Wednesday, April 19, 2017

PILUNYA MELIHAT GUNUNG PONDOK (PADANG RENGAS)YANG SUDAH HILANG KEINDAHANNYA

Beberapa hari lepas, adik aku dari kampung  ‘pukul telipon’ memberitahu aku bahawa, ‘ pokok durian yang Atok tanam puluhan tahun yang lalu telah tumbang dipukul angin’. Terperanjat dan sedih juga aku apabila mendapat berita berkenaan. Terperanjat kerana hairan dengan berita pokok durian yang berumur lebih setengah abad itu ‘bongkeh’ (tumbang) di pukul angin. Sedih kerana pokok durian kesayangan Arwah Atuk telah tumbang dipukul angin. Durian tembaga kesayangan Atuk dan Opah aku.

Seingat aku tidak pernah berlaku lagi pokok durian di dusun Atuk aku tumbang ditiup angin. Tak pernah lagi. Maknanya tentulah begitu kuat sekali tiupan angin yang boleh menyebabkan pokok durian yang berumur puluhan tahun ‘bongkeh’.

Kesedihan aku bukan kerana pokok durian yang tumbang tetapi disebabkan pokok durian itu adalah durian kesayangan Atuk aku. Durian Tembaga katanya pada suatu ketika dahulu ketika dia menunjukkan kepada aku pokok durian berkenaan. ‘Kuning isinya’ katanya menyambung. ‘Jaga baik-baik durian ini…payah nak cari benih sebegini..’ katanya kepada aku suatu ketika dahulu ia itu ketika dia masih hidup. Dan pada ketika itu aku masih lagi kanak-kanak.

Kini pokok durian kesayangan Atuk aku telah tiada. Dipukul angin ribut kencang yang melanda kawasan Padang Rengas yang bukan sahaja menumbangkan pokok durian keasayangan Atuk aku tetapi telah memusnahkan bukan sedikit tanaman-tanaman penduduk persekitaran.

Mengapa kejadian angin ribut kencang sudah mula melanda Padang Rengas kini suatu fenomena yang tidak pernah berlaku ketika aku masih kecil dulu?

Jawapannya ‘terbentang luas’ di hadapan mata orang Padang Rengas yang termasuk jugalah aku yang hati dan perasaan aku tetap berpaut kepada tempat kelahiran aku ini. Jawapannya kerana sudah tidak ada lagi Gunung Pondok (yang kini  telah digondolkan) untuk menampan kekuatan tiupan angin. Bukankah telah dinyatakan dalam Quran bahawa segala gunung dan bukit yang dijadikan oleh Allah itu bertujuan untuk menjadi pasak bumi dan menahan disamping mengukuhkan alam. Dengan tergondolnya Gunung Pondok telah menyebabkan berlakunya ribut yang kencang melanda perkampungan di persekitara Padang Rengas. Termasuklah kampung Keroh Hilir (kampung tempat tumpah darah ku)

Aku pernah cuba mempertahankan agar Gunung Pondok tidak ‘diapa-apakan’ pada suatu ketiak dahulu pada tahun-tahun 1980an. Beberapa kali aku tulis rencana alam Berita Harian agar jangan ‘diapa-apakan’ Gunung Pondok yang merupakan kesayangan penduduk Padang Rengas. Namun disebabkan kegelojohan pihak yang tidak bertanggungjawab dan yang hanya mementingkan kewangan, maka rintihan anak Padang Rengas tidak dipedulikan.

Gunung Pondok masih ada tetapi sudah hilang keindahannya. Sudah dibotakkan oleh para pelahap kapitalis yang hanya mementingkan wang dan ringgit. Anak-anak zaman ini tentu sekali terpegun apabila aku menceritakan tentang keindahan Gunung Pondok pada tahun-tahun 1960an dahulu. Tentu anak-anak zaman ini tidak dapat membayangkan suasana petang ketika padi sedang menguning di sawah yang berlatarbelakangkan Gunung Pondok yang diliputi pohon yang menghijau (bukan menguning  seperti sekarang)

Kini sudah kelihatan kesan buruk yang dihasilkan ekoran daripada hakisan Gunung Pondok yang disebabkan oleh tangan-tangan ganas manusia ‘menceroboh’ kawasan ini, ia itu dengan terbinanya kilang simen yang antara terbesar di Asia Tenggara. Sudah kelihatan pohon-pohon rendang (yang berumur puluhan dan mungkin ratusan tahun) yang tumbang disebabkan tiupan angin yang kuat. Jikalau sebelum ini Gunung Pondoklah yang berperanan menampan kekuatan dan kelajuan angin berkenaan, tetapi kini Gunung Pondok sudah tidak ada lagi untuk memainkan peranan sedemikian.

‘Puas’lah agaknya hati-hati yang hitam golongan yang sentiasa mencari keuntungan dengan tidak memikirkan kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk di persekitaran Padang Rengas. Dan selepas ini entah apa pula ‘malapetaka’ yang akan menimpa penduduk di sini akibat daripada kemusnahan Gunung Pondok yang menjadi kebangaan penduduk di sini.
Aku hanya mampu melihat dari jauh. Aku fahama juga bahawa ‘berapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’.

abuhassanadam
19 April 2017



No comments:

Post a Comment