadi peneraju dan penggerak apabila mengadakan khenduri kahwin di kampung. Mereka tidak dibayar bagi tenaga yang dicurahkan mereka menjayakan sesuatu majlis khenduri. Mereka sanggup meninggalkan tugas harian mereka demi membantu menjayakan sesuatu majlis  khenduri di kampung. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Kini keadaan sedemikian sudah tidak ada lagi, samada di kampung apatah lagi di bandar…

Namun rakan ku ini cuba menghidupkan kembali suasana demikian. Dia cuba memperkenalkan semula makanan ‘masak sendiri’ oleh isteri dan rakan-rakannya. Dia cuba memperkenalkan kembali hidangan pakai talam. Cuba memperkenalkan kembali Pajeri Nenas, Gulai Tempoyak Ikan Patin, Gulai Lemak Pucuk Ubi, Sambal Belacan berulamkan petai dan jering, rebus ubi kayu bercicah kelapa, kuih Dokok-Dokok dan Puteri Mandi dan Kuih Puteri Dua Sebilik…

Kami pulang dengan hati penuh riang, mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah yang baik hati dan terutama yang menyediakan masakan buatan sendiri. Tentulah ibunya…

abuhassanadam
17 April 2017



No comments:

Post a Comment