PEMIMPIN PAS SEMACAM ‘KEPANASAN’
Mungkin agak keterlaluan jikalau aku
katakan baahwa pemimpin PAS berada dalam suasana ‘kepanasan’. Macam cacing
kepanasan. Opah aku dulu kata macam ‘kacau-kena’. Orang putih kata seperti
dalam ‘dilemma’. Serba salah. Tidak ketentuan.
Mungkin dan pastinya tidak
dipersetujui oleh ramai orang terutama pemimpin PAS ynag tidak bersetuju dengan
kenyataan aku itu. Tak apa. Ini adalah persoalan persepsi. Aku rasa begitulah
keadaannya. Begitulah kesimpulan yang dapat aku buat. Namun tentulah ada
asasnya mengapa aku mengatakan demikian. Tentulah aku tidak menuduh sebarangan
tanpa alasan yang kukuh.
Apa tidaknya…
Aku nampak semacam pemimpin
tertinggi PAS tidak selari dan se-ia sekata dalam memberikan arah tuju dan
kepimpinan PAS. Setiap pemimpin semacam bebas untuk membuat kenyataan dan
setiap kenyataan semacam dasar perjuangan PAS. Dan kelihatan kini DS Haji Hadi
Awang banyak ‘senyap’ dari berkata-kata. Mungkin baginya ‘senyap’ itu lebih
berfaedah. Ataupun beliau sudah hilang ‘kawalan’ terhadap pemimpin lain yang
begitu ghairah mengeluarkan kenyataan. Ataupun mungkin DS Haji Hadi tidak
termampu untuk meletakkan dirinya seperti Arwah Tuan Guru Dato’ Nik Aziz. Sepatutnya
dasar yang menentukan hala tuju hanya dibuat oleh Presiden PAS ataupun tokoh
yang diamanahkan oleh kepimpinan.
Keadaan yang wujud dalam PAS kini
seolah-olah ‘free for all’. Dan tentunya tidak boleh disamakan dengan zaman
kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz dulu. Arah tuju kepimpinan PAS amat jelas dan
tidak dapat diperkotak-katikan oleh sesiapa pun samada kawan atau lawan. Bukan
tidak ada cadangan dan dasar yang diketengahkan oleh Tuan Guru yang tidak dipersetujui
oleh jemaah, namun disebabkan ketegasan dan ketokohan Tuan Guru Nik Aziz maka
kepimpinan parti berkenaan dapat diikuti oleh semua dan berjalan dengan lancar.
Mungkin juga Tuan Guru Nik Aziz
tidak mempunyai ‘agenda tersembunyi’ dalam menerajui PAS. Maka dengan sebab itu
jalan dan langkah yang diaturnya adalah amat jelas untuk diikuti oleh ahli PAS.
Dan berbeza dengan kepimpinan PAS kini yang masing-masing berkemungkinan ada mempunyai
‘agenda ‘ tersendiri menyebabakan parti ‘haru-biru’ dan tidak ketentuan.
Mungkin!...
Namun begitu PAS bernasib baik
disebabkan ‘memiliki’ pengikut yang amat setia di peringkat akar umbi. Walaupun
sudah ramai yang ‘berpindah’ namun seolah-olah masih ada lagi saki baki
pengikut setia ini yang masih tidak mahu mengubah pandangan mereka terhadap
parti mereka walaupun jelas menampakkan yang parti kesayangan mereka sudah
menyimpang agak jauh dari perjuangan asal. Dan yang jelasnya mereka langsung
tidak nampak bahawa parti mereka itu semacam sudah tidak sesuai lagi dengan
keadaan dan perkembangan Kurun ke 21.
Inilah yang dikatakan ‘fixed
deposit’ yang dimiliki oleh PAS. Dan begitu juga dengan UMNO. Kedua-dua parti
ini agak beruntung kerana memiliki ‘fixed deposit’ sedemikian. Masih ada lagi
saki baki rakyat Melayu ( di kampung dan di bandar juga) yang sanggup
‘bermatian’ kerana UMNO. Dan menjadi tugas Pakatan Harapan atau pembangkang
lain untuk merobohkan ‘benteng’ ini sekiranya mahu memenangi PRU akan datang.
Kepimpinan tertinggi PAS
menjelaskan bahawa PAS tidak akan
bekerjasama dengan UMNO dalam apa bentuk sekali pun tetapi apa yang
diperhatikan oleh umum menampakkan bahawa PAS menjalinkan hubungan yang begitu akrab
dengan UMNO. Rakyat nampak dengan jelas hubungan kemesraan antara UMNO dengan
PAS itu, walaupun setengah kepimpinan PAS mengatakan bahawa tidak ada kerjasama
antara PAS dengan UMNO.
Aku yakin ahli PAS kini dalam
keadaan yang amat keliru, terutama bagi ahli PAS yang sudah tidak mahu langsung
merenggangkan diri dengan parti berkenaan, terutama golongan lama yang sudah
amat sebati dengan ‘perjuangan’ PAS. Golongan tua inilah yang merasakan dan
berada dalam keadaan serba salah. Di telan mati emak, diuah mati bapak. Bagi
golongan muda yang dapat ‘membaca’ tindakan pemimpin PAS kini, sudah mula
menjauhkan diri dengan parti berkenaan dan mencari perjuangan yang sesuai
menggantikan ‘perjuangan’ PAS.
Sikap yang amat jelas yang diamalkan
oleh kepimpinan PAS kini ialah parti ini akan berusaha dan bersungguh
‘bekerjasama’ dengan UMNO (Barisan Nasional), bukan untuk memerintah negara
tetapi semacam menampakkan satu usaha bagi memastikan kemenangan BN dalam
Pilihanraya ke 14 nanti. Walaupun ‘bermati-matian’ kepimpinan PAS menyatakan
yang PAS akan meletakkan ramai calon dalam PRU ke 14 nanti, tetapi pada mata
kasarnya PAS tidak akan dapat menawan kawasan dan memenagi kerusi yang
dipertandingkan. Tindakan PAS itu semacam hanya semata-mata untuk mengabui mata
ahli PAS yang masih ada ‘berjuang’ bersamanya.
Telah terbukti bahawa sekiranya ada
pertandingan tiga penjuru maka kemenangan akan berpihak kepada Barisan
Nasional. Kebiasaannya begitulah. Mungkin dalam PRU ke 14 kedudukan akan
berubah kepada Pakatan Harapan. Namun PAS tetap akan ‘diketepikan’. Dan
pastinya juga BN tidak akan bertolak ansur dan memberi peluang kepada parti
PAS. Apa yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu adalah tepat sekali
dan apa yang dikatakan oleh tokoh yang pernah mengalami keadaan sedmiikian
seharusnya diikuti oleh pemimpin PAS kini, terutamanya pemimpin muda yang baru
‘tumbuh tanduk’.
Kepimpinan PAS sebenarnya dalam
keadaan yang ‘kelam-kabut’ terutama dalam menghadapi ‘akuan bersumpah’ YB
Rafizi yang mengatakan ada bukti menunjukkan wang mengalir dari akaun DS Najib
ke akaun Dato’ Nasharuddin ( melalui peguam) yang pada suatu ketika dulu adalah
Timbalan Presiden PAS dan kini masih menjadi ahli PAS sebagaimana yang
dikatakan oleh kepimpinan PAS kini.
Kepimpinan PAS harus bersedia
menghadapi ‘ombak’ yang lebih besar di hari muka yang berkemungkinan bersedia
untuk ‘merobah pantai’.
abuhassanadam
16 April 2017
No comments:
Post a Comment