HUJAN PAGI DI TAMAN PERTANIAN
Hujan turun dengan lebatnya pagi
itu. Dan pada hari minggu sebegitu biasanya aku ke Taman Pertanian Shah Alam
untuk melapangkan fikiran disamping melakukan latihan untuk kesihatan. Serba
salah aku dibuatnya pada pagi itu. Nak pergi ke tidak. Nak pergi ke tidak…
Hujan masih belum berhenti. Aku
nekad. Aku mengharapkan ia akan berhenti setibanya aku di tempat berkenaan. Dan
kebiasaannya hujan sebegitu tidak lama. Tidak sampai ke petang. Untuk sampai ke
tengah hari pun tidak. Jadi aku nekad untuk pergi ke Taman Pertanian pagi itu.
Setibanya aku di kawasan ‘hutan’
berkenaan, hujan masih turun dengan agak lebat. Dan secara kebetulan agaknya
pada hari berkenaan merupakan hari dijalankan upacara lari merentas desa oleh
sebuah sekolah swasta. Berpuluh-puluh buah bas telah sampai ke perkarangan
tempat letak kereta di situ dan ‘memuntahkan’ ratusan pelajar untuk mengambil
bahagian dalam larian berkenaan. Tanpa menghiraukan keadaan hujan yang agak
lebat, para pelajar berkenaan terus ‘merempuh’ hujan untuk pergi kesuatu tempat
yang dikhaskan. Tempat permulaan larian berkenaan.
Aku singgah sebentar di kedai kopi
yang terletak berhampiran dengan taman berkenaan. Di situ sudah terdapat
bebrapa orang guru ( dari sekolah berkenaan agaknya) yang sudah pun sampai
lebih awal dan menunggu ketibaan anak murid mereka. Sungguh bertanggung jawab.
Sambil mengihrup kopi panas dan
sambil menunggu hujan berhenti tentulah melayang fikiran aku mengenangkan
berbagai persitiwa ketika aku masih bersekolah dulu. Clifford School Kuala
Kangsar. Masih terbayang juga hari hujan sebegini ketika sekolah mengadakan
larian merentas desa. ‘We’ll start at eight o’clock sharp. Rain or shine’ kata
Mr Potter, Pengetua sekolah pada ketika itu pada ketika diadakan perhimpunan satu
minggu sebelum larian.
Hujan telah beransur berhenti di
Taman Pertanian Shah Alam. Anak-anak remaja ( sekolah menengah) dari semua
keturunan mula berkumpul di tempat permulaan larian. Dan aku perhatikan juga
bahawa guru-guru bertugas sudah berada di tempat masing-masing memastikan
larian ini berjalan dengan lancar. Di
tempat permulaan kelihatan beberapa orang VVIP. Ada juga orang putih di situ.
Macam orang putih…Mungkin bapaknya (Melayu) berkahwin dengan orang putih maka
jadilah dia macam orang putih. Mungkin juga dia yang punya sekolah berkenaan,
fikir aku.
Sah dia yang punyai sekolah ini.
Mungkin juga dia pewaris sekolah ini dari bapanya. Aku katakan begitu kerana
dia diberikan penghormatan untuk memulakan larian. Dan tentulah para pelajar
dan para guru begitu bersemangat untuk memulakan larian apabila melihatkan
minat yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh CEO berkenaan dan para pentadbir
sekolah yang lain.
Aku terfikir lagi. Apakah bangsa
Malaysia ini masih memerlukan orang putih untuk mentadbirkan bangsa kita. Aku
teringat ketika masih bersekolah dulu yang mana pengetuanya terdiri dari orang
putih. Setiap tahun keputusan peperiksaan Senior Cambridge agak cemerlang,
walaupun pada ketika itu kami berada dalam keadaan serba kekurangan. Dan bukan cemerlang
dalam lapangan pelajaran sahaja, malah dalam lapangan sukan pun Cliffor School
Kuala Kangsar mengungguli berbagai lapangan sukan dan telah melahirkan beberapa
orang jaguh sukan untuk negara seperti Abdullah Nordin ( pernah pada suatu
ketika menjadi kaptain bola sepak
Malaysia disamping pemain Soh Chin Aun dan Santokh Singh)
Aku perhatikan anak-anak remaja tadi
sudah mula berlari penuh dengan hilai dan ketawa seolah-olah tidak ada apa yang
merunsingkan fikiran mereka, berbanding dengan apa yang difikirkan oleh ibu
bapa mereka yang terpaksa menyediakan perbelanjaan yang begitu besar untuk
menyekolahkan mereka di sekolah berkenaan. Aku yakin bukan jumlah yang kecil
yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka. Dan dari gelagat anak-anak yang
berlari, yakinlah aku bahawa mereka adalah dari keluarga yang berada dan
sekolah berkenaan adalah untuk anak-anak dari keluarga berada.
Kini mereka sedang berlari di
permatang batas bendang yang ada di taman pertanian berkenaan. Aku hanya
memerhatikan dari atas sebuah bangunan di situ yang dapat melihat dengan jelas
gelagat anak-anak berkenaan. Sebenarnya apa yang ada dihadapan mata aku ketika
itu merupakan bayangan yang telah aku lalui ketika aku masih kecil-kecil dulu.
Deretan anak-anak yang lari itu adalah seperti aku dan kawan-kawan aku pada
suatu ketika dulu melalui permatang dan batas bendang berkaki ayam untuk ke
sekolah.
Disamping aku memerhatikan anak-anak
yang berlari, dengan berbagai kerenah yang melucukan, tumpuan aku tentulah pada
sawah yang berada di hadapan mata aku. Walaupun hanya beberapa petak bendang,
namun cukup untuk melepaskan rinduku pada sawah dan bendang yang merupakan
‘gelanggang permainan’ ketika aku masih kanak-kanak.
Walaupun tidak ada kolam ternakan
ikan di tepi sawah berkenaan, tidak ada pohon Dedalu tempat hinggapnya burung
Merbah dan Kelicap, walaupun tidak ada pohon buluh sebagai tempat buruh Tempua
bergayut, namun bendang ‘sekangkang kera’ berkenaan sudah cukup untuk
menghilangkan ‘dahaga’ anak kampung yang sentiasa merindui kampung halaman yang
telah ditinggalkan. Memang tidak sama sawah di Taman Pertanian ini dengan sawah
yang ditinggalkan di kampung tetapi bak kata Kalam Hamidi,’ sekurang-kurangnya
setitik embun di tengah padang pasir Sahara itu cukup untuk menghilangkan dahaga
seorang musafir’.
Aku kagum juga dengan kerjasama yang
telah dierikan oleh guru-guru di sekolah berkenaan. Tidak kelihatan langsung
kejanggalan yang ditunjukkan oleh guru-guru walaupun mereka terdiri dari
berbagai kaum dan keturunan. Seolah-olah mereka (guru-guru) cuba memberikan
isyarat bahawa inilah satu contoh kewujudan bangsa Malaysia yang sebenar,
ditilik dari segi perpaduan guru-gurunya dan juga para pelajarnya.
Aku mengesat beberapa tititsan air
mata yang mengalir di pipiku. Bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu gembira
melihatkan perpaduan erat anak-anak Malaysia berlari dan bergelak ketawa dalam
suasana dingin hujan pagi di Taman Pertanian.
Kepada guru-guru, didiklah anak-anak
ini agar tercetus satu bangsa Malaysia yang dibanggakan. Dan hati kecil aku
ingin bertanya, dari sekolah manalah agaknya anak-anak ini…
abuhassanadam
29 April 2017
Terbaik lah sir! Blog ini deserved to be famous pada pendapat saya
ReplyDelete