Sunday, April 30, 2017

ORANG MELAYU TELAH MENGGUNAKAN ‘BENCHMARK’ YANG SILAP

Antara punca yang menyebabkan orang Melayu terus mundur hingga ke hari ini adalah berpunca daripada kaedah yang digunakan oleh orang Melayu ia itu menggunakan ‘benchmark’ yang silap. Tentulah banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan orang Melayu masih mundur walaupun setelah setengah abad merdeka.

Aku merasakan bahawa para pemimpin negara sedar bahawa orang Melayu masih mundur tetapi demi kelangsungan kuasa politik mereka, maka orang Melayu terus menerus dibiarkan hanyut. Mungkin. Orang Melayu terus menerus didendangkan dengan ‘lagu-lagu’ merdu yang mengkhayalkan orang Melayu seolah-olah orang Melayu tidak akan hilang di dunia.

Para pemimpin negara samada di peringkat pusat ataupun peringkat negeri ataupun di peringkat akar umbi sentiasa memberikan gambaran bahawa orang Melayu sudah maju, sudah setanding dengan pencapaian kaum dan bangsa lain di dunia. Orang Melayu dikayalkan dengan cerita-cerita lunak yang menyenangkan hati dan telinga orang Melayu mendengarnya.

Cerita zaman pemerintahan Jepun dan zaman Darurat sentiasa diketengahkan untuk membezakan bahawa keadaan di negara kita telah berubah. Dipaparkan kisah zaman Jepun yang penuh dengan derita dan kesusahan. Diceritakan juga tentang zaman Darurat pula untuk menunjukkan tentang ketakutan dan ancaman daripada pihak penjahat Komunis ketika itu. Dibandingkan pula dengan keadaan setelah negara mencapai kemerdekaan, yang kononnya penuh dengan keriangan dan kebahagiaan. Yang anihnya ialah walaupun orang Melayu kebanyakannya merasai kesepitan yang dideritai sedemikian, namun mereka ‘merelakan diri’ untuk tidak mempercayai apa yang mereka rasai. Ini merupakan satu kepelikan dan penyakit orang Melayu.

Pencapaian orang Melayu dalam pelajaran dan pendidikan seolah-olah tidak digambarkan dengan keadaan yang sebenarnya. Orang Melayu tidak tahu dan tidak sedar bahawa pencapaian kaum lain, Cina dan India dalam pelajaran jauh lebih maju daripada apa yang dicapai oleh orang Melayu. Itu keadaan di Malaysia. Belum lagi  jika dibandingkan dengan pencapaian bangsa lain di kawasan Asia Tenggara. Mungkin dengan Vietnam pun pencapaian kita agak keterkebelakang. Mungkin.

Ibu bapa yang tinggal di kawasan luar bandar atau di kawasan FELDA mungkin tidak tahu betapa terkebelakangnya pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan berbanding dengan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa. Mungkin para guru juga tidak tahu betapa terkehadapannya pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan. Dan yang menyedihkan kita ialah bahawa para pemimpin tinggi kerajaan tentu tahu tentang keadaan sedemikian berlaku. Tetapi semacam tidak mahu ambil peduli tentang hal yang berlaku sedemikian. Mereka tahu hal sedemikian berlaku. Dengan sebab itulah agaknya mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

Memang betul sekolah-sekolah berkenaan hanya untuk anak-anak yang ibu bapanya berkemampuan. Dengan sebab itulah hanya anak-anak menteri dan ahli politik dan golongan berada sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka  ke situ. Lantas bagi golongan yang tidak berada akan terus ketinggalan. Dan golongan yang tidak berada itu adalah terdiri orang Melayu yang kebanyakannya masih tinggal di kawasan luar bandar. Dan masih ramai juga yang tinggal di kawasan bandar. Amat menyedihkan.

Apakah keadaan sebegini sememangnya diperlukan oleh pemimpin politik demi kelangsungan penguasaan politik mereka. Apakah mereka sengaja mahukan agar orang Melayu terus mundur supaya senang diekslpoitasi.

‘Jeritan’ demi ‘jeritan’ didengar yang mengatakan bahawa punca yang menyebabkan orang Melayu sukar diterima untuk bekerja di sektor-sektor swasta adalah disebabkan kurang kemahiran dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Disamping itu kedengaran juga para pemimpin negara kita ‘menjerit’ agar penggunaan Bahasa Melayu diperkuatkan. Mungkin para pemimpin menyeru agar kedua-dua bahasa berkenaan diperkukuhkan, namun bagi orang Melayu sentiasa mengambil jalan pintas dengan menguatkan penggunaan Bahasa Melayu dan mensampingkan penggunaan Bahasa Inggeris. Kesannya orang Melayu juga yang ketinggalan kerana tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kepimpinan negara harus serious apabila berhadapan dengan krisis yang dihadapi oleh orang Melayu kini. Tun Dr. Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim telah memulakan langkah yang serious untuk memajukan bangsa Malaysia (khususnya orang Melayu) pada tahun-tahun 1980an dan 1990an, tetapi seolah-olah terhenti selepas tampuk pemerintahan negara berpindah tangan. Sepatutnya usaha murni sedemikian diteruskan demi kelangsungan kemajuan bangsa Melayu.

Cerdik pandai di negara ini kini seolah-olah sudah tidak ada keyakinan kepada pentadbiran negara untuk menerajui usaha memajukan orang Melayu dalam erti kata yang sebenarnya. Dapat dilihat seolah-olah para pemimpin negara lebih condong untuk memelihara dan menjaga diri sendiri dari memajukan bangsa. Mereka lebih mementingkan ‘perut’ sendiri daripada menjaga kesejahteraan rakyat. Semacam begitulah persepsi rakyat terbanyak melihatkan kerenah dan tindakan para pemimpin di negara kita.

Aku mengharapkan apa yang aku katakan ini salah belaka…

abuhassanadam

30 April 2017

No comments:

Post a Comment