Saturday, March 31, 2018


INI YANG DINAMAKAN KEBANGKITAN RAKYAT

            Kebencian rakyat terhadap kepimpinan kerajaan boleh diibaratkan seperti air sungai yang mengalir. Ia akan mengalir dan terus mengalir walaupun diempang dan disekat. Dan keadaan sedemikian kebiasaanya tidak ada siapa yang boleh menyekatnya sehinggalah air sungai berkenaan sampai ke kuala. Itulah ibaratnya keadaan negara kita sekarang dimana masyarkat berbilang bangsa dan agama telah mengalami suatu keadaan yang menyebabkan mereka terpaksa membuat perhitungan yang amat getir demi menyelamatkan negara yang tercinta daripada menemui kehancuran.

            Nampaknya semakin hari semakin yakin rakyat Malaysia kepada apa yang sedang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan pimpinan golongan veteran. Jikalau dahulu kelihatan agak ragu-ragu sokongan yang diberikan oleh rakyat kepada pertubuhan ini, namun dari hari ke sehari, penduduk luar bandar dan kawasan FELDA semakin faham tentang apakah yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.
Radio dan TV milik kerajaan terus menerus memutar-belitkan berita, namun peranan media sosial lebih kuta dan lebih berpengaruh berbanding dengan media milik kerajaan.

            Parti PAS sudah nampak akan kecundang pada peringkat awal lagi. Penyokong PAS hanya terdiri dari mereka yang tidak mahu faham dan mengerti keadaan ekonomi dan politik yang ada sekarang. Golongan ini masih mempertahankan ‘perjuangan’ yang sempit mereka walaupun sudah diterang dan dijelaskan matlamat perjuangan mereka yang sempit itu. Ahli PAS mula faham bahawa parti yang mereka sokong bukan untuk menukar pemerintahan tetapi hanya sekadar sebagai ‘king maker’. Dengan lain perkataan pemimpin PAS dengan rela hati untuk bekerjasama dengan UMNO (BN) selepas PRU 14 nanti. Itu bererti bahawa kepimpinan PAS sanggup ‘menolak’ perjuangan pemimpin lama seperti Dr. Burhanuddin Hilmi, Dato Asri, Tuan Guru Haji Nik Aziz.

            Kajian Invoke sebagaimana yang dikemukakan oleh YB Rafizi Ramli menunjukkan bahawa PAS sudah kehilangan taring dan tidak dapat lagi menguasai pemikiran rakyat Malaysia. PAS tidak boleh mendabik dada yang kepimpinan PAS mewakili orang Melayu. Dan apabila diwar-warkan  bahawa ada diantara pemimpin PAS yang telah bekerjasama erat dengan pemimpin UMNO ia itu dengan mendapat bantuan kewangan dari UMNO menjelaskan bahwa PAS sudah tidak ada kredibiliti lagi sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu. Malah parti PAS sudah dianggap lebih teruk lagi daripada UMNO (BN).

            PAS masih mendabik dada mengatakan bahawa mereka kuat. UMNO juga ke hulu ke hilir mendabik dada mengatakan bahawa UMNO (BN) bukan sahaja memenangi PRU14 tetapi akan mendapat majorriti 2/3. Mungkin betul dan besar kemungkinannya tidak memandangkan kepada perkembangan yang kelihatan kini dimana rakyat sudah berbondong-bondong menyokong perjuangan Pakatan Harapan.

            Ramai ahli UMNO yang mengakui bahawa trend pemikiran rakyat kini sudah banyak berbeza daripada zaman sebelumnya. Mereka sudah mula sedar dan betul-betul sedar bahawa negara Malaysia kini sudah betul-betul terancam disebabkan gaya kepimpinan negara (UMNO/BN) yang agak ‘luar biasa’. Jikalau dulu ramai yang tidak mempedulikan tentang keadaan politik negara tetapi kini dengan asakan yang bertubi-tubi dari pihak Pakatan Harapan yang disokong  oleh media sosial dengan serangan yang bertubi-tubi maka pihak UMNO seolah-sudah berada di pihak ‘defensive’.

            Ramai yang meramalkan bahawa sebenarnya UMNO dan PAS sudah berada dalam keadaan yang cukup lemah. Dengan sebab itulah berbagai tindakan dilakukan bagi memulihkan semangat yang telah luntur itu. Diharapkan pihak Pakatan akan terus memberikan penerangan dan penjelasan kepada rakyat agar mereka betul-betul faham dengan keadaan negara kini.

            Gelombang kesedaran rakyat harus terus dihidupkan.

abuhassanadam
31 Mac 2018

           

Friday, March 30, 2018


‘PENAMPILAN’ TS RAFIDAH MEMBAHAYAKAN UMNO

            Tindakan TS Annuar Musa dan DS Nazri Aziz mengusik ‘sarang tebuan’ TS Rafidah Aziz merupakan satu tindakan yang kurang cerdik. Mungkin mereka merasakan yang mereka sudah begitu hebat. Mereka masih ‘berhingus’ ketika TS Rafidah ‘bersepak terajang’ yang bukan sahaja di Malaysia malah di arena antara bangsa. Dan mungkin juga salah satu sebab yang menyebabkan Malaysia terkenal di arena antara bangsa (dulu) disebabkan kehebatan TS Rafidah Aziz yang menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, walaupun sumbangan Tun Mahathir dalam menaikkan nama Malaysia tidak harus dipertikaikan.

            Kini TS Rafidah Aziz dikutuk oleh rakan-rakan yang sama-sama berada dalam UMNO pada suatu ketika dulu. Tun Mahathir juga dikutuk dengan menggunakan bahasa dan adab yang tidak berapa sesuai bagi orang Melayu. Ts Muhyiddin Yssin, bekas Timbalan Perdana Menteri dikutuk dan dihina. Kini Dr Rais Yatim juga diheret sama menjadi bahan kutukan ahli UMNO.

            Yang ingin dipersoalkan ialah seolah-olah telah kehilangan adab sopan dikalangan pemimpin dan ahli UMNO. Cara pemimpin dan ahli UMNO berbicara, memperkatakan tentang keburukan pemimpin lama mereka adalah di luar dugaan dan kemampuan kita untuk memikirkannya. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang ada pada pemimpin yang menjadi bahan kutukan mereka. Dan cara mereka menyampaikan ‘kutukan’ adalah sudah terkeluar dari batas-batas adab sopan sepertimana yang diajar oleh ibu bapa mereka (jikalau ibu bapa mereka mengajar begitu)

            Kini wira-wira dan wirawati lama sudah kembali. Mungkin mereka sudah tidak sabar melihatkan berbagai ‘musibah’ yang menimpa negara. Mungkin mereka sudah tidak tertanggung ‘derita’ bagaimana negara kita Malaysia dipandang amat hina oleh negara lain disebabkan skandal IMDB yang jelas tampak akan memusnahkan negara ini tetapi dipandang ringan oleh pemimpin UMNO yang memerintah negara. Seluruh dunia mengatakan bahawa kapal Equanimity adalah milik Jho Low hasil dari wang yang diperolehi dari IMDB. Namun di Malaysia pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku.

            Keadaan sebeginilah agaknya yang menyebabkan TS Rafidah Aziz  dan DS Dr Rais yatim ‘mengamuk’. ‘Mengamuk’ dalam erti kata untuk membetulkan keadaan yang agak pincang. Mengamuk dalam erti kata untuk menegur yang diperhatikan tidak betul . Namun hasrat murni mereka untuk membetulkan keadaan itu telah ‘disambut’ dengan kutukan dan kata nista yang datangnya dari pemimpin yang dianggap masih ‘berhingus’ berbanding dengan apa yang telah dialami oleh mereka.

            Dengan perkembangan ini UMNO dalam bahaya. Apa tidaknya. Jikalau dahulu tidak ada bekas pemimpin wanita yang berani ‘kehadapan’ kini sudah muncul TS Rafidah Aziz yang menawan ‘hati dan perasaan’ wanita UMNO buat beberapa lama. Pastinya ramai ahli UMNO masih ingat dan masih sayang pada pemimpin mereka. Jasa dan sumbangan Rafidah buat beberapa lama akan tetap dikenang dan diingati. Dan pastinya juga ramai wanita UMNO ( yang lama dan yang baru ) akan ‘buka mata’ dengan perkembangan yang berlaku sekarang ia itu tentang kritikan yang dilancarkan oleh TS Rafidah terhadap kerajaan.

            Jikalau pun wanita UMNO tidak terus menerus menyokong apa yang dilakukan oleh TS Rafidah kini, pastinya merka memenungkan juga dan mempersoalkan tentang mengapa TS Rafidah sanggup menentang kepimpinan UMNO kini. Tentulah ada yang tidak kena pada anggapan mereka. Dan yang lebih serious lagi sekiranya para wanita UMNO mula memikirkan tentang kesediaan Tun Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin yang sedia keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baru semata-mata untuk menyelamatkan negara ini dari menemui kehancuran.

            Rakyat Malaysia terutama golongan rakyat yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan FELDA mula berfikir dengan sedalam-dalamnya tentang keadaan negara Malaysia kini. Kemunculan TS Rafidah Aziz telah membuka mata seluas-luasnya bagi ahli Wanita UMNO seluruh Malaysia kini.

abuhassanadam
30 Mac 2018





Thursday, March 29, 2018


 UMNO HARUS SEDAR – “SEPANDAI TUPAI MELOMPAT’

            Kepimpinan UMNO kini mungkin lupa dengan peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘ sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’. Tidak ada satu pun peribahasa Melayu yang tidak benar apa yang dikatakan. Pasti akan berlaku. Dan kita perlu faham bahawa orang tua-tua kita tidak akan menyatakan sesuatu mengenai sesuatu peribahasa sekiranya tidak terbukti kebenarannya. Maknanya sudah teruji kebenarannya.

            Sehubungan dengan itu aku yakin, UMNO akan menemui keruntuhannya tidak lama lagi memandangkan terlalu banyak tindakannya yang menyerupai tindakan ‘seekor tupai’ yang merasakan dirinya sahaja yang pandai dan cekap melompat. Mereka mungkin lupa dengan peribahasa demikian ataupun mungkin tidak peduli dengan ‘nasihat’ sedemikian.

            Ramai bekas pemimpin UMNO dan juga ahli UMNO kini yang mengatakan bahawa UMNO kini adalah sangat jauh bezanya dengan UMNO kini. Ahli UMNO kini sombong, ranggi, biadab. Mentang-mentanglah mereka terlalu ‘kenyang’ dengan dedak yang menyumbat ‘tembolok’ mereka. Mereka sudah lupa dan semacam tidak peduli dengan golongan UMNO yang lebih tua. Dengan sebab itulah telah ‘bangun’ Dr Rais Yatim dan TS Rafidah Aziz yang bagi aku merupakan ‘wakil’ kepada golongan tua bekas kepimpinan UMNO untuk menegur pemimpin  ( yang kononnya masih muda belia) yang memimpin UMNO kini.

            ‘Kemunculan’ dua tokoh ini bagi aku sebagai ‘ the last straw that broke the camel’s back’. Ahli UMNO peringkat akar umbi mulai sedar dan buka mata dan tersedar dari ‘mimpi yang panjang’. Apabila dua tokoh ini mula menyerang pemimpin UMNO, maka golongan ahli UMNO peringkat bawahan mula tersedar rupanya mereka selama ini bagitu ‘nyenyak’ tidurnya diulit mimpin yang berbekalkan wang BRIM  (yang tak seberapa pun), kain pulikat, kain batik, beras (murah) sekampit, gula, kopi DLL.

            Golongan UMNO peringkat bawahan ini bukan tidak pernah disedarkan. Malahan sudah beberapa tahun diberitahu bahawa negara kita dalam keadaan kemelut yang amat sangat ekoran daripada hal-hal yang berkaitan dengan IMDB. Bagi golongan UMNO bawahan apa yang cuba disampaikan kepada mereka hanyalah masik telinga kiri dan keluar ikut telinga kana. Mereka tidak percaya disebabkan begitu kuatnya pengaruh RTM dan TV3 (mili kerajaan) untuk mempengaruhi cara berfikir golongan demikian. Lagi pun golongan ini begitu selesa dengan ‘dedak-dedak) yang diberikan kepada mereka walaupun dijelaskan bahawa sebenarnya ‘dedak-dedak’ itu datangnya dari ‘perahan keringat’ rakyat sendiri. Golongan UMNO bawahan tidak percaya.

            Terkeluarnya TS Muhyiddin Yassin dan YB DS Shafie Afdal dari UMNO mendatangkan kesan yang agak besar kepda ahli UMNO. Dan apabila Tun Mahathir keluar dari UMNO, telah betul-betul menggegarkan UMNO tetapi jelasnya ‘cash is still the king’. Wang bertaburan dimana-mana. Rata-rata golongan ahli UMNO dari peringkat atasan hingga bawahan ‘gelap mata’. Seolah-olah mereka sedar tentang keadaan yang boleh menghancurkan negara itu, namun disebabkan ‘gula-gula’ yang boleh ‘menidurkan’ mereka, maka segala seruan yang disampaikan kepada golongan ini hanyalah seperti ‘mencurahkan air di daun keladi’ sahaja.

            Golongan UMNO peringkat akar umbi masih tidak peduli tentang berbagai ‘amaran dan seruan’ yang disampaikan. Walaupun berbagai hujjah dan penjelasan yang disampaikan, golongan UMNO masih ‘yakin dan percaya’ bahawa sekiranya Pakatan Harapn menang dalam PRU14, maka Encik Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri. Walaupun jelas tidak lojiknya andaian sedemikian, namun bagi orang UMNO peringkat akar umbi tetap yakin dengan andaian sedemikian. Mungkin pengaruh ‘dedak’ begitu menebal mempengaruhi pemikiran mereka.

            Dengan ‘kemunculan’ Dr Rais Yatim dan TS Rafidah Aziz ini merupakan satu ‘ombak besar’ yang akan merobah pantai. Bak kata peribahasa Melayu,’ seklai air bah sekali pantai berubah’. Aku yakin bahawa orang Melayu UMNO akan buka mata dan akan mula terjaga dari tidur yang lena apabila melihat tindakan TS Rafidah dan Dr Rais Yatim itu. Mungkin akan berubah fikiran dan persepsi mereka terhadap UMNO yang ada sekarang. Mungkin ada yang merasakan bahawa mereka telah tertipu dan sentiasa ditipu oleh para pemimpin mereka yang sentiasa membekalkan mereka dengan ‘sedikit dedak’ untuk sesuap nasi pagi dan petang sedangkan para pemimpin mereka mengadakan ‘khenduri’ hampir setiap malam.

            Walau apa strategi yang diatur oleh UMNO (BN) dalam menghadapi PRU14 ini namun apabila gelombang dari ‘bawah’ sudah mula ‘mengamuk’ maka tidak ada yang dapat mengahalngnya. UMNO (BN) pasti kecundang dalam PRU 14 yang akan datang . Aku amat yakin seprti mana yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa sebenarnya rakyat khsusnya ahli UMNO akan menolak UMNO (BN)dalam PRU 14 akan datang. Penentangan mereka adalah secara diam. Mungkin juga mereka tidak mahu ‘melukakan’ perasaan rakan dan pemimpin mereka yang telah banyak memberi ‘sumbangan’ kepada mereka. Namun mereka bukan tidak sayangkan negara mereka. Lantas mereka pasti juga membuat perubahan bersama  dengan rakyat Malaysia yang sedar tentang keadaan negara yang sebenarnya kini.

            Kita menunggu dengan penuh debaran hari yang bersejarah nanti.


abuhasssanadam
29 Mac 2018

Sunday, March 25, 2018


BN MERBA-RABA MENCARI ISU

            Sebenarnya Barisan Nasional sedang ‘meraba-raba’ mencari isu yang cukup kuat untuk diketengahkan menentang Pakatan Harapan dalam Piliharaya ke 14 nanti. Sehingga kini kebanyakan isu yang digunakan tidak setajam yang boleh ‘pukul mati’ Pakatan Harapan. Tidak ada yang betul-betul memberi kesan.

            Isu Encik Lim Kit Siang akan jadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14 telah ditenggelamkan oleh Pakatan Harapan apabila diumumkan lantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya PH menenag. Ekoran daripada pengumuman itu kelihatan BN ‘terkapa-kapa’ mencari isu yang betul-betul kuat untuk ‘memukul mati’ PH.

            Kini BN cuba ‘menjual’ isu tentang usia Tun Mahathir yang terlalu tua untuk menerajui negara ini, untuk menjadi Perdana Menteri. Pada pandangan segelintir ‘cerdik pandai’ isu sedemikian boleh ‘laku’ di ‘pasaran’. Maka diadakanlah forum untuk membincangkan isu sedemikian yang berjodol,’Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?’ Tajuk berkenaan sudah boleh ditertawakan oleh rakyat. Melucukan. Ini disebabkan tajuk berkenaan tidak memberikan signifikan langsung kepada pemikiran rakyat yang mengikutinya selain daripada usaha yang semata-mata untuk menyatakan bahawa Tun Mahathir oleh kerana sudah tua maka sudah tidak layak menjadi Perdana Menteri. Itu saja. Dan jelas semacam ada pihak tertentu yang berada ‘dibelakang’ yang mahukan forum sedemikian diadakan. Dan hasil daripada ‘wacana’ berkenaan boleh dicanangkan kepada rakyat umum bahawa itulah pandangan ‘bernas’ peserta forum berkenaan.

            Malangnya keadaan menjadi ‘terbalik’. Apa yang diharapkan oleh pihak ‘penganjur’ sebenar sudah tidak kesampaian. Tun Mahathir telah muncul sebagai ‘wira’. Dan yang tewas dalam forum brkenaan terus terkedu dan terus menerus menerima kutukan dari rakyat teruatam dari golongan muda. Malah semakin meyakinkan rakyat bahawa usia bukanlah faktor untuk menentukan seseorang itu menjadi Perdana Menteri. Dan terbukti bahawa sudah ramai pemimpin dunia yang menjangkau usia seperti Tun Mahathir yang berjaya memimpin negara.

                  Dari perbincangan itu sudah dapat disimpulkan bahawa orang tua seperti Tun Mahathir lebih bertenaga dari segi mengemukakan hujjah berbanding dengan orang muda yang kononya memiliki ijazah berjela tetapi gagal untuk mengemukakan hujjah yang meyakinkan. Rakyat dapat melihat 'persembahan' dari orang muda yang kononnya bertaraf professor tetapi memiliki kemampuan yang cukup terbatas apabila mengemukakan hujjah dalam bahasa Inggeris. Mengapa beliau menggunakan bahasa Inggeris sedangkan kemahiranya menggunakan bahasa berkenaan agak terbatas. Mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu. Malang sekali.

               Sebenarnya Barisan Nasional amat takut dan bimbang dengan kehadiran Tun Mahathir memimpin Pakatan Harapan. Berbagai usaha telah dilakukan oleh mereka, namun PH semakin hari semakin diyakini oleh rakyat untuk menggantikan BN memimpin negara ini. BN seolah-olah sudah ketandusan isu untuk menafikan PH yang semakin kukuh dan diyakini. PH pula mempunyai isu yang ‘berlambak-lambak’. Ibaratnya ‘pinggan’ mereka hampir penuh dengan isu-isu yang hanya menunggu masa untuk digembelingkan. Isu IMDB masih segar dan hanya perlu ‘diuli’ dengan berbagai cara untuk ‘dihidangkan’ kepada rakyat.

            Isu yang berkaitan dengan GST, penyelwengan dalam MARA, Tabung Haji, FELDA masih belum luput dari ingatan  rakyat Melayu. Orang Melayu begitu marah dengan ‘penipuan’ yang sedemikian. Jentera PH sedang bekerja keras untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat luar bandar agar mereka betul-betul memahami situasi sebenar keadaan yang menimpa negara kini.

            Dikatakan pihak BN sedang mengatur berbagai  langkah untuk mencari jalan agar BN memenangi PRU 14 nanti. Namun sekiranya Allah telah menentukan bahawa PRU 14 ditakdirkan akan menamtakan pentadbiran BN maka tidak ada kuasa lain yang dapat mengubahnya.

abuhassanadam
25 Mac 2018