TUN MAHATHIR MASIH SEORANG PEJUANG
Zaman
dulu-dulu, tokoh seperti Dr Mahathir itu digelar sebagai orang perjuangan. Kini
baru disebut dengan berbagai-bagai gelaran. Pejuanglah. Nasionalis lah. Patriot
lah. Macam-macam. Aku lebih suka menggelarkan Dr Mahathir sebagai orang
perjuangan sama seperti Mat Kilau di Pahang, Dato Maharajalela di Perak, Tok
Janggut di Kelantan, Dato Bahaman di Pahang.
Bagi
aku untuk meletakkan rasional kepada seorang pejuang ialah mereka akan terus
berjuang dan berjuang tanpa letih dan lelah sehingga apa yang mereka impikan
itu berjaya. Mungkin mereka tidak berjaya seperti kebanyakan pemimpin lampau
seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato Maharajalela, Tok Janggut, Haji Abdul
Rahman Limbung. Namun mereka merasa puas kerana telah mengabdikan diri mereka
terhadap perjuangan menentang apa yang mereka rasakan tidak baik.
Pejuang-pejuang
yang aku sebutkan di atas itu berjuang menentang penjajah British yang menjajah
dan memeras hasil bumi tanah air ini dan merupakan tugas anak negeri untuk
menebus kembali tanah air yang telah ternoda. Lantas mereka bangun walaupun
pada ketika itu perbuatan yang mereka lakukan itu merupakan perbuatan sia-sia.
Tambahan pula menentang penjajah British yang diketahui jauh lebih kuat dan
gagah dari kekuatan mereka pada ketika itu. Lantas mereka terus berjuang
walaupun ada dikalangan rakyat Melayu pada ketika itu yang memihak pada British
menentang perjuangan mereka. Tetapi disebabkan semangat perjuangan yang kental
mereka terus berjuang walaupun tewas juga akhirnya. Namun semangat perjuangan
itu terus menyala.
Itu
yang dinamakan orang perjuangan. Mungkin istilah ‘orang perjuangan’ sudah tidak
ramai kini. Dan bagi anak muda yang ingin mengetahui mengapa Dr Mahathir terus
‘merelakan’ dirinya berjuang untuk memimpin Pakatan Harapan dan seterusnya
bersetuju menjadi Perdana Menteri jika beroleh kemenangan, menggambarkan sifat
seorang pejuang yang tulin yang betul-betul mahu melihat bangsa dan negara
terselamat dari sebarang ancaman yang boleh membawa keruntuhan kepada negara.
Rakyat
Malaysia umumnya harus mengambil perhatian yang serious tentang penglibatan Tun
Mahathir bagi kali kedua ini. Tentulah ada sesuatu yang tidak kena berlaku
kepada negara kini yang mendorong beliau untuk terus aktif semula membetulkan
keadaan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘ jika tidak ada angin takkan lah pokok
bergoyang’. Pasti ada yang amat tidak kena yang berlaku kepada negara kini yang
menyebabkan Dr Mahathir sanggup berkecimpung semula dalam politik.
Rakyat
Malaysia harus memikirkan sedalam-dalamnya tentang hal ini ia itu mengapa Dr.
Mahathir sanggup meninggalkan kesenangan dan kenikmatan hari tua yang
sepatutnya ‘diraikan’ olehnya seperti warga tua yang lain. Kini beliau masih
sanggup berucap, menemui rakyat dan menerangkan keadaan negara Malaysia yang
berada dalam situasi kemelut politik yang amat runcing. Dr.Mahathir terpaksa
merayu dan meminta rakyat Malaysia bangun bersamanya menetang segala ‘kekeliruan’
yang dialami oleh negara kini.
Ringkasnya
Dr Mahathir mahu negara ini diselamatkan sebelum beliau ‘memejamkan mata buat
selama-lamanya’. Itulah merupakan cita-cita dan impian seorang pejuang. Orang
perjuangan tidak mengenali erti ‘tua’ atau ‘muda’ kerana ‘api perjuangan’ perlu
dihidupkan sentiasa.
Selamat
Berjuang Tun. Rakyat sentiasa mendoakan.
abuhassanadam
22 Mac 2018
No comments:
Post a Comment