Saturday, March 24, 2018


BERCAKAP BOHONG… TERUS MENCURI

            Ketika berada di sekolah rendah dahulu ( zaman dulu-dulu – zaman penjajah British) peribahasa Melayu amat dipentingkan oleh guru-guru. Antara yang masih tersemat dibenak aku ialah, ‘SIAKAP, SENOHONG, GELAMA, IKAN DURI; BERCAKAP BOHONG LAMA-LAMA MENCURI.

            Tepat. Amat tepat sekali pengertian peribahasa berkenaan. Pada ketika itu aku hanya tahu menghafal peribahasa berkenaan dengan tidak menghayati langsung apakah sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh peribahasa berkenaan. Cikgu pun tidak suruh murid-muridnya berbuat demikian. Murid-murid hanya disuruh menghafal peribahasa berkenaan. Namun begitu dengan pengkhafalan yang sedemikian, peribahasa berkenaan (disamping peribahasa lain yang diajarkan) terus ‘melekat’ di benak kita sehingga sekarang. Masih segar dalam ingatan.

            Rupa-rupanya peribahasa begini amat sesuai untuk diaplikasikan pada awal Kurun ke 21. Dan yang paling sesuai untuk diaplikasikan peribahasa ini ialah di negara kita sendiri – Malaysia yang dicintai. Apa tidaknya. Diperhatikan bahawa amalan berbohong dan menipu adalah merupakan amalan masyarakat Malaysia kini. Walaupun tidak semuanya begitu namun kelihatan sebahagian besar rakyat Malaysia sudah tidak takut dan segan silu untuk berbohong dan menipu. Kadang-kadang kita renungkan sejenak mengapa sampai begitu jadinya kepada masyarakat di Malaysia kini.Dimana silapnya.

            Masing-masing menuding jari kepada yang lain. Ada yang mengatakan bahawa puncanya adalah ‘dirumah’. Maksudnya ibu bapa sudah tidak ada masa untuk mendidik anak-anak disebabkan kesibukan mereka bekerja dan mencari rezeki. Lantas anak-anak terbiar dan tidak dipentingkan didikan moral dan sahsiah yang murni. Ada juga yang menyalahkan pihak sekolah dan guru kerana sepatutnya para gurulah yang perlu mendidik anak-anak supaya menjadi anggota masyarakat yang berguna. Para guru pula menyalahkan alam sekitar seperti lambakan hiburan yang tidak terkawal yang mempengaruhi perangai kanak-kanak semenjak kecil sehinggalah dewasa.

            Begitulah seterusnya. Salah menyalah antara satu dengan yang lain. Dan para pemimpin negara pula akan terus memberi nasihat demi nasihat kepada rakyat agar menjadi warga negara yang berguna, mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah hina, jauhkan diri dari dadah, dan lain-lain nasihat dan tunjuk ajar. Sekiranya seseorang pemimpin itu ke sekolah maka ‘berbuih-buih’lah mulutnya menasihati guru agar mendidik anak-anak dengan semuprna. Sekiranya seseorang pemimpin negara itu bertemu dengan masyarakat kampung, nasihatnya juga tentulah mengharapkan rakyat hidup sempurna dan sejahtera.

            Para pemimpin politik terus menerus menyalahkan rakyat dan jarang sekali mereka menyalahkan diri mereka sendiri. Apakah mereka tidak mencermin diri mereka dan merenung diri sendiri tentang salah-betulnya diri mereka sendiri. Para pemimpin menegur anak-anak disekolah supaya berkelakuan baik, tetapi para pemimpin itu sendiri telah menunjukkan contoh yang tidak patut dicontohi. ‘Cakap tak serupa bikin’ kata anak-anak muda kini.

            Berbohong dan menipu sudah merupakan amalan setiap pemimpin negara. Jikalau pun tidak seratus peratus, namun sebahagian besar melakukan penipuan kepada rakyat jelata dalam berbagai bentuk. Dan yang anihnya kebanyakan pemimpin negara kita sudah tidak segan silu lagi berbohong dan menipu rakyat. Rakyat bukan tidak tahu yang mereka menipu. Rakyat bukan bodoh lagi. Dengan berbagai-bagai maklumat yang diterima melalui media sosial, rakyat (dikampung-kampung dan di kawasan FELDA pun) tahu yang seseorang pemimpin itu menipu dan membohongi rakyat dengan apa yang diperkatakan.

            Seseorang pemimpin itu terus menerus menipu dan berbohong. Seluruh ‘antero dunia’ tahu yang seseorang pemimpin itu berbohong dan mencuri, namun dengan tidak merasa segan dan silu, terus menerus juga  berbohong dan menipu. Betullah peribahasa yang dinyatakan pada awal rencana ini, ‘ siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Apabila para pemimpin negara kita, para menteri kita, wakil rakyat kita cuba berbohong maka pastinya akan dicontohi oleh rakyat bawahan. Tak banyak sedikit.

            Maka para pegawai tinggi kerajaan juga tidak lagi segan silu untuk berbohong dan menipu. Terdapat pegawai tinggi kerajaan yang sudah jelas melakukan kesalahan yang berat di sisi undang-undang negara, terus menerus menafikan. Maknanya terus menerus berbohong dan menipu dengan tidak langsung merasa malu kepada rakyat yang melihat perbuatan sedemikian. Mereka tidak lagi malu kepada kaum keluarga mereka dan sanak saudara mereka.

            Di Malaysia kini, perbuatan berbohong dan menipu semacam merupakan cara hidup dan amalan masyarakat kita dalam bentuk baru. Mungkin kekecualiannya ialah bagi masyarakat desa yang masih mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu yang luhur. Mungkin. Itu pun masih disangsikan kerana mereka juga melihat apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Peribahasa Melayu ada juga mengatakan, “ jikalau guru kencing berdiri, maka muridnya akan kencing berlari’. Masyarakat luar bandar juga melihat melalui RTM dan TV3  tentang gelagat pemimpin negara. Mungkin mereka juga ingin ‘meniru’ apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

            Siakap, senohong, gelama ikan duri,
            Bercakap bohong lama-lama mencuri…

abuhassanadam
24 Mac 2018

No comments:

Post a Comment