MALAYSIA MASIH
DI TAKUK LAMA
Jikalau
aku sarankan dengan mengatakan bahawa Malaysia masih ‘di takuk lama’ setelah
hampir dua tahun ditadbir oleh Pakatan Harapan, maka akan ada yang ‘melompat’
minta bukti mengapa aku katakan begitu. Memang tidak ada bukti konkrit untuk
membuktikan kenyataan demikian kerana itu hanya merupakan persepsi, pemerhatian
banyak orang. Dan jika masih mahukan bukti, maka bolehlah digunakan keputusan
PRK Tanjung Piai baru-baru ini yang menunjukkan pengundi sudah mula bosan dengan
kepimpinan Pakatan Harapan.
Sepatutnya
pentadbiran Pakatan Harapan sudah mula mengorak langkah drasti melaksanakan
dasar-dasar yang boleh ‘membuka mata’ para pengundi rakyat Malaysia. Seharusnya
para menteri Pakatan Harapan sudah mula bertindak dengan berkesan merencanakan
apa yang sepatutnya ‘dihidangkan’ kepada rakyat. Ini tidak. Para menteri dan
pelaksana pentadbiran negara masih dalam ‘honey-moon mood’ meraikan kemenangan
PRU14 yang masih dirasakan terngiang-ngiang di telinga mereka. Dan yang merunsingkan
rakyat Malaysia, sikap para pemimpin Pakatan Harapan seolah-olah sama dan
serupa dengan cara pimpinan Barisan Nasional. Masih menunggu peluang untuk
‘mengaut’ apa yang patut ‘dikaut’.
Belum
pun sampai genap dua tahun melaksanakan pemerintahan sudah mula kedengaran
kisah-kisah rasuah dikalangan kepimpinan Pakatan Harapan. Sudah mula kedengaran
kisah-kisah pemberian projek-projek khas untuk kroni dan mengenepikan
tanggungjawab terhadap masyarakat terbanyak. Maknanya perangai lama berulang
kembali. Bak kata peribahasa Melayu seolah-olah sepert anjing yang makan tahi
kalau pun tidak dimakan maka diciumnya juga’
Semacam
tidak kelihatan dasar-dasar besar dan agung yang dilaksanakan oleh Pakatan
Harapan demi untuk memajukan kehidupan rakyat. Mungkin telah banyak projek yang
dihasratkan dan diumumkan, namun itu hanya merupakan suatu cadangan dan belum
tentu akan mendatangkan keuntungan atau kebaikan kepada rakyat. Projek kereta
terbang misalnya. Bagi aku ( yang bodoh tongong ) memang tidak lojik projek ini
dilaksanakan di negara ini. Terlalu banyak halangan yang perlu diselesaikan
sebelum projek itu dapat dilaksanakan.
Lagi pun apakah faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak (
rakyat marhaen seperti aku) dengan pelaksanaan projek berkenaan. Dan yang
paling ketara sekali ialah seolah-olah tugas Menteri Pembangunan Usahawan ialah
melaksanakan projek kereta terbang. Amat malang sekali rakyat Malaysia.
Sepatutnya para menteri telah mula
berfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan ‘WOW’ ( pinjam kata
orang muda kini) di pemikiran rakyat Malaysia. Sebagai contoh. Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz
telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi
Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan
diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini. Daripada ‘ZERO’,
Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan
dana melebihi RM55 bilion!
TH juga telah menceburi bidang
pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan
pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan
pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion
setiap tahun. Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.
Itu yang aku maksudkan projek ‘WOW’.
Dan ketika menjadi Menteri Pendidikan pada zaman kepimpinan Dr. Mahathir ( awal
1980an) Saudara Anwar Ibrahim telah mewar-warkan penubuhan Universiti Islam
Antarabangsa dan penubuhan Bank Islam. Tun Dr Mahathir telah menjadikannya satu
realiti dan sehingga kini sudah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Megah
berdiri dan dibangga dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan
antarabangsa.
Tun Ghaffar Baba, seorang pemimpin
yang kelihatan betul-betul untuk memajukan rakyat Malaysia (orang Melayu
khususnya) telah mengasaskan penubuhan MARA (Majlis Aamanah Rakyat) yang
peranannya sehingga hari ini betul-betul boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu.
Hanya pemimpin yang terkemudian yang telah cuba ‘merosakkan’ pentadbiran MARA
yang telah ‘mengabdikan’ diri kepada perjuanagan orang Melayu.
Sumbangan Tun Ghaffar juga boleh
dilihat dari segi penubuhan ITM (Institut Teknoloji Mara). ITM telah
direalisasikan sejurus selepas diumumkan penubuhannya. Dan lantas dimulakan
operasinya. Menampakkan bahawa pemimpin terdahulu betul-betul ikhlas dalam
usaha untuk memajukan orang Melayu. Melalui ITM lah yang telah melatih ratusan
(pada awal penubuhannya) dan ratusan ribu pelajar Melayu menjadi golongan
professional yang diperlukan oleh negara.
Tidak salah Menteri Pendidikan kita
pada hari ini memperkenalkan pemakaian kasut hitam kepada murid-murid sekolah,
namun perlulah juga beliau dan para pegawai di Kementerian Pendidikan melihat
sesuatu yang lebih besar demi kemajuan negara kita yang akan menempuh zaman
globalisasi ini. Perlulah dilakukan penyelidikan yang jitu demi untu kemajuan
negara kita Malaysia.
Berbanding dengan Menteri
Pembangunan Luar Bandar zaman kemerdekaan, apa yang dilakukan oleh Menteri
sekarang adalah amat mengecewakan. Jangankan untuk memikirkan pelaksanaan
projek sebeasr FELDA, masih tidak kelihatan sesuatu yang konkrit demi untuk
memajukan masyarakat luar bandar. Sepatutnya kementerian berkenaan (khususnya
menterinya) sudah mula merangka apakah yang sepatutnya dilakukan untuk
memajukan masyarakat luar bandar ( orang Melayu) dari segi jangka panjang.
Apakah pada pandangan mereka orang
Melayu luar bandar sudah betul-betul maju dari segenap segi. Tentu sekali
tidak. Dan seharusnya dimulakan mengorak langkah dengan segera ke arah itu.
abuhassanadam
30
November 2019